Semalam, tamat dua lagi Pilihan Raya Kecil bagi DUN Merlimau dan DUN Kerdau. Tahniah kepada para pemenang tersebut (Aku tak ambil port siapa yang menang semalam sebab sibuk fokus untuk game Liverpool lawan MU semalam. Tahniah Liverpool kerana berjaya membaham MU 3-1).
Yang pasti, setiap kali pilihan raya berlangsung - tak kiralah pilihan raya kecil atau pilihan raya umum - calon yang bertanding mestilah akan berkempen. Masa inilah kita akan lihat calon dari kedua-dua parti tiba-tiba jadi "berjiwa rakyat".
Masa inilah mereka sanggup makan dalam dulang bersama-sama rakyat. Melawat rakyat yang sedang sakit. Sanggup potong bawang untuk persedian kenduri. Sanggup makan sepinggan, tidur sebantal dengan rakyat marhaen. Itu belum campur lagi yang buat statement "Saya hanya tidur 1 jam semata-mata untuk berkempen untuk rakyat di kawasan ini."
Masa berkempen, memanglah kau tidur 1 jam. Bila dah menang, kau mesti tidur atas duit 24 jam sampai kau haram kau nak melawat balik kawasan kau kan?
Ok. Itu bukannya benda yang aku mahu fokuskan di sini. Sebenarnya aku ingin fokuskan apa yang mereka selalu ucapkan semasa berkempen.
Sewaktu berkempen, calon kedua-dua parti akan pergi melawat ke setiap kawasan dan akan membuat ucapan untuk menarik minat pengundi dan mempromosikan diri mereka kepada rakyat dan memberitahu "Kenapa rakyat perlu pilih saya".
Tapi, dalam setiap ucapan mereka, mereka pasti akan memburuk-burukkan calon lain ataupun orang dari pihak lawan bukan? Ini adalah kenyataan. Rasanya semua orang pun tahu.
Yang calon sini akan kata, "Calon parti sana tu korup. Dia tu selalu makan duit rakyat."
Yang calon sana pula membalas, "Calon sana tu tak pandai pun. Diploma yang dia dapat tu tak dapat pengiktirafan pun."
Selepas serangan peribadi ke atas calon-calon, serangan peribadi ke atas ketua parti pula diajukan.
"Kenapa korang nak sokong parti sana tu? Ketua diorang tu jenis main bontot. Jenis kaki liwat."
"Korang cakap ketua parti diorang tu bagus? Korang tahu tak dia tu jenis suka ikut kata bini dia je? Dah la bini dia banyak menghabiskan duit rakyat. Asyik pergi melawat luar negara."
Samada fakta yang dilontarkan itu betul atau salah, itu belakang cerita. Tapi adakah perbuatan memburukkan orang lain adalah suatu etika yang dibenarkan dalam hidup kita? Adakah menceritakan keburukan pihak lawan anda untuk memancing undi adalah perbuatan yang betul?
Pasti ada yang menyokong dan membangkang kenyataan ini.
Pasti ada yang menyokong kerana dengan menceritakan keburukan, kita dapat membuka topeng sebenar calon tersebut dan dapat menegakkan keadilan.
Pasti ada juga yang membangkang kerana ia bukan sahaja salah dari segi moral sebagai manusia, tapi juga menyalahi hukum agama bagi yang beragama Islam dan juga agama-agama lain.
Tapi point yang penting ialah, cara kebanyakan ahli politik di Malaysia (tak semua, ada segelintir yang masih tidak jahat mulut) menggunakan teknik memfitnah dan mengutuk untuk memancing undi dari rakyat.
Jadi, bagaimana rakyat mahu menilai seorang calon itu? Adakah rakyat perlu menilai calon mana yang lebih pandai memfitnah dan mengutuk pihak lawan kita? Fitnah dan kutukan mana yang lebih baik dan makan dalam?
Bagi aku, majoriti pemimpin di Malaysia memang tak ramai yang punya perasaan merendah diri. Mereka lebih suka 'up' kan diri mereka dan mengutuk pihak lawan mereka habis-habisan. Mereka cuma suka bercakap besar tentang diri mereka dan memburukkan pihak lawan mereka. Kalau boleh, semua cerita buruk pihak lawan dia akan korek. Rasanya cerita buruk masa zaman sekolah pun semua dia korek dan ceritakan kepada umum.
Kenapa mereka suka mengutuk dan memfitnah calon lawan? Mudah sahaja. Ini kerana mereka merasakan diri mereka tidak ada sesuatu yang istimewa dan juga rasa insecure dengan diri sendiri. Cara untuk menampakkan diri mereka gah di mata rakyat dan menampakkan kesitimewaan mereka ialah dengan menaburkan seribu kata kutukan kepada pihak lawan. Dari sini, barulah timbulnya perasaan keyakinan dan confident melangit dalam diri mereka.
Yang rakyat pun sama juga. Dengar cerita ucapan dari calon ahli politik, terus percaya bulat-bulat tanpa perlu buat kaji selidik. Kiranya macam masa orang dapat cerita Hitler dan Askar Islam. Ataupun kisah perempuan mengandung anak tikus sebab terpakai pad yang dah ada telur tikus. Terus percaya tanpa mengkaji dan terus share di Facebook tanpa menyedari mereka menyebarkan fakta yang salah.
Rakyat kebanyakannya (tak semua) tidak tahu nak menilai mana satu yang fakta dan mana satu yang auta. Asalkan berucap bagai petir dan guruh, pandai putar ayat sikit, keluar fakta yang entah betul entah tidak yang diceduk dari sumber mana entah dan ada ramai pengikut yang percaya dia, akan ramailah yang terus menjadi pengikut setia mereka.
Aku tak tahu bagaimana pemimpin di luar negara berkempen. Tapi semasa kempen Presidensi Amerika pada tahun 2008, aku tak penah pun dengar Barrack Obama memburukkan pihak lawan.
Barrack Obama lebih senang bercerita tentang visi dan misinya jika dia berjaya menjadi presiden Amerika. Dia lebih senang bercerita tentang versi Amerika di bawah kepimpinannya. Dia lebih senang bercerita tentang perubahan yang bakal dilakukan kepada Amerika daripada dia memburukkan pihak lawannya.
Kadang-kadang bila difikir-fikirkan balik, kasihan dekat Rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia terpaksa memilih pemimpin dari kalangan yang kuat mengutuk orang lain, bukannya memilih pemimpin yang mempunyai tahap daya memimpin yang tinggi.
Pilihanraya Malaysia adalah proses dimana rakyat harus memilih manusia mana yang mempunyai daya mengutuk dan memfitnah paling kreatif untuk diangkat sebagai pemimpin kita. Sad fact but it's true.
Dan ingat. Mereka yang dipilih untuk menjadi pemimpin melalui pilihan rakyat bukannya tuan kepada Malaysia dan rakyatnya. Mereka diberikan tugas untuk menjaga rakyat, bukannya menindas rakyat.
Malaysia adalah milik rakyat. Bukannya milik BN. Bukannya milik PKR. Bukannya milik Najib. Bukannya milik Anwar Ibrahim. Kita rakyat yang mampu menentukan arah tuju nasib rakyat dan negara kita. Hanya kita yang mampu mengubah takdir negara kita.
Undilah calon yang boleh memerintah, bukan yang pandai membuat fitnah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar