Jumat, 04 Maret 2011

Dulu dan Sekarang: Video Muzik & Youtube

Entri santai di petang Jumaat.

Tengah aku menonton video muzik di MTV - saluran 713 di Astro - tiba-tiba aku teringat kisah lama aku dan video muzik.

Video muzik - biasanya dipanggil video clip dikalangan rakyat Malaysia - ialah video yang dibuat berdasarkan sebuah lagu samada untuk menjadi alat promosi lagu ataupun hiburan cara baru bagi mereka yang tidak mendengar radio. Memang tak sah kalau sebuah lagu tidak dibuat video klip. Video klip menjadi satu alat penting dalam diri pencinta muzik.

Sebagai seorang yang dilahirkan pada tahun 1984 dan menjalani zaman remaja di era 90'an dan awal 2000'an, kehidupan sebagai seorang remaja ketika itu sangatlah jauh berbeza dengan zaman remaja sekarang.

Biasanya, remaja tidak dapat dipisahkan dengan muzik. Masa zaman aku membesar bagaika juara... Maksud aku sebagai remaja, aku juga sama. Pada zaman aku, ada beberapa jenis muzik yang bertapak dalam industri muzik. 

Pop, rock samada band baru atau band lama, trend boyband mula bertapak, Hip-Hop dan Rap memulakan dominasi dalam muzik dan di Malaysia, scene Underground sedang rancak dan meriah. Sama rancak dan meriah macam scene Indie sekarang. 

Cuma bezanya Underground ketika itu tidak diterima oleh masyarakat dan dipandang hina sehinggalah fitanh kononnya semua band Underground membawa unsur Black Metal sampaikan anak muda semua menghisap darah kambing dan menyembah setan. Terima kasih kepada Harian Metro dan Mastika kerana berjaya memperbodohkan fikrah orang Melayu ketika itu.

Ok. Jauh menyimpang dah.

Macam aku tulis di atas, tidak sah kalau sebuah lagu tidak di buat video muzik atau video klip. Boleh dikatakan semua artis luar negara akan menghasilkan video klip untuk lagu mereka. Artis Malaysia lain cerita. Tak semua artis ada video klip kerana syarikat muzik di Malaysia tak sekaya syarikat rakaman di luar negara.

Keinginan hati nak melihat video klip artis luar negara memanglah ada. Tapi dekat mana nak tengok? Masa zaman aku remaja dulu, MTV belum sampai Malaysia. Semua saluran TV percuma di Malaysia ketika itu tidak menayangkan sebarang program keluaran MTV.

Mega TV, saluran TV kable berbayar ketika itu yang wujud sekitar 1995 sehingga 2001, juga tidak menyenaraikan MTV sebagai salah satu rancangan mereka. Satu-satunya cara untuk menonton video klip dari band antarabangsa ialah semasa rancangan Alternatif yang disiarkan di TV3. 

Masa dulu, TV3 adalah saluran TV yang mempunyai semangat anak muda. TV3 banyak memfokuskan rancangan untuk anak muda dan remaja sebelum menukar niche rancangan mereka menjadi saluran untuk pak cik dan mak cik sekitar 2002.

Alternatif adalah rancangan hiburan muzik yang menyangkan video muzik dari band Rock antarabangsa dan persembahan band Underground Malaysia. Aku tak berapa ingat bila masa tayangannya. Asalnya, Alternatif disiarkan seminggu sekali sebelum menjadi seminggu 2 kali kerana sambutan dari para penonton. Rancangan Alternatif cuma setengah jam untuk satu sessi.

Ok. Itu kisah tentang video klip band Rock dan Underground. Sekarang masuk kisah video klip artis mainstream pulak.

Bermula tahun 1998, satu saluran TV baru diperkenalkan di Malaysia. Saluran tersebut dipanggil NatSeven TV Sdn Bhd atau lebih tidak tergeliat lidah dengan sebutan NTV7. 

NTV7 hanya memulakan siaran mereka pada pukul 4:30 atau 5 petang. Sebelum rancangan NTV7 bermula, mereka akan menayangkan video klip artis antarabangsa. Maka, NTV7 pun menjadi sumber rasmi untuk aku menonton video klip artis mainstream ketika itu (walaupun banyak adegan yang di censored oleh NTV7).

Sebagai orang yang tinggal di Johor, kami ada kelebihan untuk menonton saluran TV dari Singapura dan Indonesia. Masa era 90'an dan awal 2000, saluran TV5 dari Singapura adalah saluran TV terbaik di Asia (aku tak tipu. Siap dapat award lagi). TV5 memang saluran yang amat cool dan menyeimbangkan rancangan TV untuk anak muda dan warga mak cik dan pakcik.

Dari TV5 aku dapat menonton program terbitan MTV. Saluran Indonesia ada juga menayangkan program MTV, tapi aku dah lupa. Dari sinilah aku kenal VJ Utt dan pada awal era 2000'an, Dennis Keller menyertai famili MTV.

Alternatif (TV3), NTV7 dan TV5 menjadi sumber untuk aku menonton video klip ketika itu. Walaupun tak semua video klip ditayangkan dan video yang ditayangkan pun kadangkala banyak yang di censored kerana adegan yang tak sesuai atau banyak perkataan mencarut, tapi aku sudah cukup puas hati.

Sehinggalah abah aku mengambil keputusan untuk melanggan Astro pada akhir 2002.

Selepas adanya Astro, aku boleh menonton video klip dengan lebih baik. Boleh melihat muka Dennis Keller yang comel dengan leboh jelas dan kebanyakan video klip tidak di censored. Dan ketika ini juga, TV3 tidak lagi menayangkan rancangan Alternatif kerana khabar angin bodoh dari Metro dan Mastika yang mengaitkan Underground dan muzik rock dengan black Metal. NTV7 juga sudah mula menayangkan rancangan mereka bermula 12 tengahari. Maka aku telah kehilangan sumber nak menonton video klip band Rock dari antarabangsa semenjak itu.

Sehinggalah kemunculan satu website video popular yang bernama YouTube. Youtube mula diwujudkan pada tahun 2005 oleh 3 bekas pekerja PayPal.

Dalam YouTube, apa jenis video pun kita boleh tonton. Bukan setakat video klip, web series, prank video, candid video, video bodoh ape kejadah dan The Arrivals yang berjaya melahirkan ustaz dan ustazah Illuminati berjaya ada dalam YouTube.

Remaja zaman sekarang tidak perlu tercogok di depan TV untuk menonton video klip kegemaran mereka. Mereka hanya perlu menaip nama arti dan tajuk lagu dan klik 'search' dan sudah sedia untuk menonton video tersebut.... Kecuali kalau talian internet kamu lembab, kena tunggu video loading dululah.

Semua video klip ada di YouTube. Jangan risau dengan censorship. Kita boleh menonton video klip yang diharamkan di Malaysia dengan tenang hati. Ya, anda boleh menonton video Alejandro dan Born This Way nyanyian Lady Gaga tanpa sebarang censorship di YouTube.

Apa yang aku suka pasal YouTube ialah mereka menyimpan koleksi video klip lama. Dengan kata lain, dapat juga kau tonton balik mana-mana video klip band Rock yang tak ditayangkan di Malaysia sepanjang era 90'an sehinggalah YouTube wujud.

Yang paling salute sekali, video klip klasik zaman mak ayah kita pun ada dalam YouTube. Tak percaya, check this out:

Soley Soley. Approved by Hantu Kak Limah

Tak cukup klasik? Betul juga. Video tahun 1970'an. Ok. Yang ini lagi klasik. Video tahun 1961. The Everly Brothers. Mesti kamu pernah dengar lagu ini kan? Kalau tak pernah, kamu gila!


Tak cukup klasik lagi? Ok. Video era 50'an pulak. 


Lagu dari Paul Anka. Video diambil pada tahun 1957. Ya! Malaysia baru nak buat negara sendiri, mereka sudah pun pandai rakam video. Apa kes?

Begitulah evolusi video muzik dan saluran hiburan dalam tempoh 20 tahun yang lepas. YouTube berjaya mengubah cara manusia berhibur atau menonton TV. Budak zaman sekarang lebih beruntung kerana boleh menonton video klip dengan mudah. Berbeza dengan zaman remaja aku ketika dulu. Jadi, adik-adik janganlah pelik sangat kalau ada brother-brother atau sista-sista selau tengok video klip zaman dulu di YouTube.

Bayangkan apa yang akan wujud 20 tahun kemudian? Bayangkan...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar