Rabu, 16 Maret 2011

Dulu & Sekarang: Aku, Kaset dan Walkman


Semalam, entah kenapa tiba-tiba aku terasa nak buka rak kaset-kaset aku. Memang dah agak lama aku tak tengok kaset-kaset aku. Inilah lebih kurang koleksi kaset aku. Ada dalam 100 lebih juga kaset aku. Sebelah kiri gambar ada satu baris kaset lagi, belakang dari kaset yang kau nampak ni ada lagi beberapa baris kaset dan ada belasan kaset lagi bersepah atas gerobok(almari) baju aku. Itu belum kira mixed tape buatan sendiri.

Ini semua koleksi kaset aku yang aku mula kumpul semenjak 1998 sampailah 2006. Aku tak ingat apa kaset pertama yang aku beli. Tapi tak salah aku, satu album kompilasi (akhir tahun 90'an memang popular dengan kaset kompilasi). Kaset terakhir yang aku beli ialah Minutes To Midnight dari band Linkin Park (2 minggu selepas aku beli album tersebut, aku download album tersebut sebab nak letak MP3 lagu album tersebut dalam iPod aku).

Semenjak 2006, aku tidak lagi beli sebarang kaset. Seperti rakyat Malaysia yang lain, aku lebih gemar mencuri harta intelek dengan mendownload semua lagu selepas itu. 

Antara sebab kenapa aku berhenti beli kaset ialah sebab kaset sudah susah nak dicari dipasaran. Kaset dah bukan musim. Semua jenis lagu yang dijual dalam bentuk fizikal sudah berubah dari kaset ke CD secara 100%. Dan kaset terus hilang dari ingatan rakyat marhaen selepas kemunculan MP3.

Aku malas nak beli CD. Bila beli CD, kena beli discman. Aku malas nak beli discman. Aku dah pernah terangkan kenapa aku malas nak beli discman dalam entri di sini.

Tiba-tiba rasa nak dengar kaset gunakan walkman timbul dalam hati. Kalau ikutkan, sama saja dengan lagu dengan kaset dan walkman dengan dengar lagu dengan MP3 dan iPod. Kesudahannya sama juga, dapat dengar lagu-lagu tersebut. Tapi nikmatnya berbeza.

Macam kau makan nasi berlauk dengan tangan ataupun guna sudu garfu. Kesudahannya sama juga, perut kau akan kenyang juga akhirnya lepas habis makan. Tapi nikmat makan dengan tangan memang rasa berbeza dengan makan dengan sudu garfu.

Ataupun macam kau makan Nasi Lemak yang dihidangkan dalam bungkusan daun pisang dengan Nasi Lemak yang dihidangkan atas pinggan. Kesudahannya sama juga, rasa makan nasi lemak. Tapi nikmat makan Nasi Lemak daun pisang dengan Nasi Lemak atas pinggan memang lain.

Ataupun macam kau beromen atas katil King Size berjenama yang empuk dengan beromen dalam semak atau hutan belukar. Kesudahannya sama saja, kau dapat rasa nikmat beromen. Tapi nikmat romen atas katil King Size dengan nikmat romen dalam semak memang lain.

Ok. Contoh yang aku bagi dah jauh melayang.

Aku rasa niat nak dengar kaset ini timbul selepas kawan aku, Cendol, kata dia nak cari walkman balik. Yes! Cendol sebenarnya macam setan. Tiap kata-kata dia mampu mempengaruhi kita tanpa sedar.

Menurut Cendol, dia bercadang nak cari walkman. Selepas tu, pergi jalan-jalan dekat bandar bawak walkman. Dia nak tengok apa reaksi orang ramai bila tengok dia pakai walkman dan tukar kaset depan orang ramai. 

Mesti rare kan? Mesti orang akan kata, "Apahal mamat ni bawak walkman?". Ataupun, "Mamat ni tinggal dalam gua ke?". Tak pun, "Mamat ni time traveler dari tahun 90'an ke?". Atau yang paling typical Malay, "Mamat ni mesti agen Freemason dan Illuminati ni."

Sebenarnya, kalau nak jadikan walkman sebagai trend, boleh saja. Budak-budak zaman sekarang semuanya jenis ikut trend. 

Bila orang lain dengan My Chemical Romance, dia pun dengar MCR juga. Bila orang dress-up ala-ala Gothic, dia pun sama terhegeh-hegeh depan Time Square, siap dress-up Gothic. Bila orang main kamera DSLR, dia pun sama main kamera DSLR. Bila orang menari Shuffle, dia pun menari Shuffle.

Bila orang dengar band Indie, dia pun dengar band Indie. Bila orang pakai baju "Saya Sayang Mak Saya", dia pun pakai baju "Saya Sayang Mak Nyah." Bila orang main fixie, dia pun main fixie.

Jadi, kalau ada orang mulakan trend dengar walkman balik, nescaya anak-anak muda yang suka mengikut trend ini akan sama sekali sesat dan mengikut rentak trend terkini. 

Berkemungkinan besar jualan walkman boleh melambung balik. Mungkin wujud tabiat menggantungkan walkman di dada, macam budak-budak gantung kamera DSLR di dada sambil jalan-jalan walaupun mereka boleh simpan kamera tersebut dalam beg (Apa jadah jalan-jalan sambil letak kamera dekat dada ni?).

Tapi kemungkinan jugak trend ini akan gagal sama sekali. Kenapa? Mana kau nak jumpa orang jual kaset sekarang? Agak susah nak jumpa kedai jual kaset lagi-lagi dekat bandar besar. Ada kedai-kedai tertentu sahaja yang rare dan masih menjual kaset. Aku sendiri tak pasti samada kedai kaset kegemaran aku, Kedai Ajak, masih menjual kaset memandangkan sudah agak lama aku tak menjejakkan kaki ke kedai itu.

Kalau kaset lama, mungkin ada. Tapi kaset-kaset baru mana nak cari? Jadi kesudahannya, trend ini akan menjadi satu trend yang gagal macam Shuffle. Berapa lama sangat budak-budak ni layan Shuffle kan?

Masa bergerak laju dan kemajuan teknologi semakin lama semakin meluputkan satu persatu benda-benda yang dulunya menjadi benda yang sering kita gunakan. Seterika arang, piring hitam, TV hitam putih.... Semuanya benda purba di zaman mak ayah kita dahulu yang dah semakin pupus. Dan sekarang, tiba giliran walkman, kaset dan discman pula menerima nasib yang sama.

Cuba bayangkan macam mana kita mendengar muzik dalam tempoh 20 tahun akan datang. Agaknya, MP3 pun mungkin sudah tak wujud ketika itu. iPod mungkin sudah jadi sejarah (melainkan sudah di upgrade menjadi iPod Generation 30). 

Apa pun, harap kemajuan itu tak mengikis sifat manusia yang semakin lama semakin kehilangan sifat kemanusiaan kerana terlampau bergantung kepada teknologi moden.

Sekarang ni radio masih ada yang boleh mainkan kaset tak?

Tidak ada komentar:

Posting Komentar