Bukan roti canai di warong ayah dan mak aku. Sekadar hiasan. |
Ayah dan mak aku mencari rezeki untuk keluarga dengan berniaga. Berniaga yang aku maksudkan di sini bukanlah buka company business juta-juta Tanjak Holding macam drama-drama Melayu yang kamu tengok di TV, tapi sekadar berniaga warong.
Ayah dan mak aku berniaga di Perhentian Bas Batu Pahat Lama bermula pada tahun 1982, selepas ayah aku berhenti dari askar untuk menjaga arwah atok yang sudah uzur dan menyambung legasi perniagaan keluarga. Pada asalnya, arwah atok aku berniaga di pasar.
Perhentian Bas Batu Pahat yang lama terletak di tapak dimana Menara MPBP berada sekarang. Orang Batu Pahat menggelarkan Menara MPBP sebagai Bus Stand Menara. Tapak bus stand ketika itu lebih tersusun dan lebih cool daripada Bus Stand Menara sekarang. Sebelah perhentian bas tersebut ada Parkson Ria, yang kini sudah menjadi Court Mammoth.
Nama warong ayah dan mak ialah Kedai Wira. Aku tak berapa pasti kenapa parents aku memilih Wira sebagai nama warong. Mungkin kerana ayah aku seorang askar dan perkataan wira agak sinonim dengan wira.
Ayah dan mak aku berniaga roti canai, nasi lemak dan mee goreng pada waktu pagi dan nasi berlauk pada waktu tengahari. Ayah dan mak aku keluar rumah pada waktu pagi dan pulang bila hampir waktu Maghrib setiap hari.
Pada tahun 1992, ayah dan mak aku diarahkan berpindah ke tapak baru iaitu Perhentian Bas dan Teksi Sementara Jalan Omar (Bus Stand Jalan Omar) kerana perhentian bas tersebut diruntuhkan bagi digantikan dengan Menara MPBP. Yang seronoknya, Bus Stand Jalan Omar dekat dengan The Summit, shopping complex yang dahulunya gempak tapi kini tak ubah seperti salon bersaiz super.
Ayah dan mak membuat keputusan untuk berniaga separuh hari sahaja, dari pagi untuk sarapan sehingga tengahari. Selepas tengahari, ayah aku berkerja dengan orang lain pula.
Ayah dan mak aku kekal berniaga disitu walaupun mendapat arahan supaya berpindah kembali ke Bus Stand Menara. Dengan ruang niaga yang kecil di bus stand menara dan susah untuk mendapatkan pelanggan di sana.
Tapi pada 15 Julai 2010, segalanya berakhir. Itulah tarikh kali terakhir ayah dan mak aku berniaga. Ayah dan mak aku telah membuat pemeriksaan kesihatan sebagai persediaan terakhir untuk menunaikan haji ke Makkah tahun ini pada tarikh tersebut. Mak aku disahkan oleh doktor dalam keadaan kurang sihat untuk pergi menunaikan haji pada tahun ini.
Semenjak itu, ayah aku membuat keputusan untuk berhenti berniaga untuk memberikan ruang untuk mak aku berehat. Mereka juga terpaksa menangguhkan niat menunaikan haji untuk tahun ini sehingga mak aku benar-benar sudah pulih.
Dan pada 28 September yang lepas, ayah aku secara rasminya telah pun menjual warong tersebut kepada orang lain dan mula berniaga pada hari ini.
Bila aku fikir-fikirkan, sedih juga bila ayah aku terpaksa menjual warong tersebut tapi apakan daya, emak aku memang sudah tidak berupaya untuk berniaga lagi. Dan pada usia 56 tahun, aku rasa adalah baik juga ayah dan mak aku bersara dari meniaga warong. Mereka sudah terlampau tua untuk bekerja seberat itu.
Berniaga memang banyak mengajar erti kesabaran dalam diri aku. Bila aku menolong ayah dan mak aku di warong, aku biasanya akan berdepan dengan customer yang berlagak sombong. Kebanyakan mereka adalah pekerja sektor kerajaan. Bukanlah aku nak chop semua pekerja sektor kerajaan sombong, tapi kebetulan pula ramai pekerja sektor kerajaan yang makan di warong ayah aku sombong-sombong belaka.
Dengan berbaju kemeja dan tie, mereka datang ke warong ayah aku dengan penuh bergaya. Bila aku datang minta order, semua buat tak tahu pada aku. Biarkan aku berdiri macam bercakap dengan orang pekak. Bila order makanan dengan aku, meninggi suara, buat-buat tak pandang aku. Masing-masing buat tak pandang aku.
Dan bila aku tersalah hantar air atau makanan (aku terhantar air mereka ke meja sebelah dan terhantar air meja sebelah ke meja mereka), memang aku kena marah. Macamlah satu kesialpan besar yang boleh mendatangkan mudarat besar pulak.
Yang paling menyakitkan hati, curtomer yang sombong ni bukanlah berpangkat besar, Kadang-kadang cuma kerani di Pejabat Daerah atau Pejabat Tanah Batu Pahat. Babi! Baru jadi kerani, dah berlagak sombong. Mungkin itulah sebabnya mereka semua ditakdirkan menjadi kerani. Agaknya kalau pangkat tinggi sikit, memang lupa mak bapak kat kampunglah jawabnya. Yang berpangkat tinggi, datang kedai ayah aku, tak pulak buat perangai sombong.
Di warong ini jugalah aku berkenalan dengan pelbagai jenis manusia. Memang betul kata orang, don't judge a book by it's cover. Di warong ini aku terjumpa dengan orang yang berpakaian selekeh tapi baik hati dan sebenarnya lagi kaya-raya dari orang yang datang dengan kemeja kemas, tie dan berseluar slack. Jangan pandang rendah orang melalui pakaian mereka.
Kadang-kadang customer yang datang di warong ayah aku dengan baju yang buruk rupa-rupanya tuan punya syarikat pembinaan. Dan yang datang dengan kemeja kemas dan ber-tie pula ialah penipu skim cepat kaya. True story.
Bermula pertengahan 90'an, ayah aku mula bekerja dengan orang lain selepas waktu tengahari kerana pendapatan di warong kurang mencukupi. Oleh itu,aku dan abang aku belajar untuk menabung dan cari duit sendiri bila mengidam untuk membeli sesuatu. Aku dan abang aku tahu, ayah dan mak aku boleh sahaja menunaikan pemintaan kami, tapi kami tak sampai hati nak meminta pada mereka.
Dengan pendapatan yang agak kurang banyak jika dibandingkan dengan pekerja pejabat yang memakai baju kemeja, aku dan abang faham situasi kewangan keluarga aku dan kami kurang meminta kepada mereka.
Aku dan abang aku membeli telefon bimbit sendiri semenjak zaman di IPT lagi. Aku dan abang aku juga berkongsi duit beli PlayStation2. Terkejut juga ayah dan mak bila aku dan abang membawa pulang PS2 ke rumah. Abang aku yang pada masa itu baru mula bekerja dan belum banyak simpanan duit mengeluarkan duitnya dan aku mengeluarkan duit PTPTN.
Kami membeli PS2 pada tahun 2003 dan sampai sekarang ia masih elok. Walaupun ada beberapa orang kawan ingin membeli PS2 tersebut, tapi aku tak kan jual PS2 tersebut kerana ianya mempunyai kenangan bersama antara aku dan abang aku. Aku agak sentimental bila berkaitan dengan keluarga aku. Itulah antara sebab kenapa aku dan abang aku sangat rapat bersama. Itulah sebab kenapa kami sekeluarga sangat rapat.
Dan syukur apabila masuk tahun 2005, keadaan kewangan keluarga aku agak kukuh. Bukan bermakna family aku sudah kaya, tetapi lebih kukuh daripada dahulu. Ayah dan mak menghadiahkan aku sebuah laptop. Walaupun latop itu sudah rosak, tapi aku tak kan buang laptop tersebut sebagai tanda kenangan.
Sebenarnya, banyak lagi perkara yang boleh aku tuliskan tentang warong yang diwarisi dari arwah ayah atok aku itu. Tapi cukuplah buat masa ini. Dan hasil daripada roti canai dan nasi lemak itulah yang telah membesarkan aku dan abang aku dan menyekolahkan kami sehingga ke universiti.
Walaupun ada sesetengah orang malu nak mengaku yang mak ayah mereka meniaga warong, tapi bukan aku. Aku dengan bangganya mengaku aku merupakan anak kepada penjual roti canai dan aku telah dibesarkan melalui duit roti canai.
Sayangnya, kedua orang tua aku kini terpaksa bersara. Sayang aku tak dapat nak menunjukkan kepada anak aku bahawa aku dibesarkan melalui duit warong itu dan menunjukkan kepada anak-anak aku yang atok dan nenek mereka merupakan peniaga roti canai. Tapi sayangnya, semua itu tak berkesempatan. Tapi pada usia sekarang, memang baik bagi ayah dan mak bersara dari segala kepenatan itu.
Terima kasih kepada pencipta roti canai kerana idea kamu telah membuatkan keluarga aku mencari makan melaluinya.
Sekali lagi aku ingin katakan, aku bangga menjadi anak kepada penjual roti canai. Dan aku berjanji aku tak kan jemu-jemu dan berhenti memakan roti canai dan nasi lemak seumur hidup aku.
Sekali lagi aku ingin katakan, aku bangga menjadi anak kepada penjual roti canai. Dan aku berjanji aku tak kan jemu-jemu dan berhenti memakan roti canai dan nasi lemak seumur hidup aku.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar