"Masa zaman abah sekolah dulu, kalau bawak 20 sen pergi sekolah, tu memang dah cukup kaya dah." Ayat abah aku yang aku paling ingat kalau nak dikaitkan dengan kisah harga makanan zaman dulu-dulu.
"Zaman abah dulu, kalau rehat abah selalu beli mee kat kantin tu. Ala, jenis mee goreng ceduk (mee lambak) tu. Harga sepinggan 5 sen je. Tapi 5 sen zaman dulu lain. Banyak betul. Makan mee 5 sen tu boleh kenyang sampai petang." Sambung ayah aku.
Memang boleh dikira banyak tu kalau boleh kenyang sampai petang. 5 sen pulak harganya.
Masa zaman aku sekolah dulu, mee goreng ceduk atau mee goreng lambak paling murah aku pernah beli dekat kantin sekolah berharga 20 sen. Yes! 20 sen sahaja. Masa tu aku beli dekat kantin sekolah agama aku, Sekolah Agama Penggaram.
Mesti kamu fikir, "Kalau setakat mee 20 sen, mesti sikit kan?" Kamu salah! Walaupun cuma harga 20 sen, tapi mak cik kantin tu letak banyak juga. Sambal mak cik kantin buat boleh tahan juga.
Bagi aku, mee goreng ceduk yang aku beli dekat kantin sekolah agama tersebut adalah makanan paling murah tapi mengenyangkan yang pernah aku beli seumur hidup aku.
Masuk sekolah menengah, boleh dikatakan kantin sekolah menjadi tempat untuk aku mengenyangkan perut dan melayan nafsu makan aku.
Mee goreng ceduk atau mee goreng lambak dekat sekolah menengah mahal sikit. Ala, mahal 30 sen saja. Sepinggan dapat RM 50 sen. Walaupun harganya mahal dari harga mee sekolah agama yang aku beli, tapi jumlah kuantiti mee sama banyak.
Oleh kerana usia aku meningkat naik, ini juga bermakna selera aku juga sama naik dengan umur aku. Biasanya aku akan makan 2 pinggan mee goreng tersebut. Campur pulak dengan telur goreng. Telur goreng masa tu cuma 30 sen saja. Jadi, jumlah makan rehat aku RM 1.30 sehari dan ianya sangat mengenyangkan.
Tapi kalau aku bezakan dengan perbelanjaan abah aku, memang jauh berbeza. Abah aku cuma perlu keluarkan 5 sen untuk menikmati kekenyangan tahap maksimum sewaktu waktu rehat. Aku pula kena keluar sampai RM 1 untuk merasa nikmat kenyang yang sama.
Macam mana pula dengan budak sekolah zaman sekarang?
Dari survey yang aku lakukan terhadap 4-5 orang budak sekolah dari sekolah yang berlainan dan juga dari negeri yang berlainan, aku dapat jawapan yang sama sahaja dari mereka.
Kata mereka, harga mee goreng ceduk sekarang biasanya RM 1 sepinggan.
"Banyak tak isinya?" Tanya aku. Jawapan yang aku terima, "Boleh la..", "Tak cukup. Sikit betul pak cik kantin tu letak", "Bagi saya perempuan, memang cukuplah. Tapi kawan lelaki saya biasanya tak cukup makan mee goreng tu."
Kawan lelaki konon. Kata saja lah boyfriend kau. Macamlah aku tak tahu budak zaman sekarang lagi advance bercinta monyet dari zaman aku.
Eh? Jauh pula terpesong.
Kesimpulannya, memang tak banyaklah. Masa zaman aku, aku boleh dapat 2 pinggan mee dengan harga RM1. Zaman sekarang, budak-budak merungut kata tak cukup.
Dan menurut survey aku, kalau tambah telur, harga akan jadi RM 1.50.
Memang mahal. Memang tak peliklah budak zaman sekarang bawa duit belanja sampai RM 5-6 ringgit sehari. Itu duit belanja untuk sekolah kebangsaan saja, tak campur duit belanja sekolah agama pula.
Itu kira mee goreng ceduk atau mee goreng lambak, macam mana pula mee goreng yang betul-betul di goreng dekat kedai tu?
Yang aku ingat, harga mee goreng dekat kedai zaman aku sekolah rendah dulu biasanya RM 2 sepinggan. Yes! RM 2 sudah boleh dapat mee goreng yang digoreng di kedai.
Zaman sekarang? Harga mee goreng paling murah aku pernah dapat biasanya RM 4.50. Paling mahal? RM 6 sepinggan. Dan harga ini bukanlah harga mee goreng di kopitiam atau di restoran yang standard, tapi kedai makan biasa saja.
Dan harga yang aku nyatakan di atas biasanya tidak disediakan dengan telur goreng. Cuma mee goreng biasa sahaja.
Itu belum kira makanan lain pula. Kamu pernah makan Kit-Kat Chunky? Ala, Kit-Kat bar besar tu.
Masa pertama kali Kit-Kat Chunky ini diperkenalkan pada tahun 2000 (Kenapa aku boleh ingat bila Kit-Kat Chunky dikeluarkan? Semuanya kerana peristiwa Aku & Amoi satu ketika dulu), saiz Kit-Kat Chunky ini memang besar betul. Sekali makan, memang kenyang gila. Harganya pun cuma RM 2 satu bar.
Sekarang? Sedih aku tengok saiz Kit-Kat Chunky sekarang ini. Kecik betul. Harganya pula? RM 3.90. Harga makin mahal, saiz pula makin kecik.
Rasanya kalau nak bercerita tentang perubahan harga makanan dulu dan sekarang, sebulan cerita pun tak habis lagi. Itu belum aku sentuh harga makanan di KFC dan McDonald.
Tapi kesimpulannya, harga makanan memang akan sentiasa meningkat dari masa ke semasa tapi saiz hidangan makanan tidak pasti akan kekal atau makin mengecil.
Aku tak terkejut kalau satu hari nanti aku terpaksa membayar harga mee goreng yang aku order di kedai makan dengan not RM10 sekeping tanpa duit baki.
Aku juga tak terkejut kalau satu hari nanti mak dan ayah masing-masing terpaksa bagi RM 15 untuk duit belanja anak-anak mereka ke sekolah.
Tapi sebelum saat itu tiba, aku harap tangga gaji pekerja di Malaysia juga meningkat. Kalau gaji aku masih macam sekarang tapi terpaksa membayar harga nasi lemak sebungkus RM 10, maka aku bakal makan pasirlah tiap-tiap bulan.
Dan ini juga bermakna memang susahlah aku merasa Prosperity Burger tiap-tiap tahun kalau harga makanan akan naik macam ini. Oh, ini memang mimpi ngeri!! Mimpi ngeri!!!!!
Dan ini juga bermakna memang susahlah aku merasa Prosperity Burger tiap-tiap tahun kalau harga makanan akan naik macam ini. Oh, ini memang mimpi ngeri!! Mimpi ngeri!!!!!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar