Jumat, 22 Juli 2011

Teknologi Memusnahkan Romantis


Kalau zaman dulu, nak mendapatkan nama perempuan yang kita minat, punyalah susah. Lagi-lagi kalau kita tak kenal kawan baik kepada perempuan yang kita minat. 

Kalau kita kenal kawan dia, bukan setakat nama, nombor telefon pun boleh dapat. Kalau tak, memang susahlah. Lagi-lagi nak memulakan kata-kata bait perkenalan dengan perempuan yang kita minat.

Dengan bantuan teknologi sekarang, kalau kamu ternampak kad pelajar atau kad pekerja dia, dapat tahu dia belajar atau kerja di mana, kamu sudah boleh dapat tahu nama perempuan tersebut.

Bagaimana? Dari Facebook-lah. Kalau kamu sedikit tekun, kamu pasti dapat cari. Aku sudah banyak kali cuba dan semua percubaan mencari nama perempuan di Facebook berjaya dengan jayanya. Tak perlukan ayat manis atau buat sesuatu yang mengejutkan (mengejutkan dalam erti kata baik) untuk mendapatkan first impression yang baik dari si gadis idaman.

Memulakan langkah perkenalan pertama adalah yang paling sukar sekali. Kegugupan apabila bertentang mata buat kali pertama. Tak tahu apa yang perlu dikatakan dulu, takut-takut kalau tak terkeluar suara. Risau juga kalau kegugupan tersebut dapat ditangkap oleh gadis tersebut, membuatkan first impression gadis tersebut kepada kita akan menjadi sedikit negatif.

Tapi kadang-kadang, perkara seperti kegugupan semasa first date mampu menjadi satu kenangan buat setiap pasangan. 

"Kelakar bila I ingat first date kita. You nampak pucat betul."

"Ala.. Sama je dengan you. Control ayu 24 jam."

Perkara-perkara ini bakal menjadi kenangan cinta buat pasangan. Tak semua kenangan perlu bersifat sempurna. Kadangkala, ketidak sempurnaan itu yang menjadi perkara yang akan diingati dan menjadi kenangan paling manis.

Dengan bantuan teknologi, perkara sebegini dapat dielakkan dengan mudah. Takut untuk bertemu buat kali pertama? Mulakan perkenalan melalui Yahoo Messenger, Facebook Chat, Twitter, Skype dan apa-apa yang sewaktu dengannya.

Berbual dengan gadis melalui internet sebanyak yang mungkin. Kalau boleh, biar sampai berbelas-belas kali. Bina keyakinan melalui chatting. Selepas mula rasa selesa dengan gadis tersebut, barulah berjumpa dengan gadis tersebut.

Proses berkenalan dengan perempuan idaman kita adalah yang paling penting. Setiap kali si gadis idaman kita berkata-kata, kita perlu dengar dengan teliti. Dari situ, kita akan belajar mengenal si dia. Kita tahu bagaimana cara dia bercakap dan gaya tubuhnya.

Dan yang paling penting sekali, kita kena dengar betul-betul apa yang dikatakan oleh si gadis tentang perkara kegemaran si gadis. Apa muzik kegemaran, apa filem kegemaran, apa lagu kegemarannya, apa artis kegemarannya, apa kenangan manis dalam hidup gadis tersebut, apa yang sering dilakukan dalam kehidupan seharian dan bermacam-macam lagi.

Sekarang? Kita tak perlu mendengarnya dari mulut gadis tersebut. Pergi ke profil Facebook-nya dan tengok sahaja apa page yang telah di "like" oleh gadis tersebut. Terus kita tahu segala kegemaran gadis tersebut.

Kisah seharian gadis tersebut? Baca sahaja blog gadis tersebut. Tahulah bagaimana perasaan gadis tersebut, kisah hidupnya dan lain-lain lagi.

Persoalannya, adakah teknologi memusnahkan perkara-perkara romantis pada zaman sekarang?

Tidak ada komentar:

Posting Komentar