Senin, 18 Juli 2011

Antara Kerja, Keluarga dan Diri Sendiri

Aman seorang pekerja di sebuah syarikat. Dia berpangkat senior eksekutif. Bergaji RM 3,000.00 sebulan. Aman tinggal di sebuah bandar happening bernama Kuala Lumpur. Dia merupakan peminat bola sepak dan merupakan pernyokong kuat Chelsea FC.

Tujuan utama Aman bekerja di Kuala Lumpur ialah supaya dia boleh berlaga bahu dengan artis kegemarannya, Hail Amir. Tapi harapannya tidak pernah tercapai kerana penduduk Kuala Lumpur bukannya 1,000 orang seperti di kampungnya.

OK. Aku dah jauh terpesong ini.

Aman sudah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak. Satu berumur 4 tahun dan satu lagi baru berusia 6 bulan. Isteri Aman ialah seorang suri rumah sepenuh masa.

Selepas kerja, Aman akan segera pulang ke rumah kerana ingin bermain bersama anak-anaknya. Aman sering bermain dengan anak-anaknya, walaupun sekejap, dan selalu membacakan buku kepada anak-anaknya sebelum mereka tidur.

Selain itu, Aman juga akan mengambil peluang untuk membaca buku kerana membaca buku sememangnya hobi beliau semenjak azali lagi.

Semakin lama, anak-anak Aman semakin membesar. Aman mula sedar yang gaji beliau tidak mampu menampung keluarganya, lebih-lebih lagi mereka tinggal di Kuala Lumpur. Ditambah pula kenaikan harga petrol dan barang-barang harian setiap tahun. Menantikan harga barang-barang turun bagaikan menantikan bulan jatuh ke riba, bagaikan menantikan kucing bertanduk, bagaikan menunggu Lisa Surihani datang meminang aku...

Aman nekad. Dia mahu berkerja keras supaya mendapat kenaikan pangkat dengan segera dan mampu mendapat gaji yang lebih tinggi demi isteri dan anak-anak.

Aman bekerja siang dan malam. Dia tidak lagi pulang rumah awal untuk bermain dengan anak-anaknya. Dia tidak lagi dapat membacakan buku cerita kepada anak-anaknya sebelum tidur. Dia tidak lagi punya masa untuk melakukan hobi kegemarannya iaitu membaca. 

Dia tidak lagi punya masa untuk menonton pasukan kesayangannya, Chelsea FC. Bukan kerana Aman memotong Astro kerana saban tahun pakej sukan dinaikan harga, tapi kerana terlalu sibuk bekerja.

Dalam tempoh 7 tahun, Aman berjaya naik pangkat sebanyak 4 kali kerana kerajinan Aman yang mengalahkan orang Jepun. Orang Jepun pun tak berani melawan tahap kerajinan Aman.

Kalau pangkat sudah naik, sudah pasti gaji aman pun sudah naik juga. Gaji aman kini jauh lebih banyak dari gaji 7 tahun lepas. Aman dan keluarga tidak lagi dihimpit masalah kewangan malahan mampu hidup senang seperti orang kaya.

Oleh kerana Aman bekerja terlalu kuat sehingga mengabaikan keluarganya, hubungan Aman dan anak-anaknya kian renggang. Anak-anaknya tidak lagi mesra dengan Aman. Anak-anaknya lebih rapat dengan isterinya. Anak-anaknya menganggap Aman bagaikan orang asing. Mereka jarang berbual bersama.

Malahan, Aman juga sudah tidak lagi dapat membaca buku. Boleh dikatakan semua buku yang berada di MPH, Kinokuniya, Popular dan segala jenis kedai buku tidak pernah dibacanya. Aman hanya mampu membaca preview yang ditulis di akhbar atau dari mulut-mulut kawan sepejabatnya.

Dia juga sudah lama tidak menonton bola. Kali terakhir beliau menonton pasukan kegemarannya, Chelsea, Jose Mourinho masih menjadi pengurus kelab tersebut.

Walaupun Aman berjaya membawa kesenangan kepada keluarganya, Aman telah hilang anak-anaknya dan tidak lagi mampu membuat perkara-perkara kegemarannya.

Aman mahukan anak-anak beliau mendapat kesenangan. Mahu menyediakan yang terbaik untuk anak dan isterinya. Aman bekerja keras untuk anak-anak tapi akhirnya beliau kehilangan anak-anaknya. Ironi bukan?

Dalam proses cuba membahagiakan keluarga, kita mungkin bakal terlepas perkara-perkara yang kita pegang selama ini. Dihimpit dengan taraf gaya hidup yang semakin meninggi, adakah manusia satu hari nanti akan hilang nilai kekeluargaan?

Apa pendapat korang?

P/S: Kisah ini digarap dari kisah benar juga. Tapi aku sudah olah sebaik yang mungkin.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar