Wisel penamat ditiupkan. Malaysia yang hanya mampu mengutip keputusan seri 1-1 di Stadium Bukit Jalil tersingkir dari pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 dengan agregat 4-6.
Selepas perlawanan tamat, timbul pelbagai komen dan perbalahan diantara peminat melaui Facebook, Twitter atau pun secara mulut.
Kali ini, aku nak bercerita sikit tentang beberapa persoalan yang timbul di hati aku dan beberapa kawan blogger dan Twitter selepas perlawanan semalam.
Persoalan 1: Adakah malaysia memerlukan pemain import?
Melihat barisan pemain Singapura, kita dapat melihat Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengambil beberapa orang pemain import, bukan penduduk kelahiran Singapura, dan diberikan kerakyatan untuk bermain untuk Singapura.
Adakah mungkin untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meniru langkah FAS?
Sudah pasti cadangan ini akan menerima tentangan dari semua rakyat Malaysia kerana rakyat Malaysia mahukan pemain kelahiran Malaysia menjunjung misi negara ini.
Tapi mengambil rakyat import untuk mewakili Malaysia bukanlah perkara baru di Malaysia.
Yuan Yufang adalah salah satu contoh termudah. Atlet lumba jalan kaki ini merupakan rakyat kelahiran Beijing, China. Beliau telah mewakili Malaysia lebih kurang 10 tahun dalam sukan ini dan berjaya memenangi beberapa pingat emas di Sukan SEA, pingat gangsa semasa Sukan Komanwel 2002 dan 2 pingat gangsa lagi dalam Kejohanan Olahraga Asia pada tahun 2000 dan 2003.
Irina Maharani, kelahiran Russia, mewakili Malaysia dalam acara menembak dan berjaya membawa pulang pingat buat Malaysia di Sukan SEA.
Jadi, aktiviti import-mengimport bukanlah sesuatu yang baru buat Malaysia.
Malahan, perkara import-mengimport pemain bukan sahaja dilakukan oleh Singapura sahaja, negara yang terkenal dengan kehebatan pasukan bola sepak mereka juga melakukan perkara yang sama.
Pasukan Jerman misalnya. Miroslav Klose dan Lukas Podolski merupakan kelahiran Poland, Cacau kelahiran Brazil, Gerald Asamoah berasal dari Ghana dan Kevin Kurányi berasal dari Brazil.
Bukan setakat Jerman sahaja. Itali mengambil Thiago Motta, pemain kelahiran Brazil. Sepanyol mengambil Marcos Senna, juga satu lagi pemain kelahiran Brazil dan Portugal juga mengambil anak jati Brazil, Deco. Jangan lupakan pasukan kesayangan seantero dunia, England, yang mengambil Owen Hagreaves, kelahiran Kanada.
Jadi, mungkinkah satu hari nanti Malaysia membuka pintu untuk pemain import?
Persoalan 2: Bilakah penyokong Malaysia akan faham yang tembakan laser itu salah?
Sekali lagi, isu laser timbul sekali lagi. Kita dapat lihat penjaga gol Singapura ditembak oleh pancaran laser dari penyokong Malaysia beberapa kali dalam perlawanan semalam.
Adakah penyokong Malaysia tidak sedar perbuatan tersebut merugikan pasukan Malaysia? Adakah mereka tidak sedar yang pengadil boleh menghentikan perlawanan (jika kesalahan berulang kali dilakukan) dan pengadil boleh terus menganugerahkan kemenangan 3-0 kepada Singapura?
Yes! Stop playing with that stupid laser. Please!
Persoalan 3: Adakah kekalahan ini bakal mengganggu Skuad Harimau Muda dalam kelayakan Olimpik 2012 dan Sukan SEA 2011?
Satu benda yang kita nampak dengan skuad bola sepak Malaysia ialah semangat!
Semenjak kemenangan pingat emas di Sukan SEA 2009, semangat pemain Malaysia tiba-tiba bangkit. Dengan semangat yang ada ini telah menyebabkan permainan skuad Malaysia menjadi lebih baik dan seterusnya membawa kepada kemenangan Piala AFF pada tahun lepas.
Dengan semangat ini jugalah, pemain Malaysia dari skuad senior dan skuad Harimau Muda meneruskan pejuangan untuk kelayakan Piala Dunia 2014 dan kelayakan Olimpik 2012.
Dan kekalahan malam semalam sudah pasti menjejaskan semangat pemain Malaysia. Bukan hanya kerana persembahan buruk menentang Singapura, sama juga ketika menetang Taiwan.
Malahan, ada beberapa pemain yang mewakili kedua-dua skuad senior dan skuad Harimau Muda, seperti Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad dan lain-lain lagi.
Jadi, adakah kekalahan skuad senior bakal menjejaskan moral mereka ketika mewakili skuad Harimau Muda untuk kelayakan Olimpik 2012 dan Sukan SEA 2011 nanti?
Persoalan 4: Adakah pihak media memberikan tekanan kepada Skuad Malaysia?
Sebelum bermulanya lagi perlawanan pertama menetang Singapura di tempat lawan, media seolah-olah memberikan satu tekanan kepada skuad Malaysia.
Boleh dikatakan setiap hari keluar headline tentang Malaysia akan menang besar, pasti akan menang mudah, Singapura bukan lawan Malaysia dan pelbagai lagi headline yang berbau "cakap besar" dan mereka bagaikan mewakili suara skuad Malaysia dan ini memberikan tekanan kepada pemain Malaysia.
Pasukan Indonesia juga mengalami masalah ini ketika final Piala AFF tahun lepas ketika menentang Malaysia.
Dan apabila skuad Malaysia tewas, media akan membantai pasukan Malaysia tanpa belas kasihan. Mungkin sudah sampai masa pihak media lebih berhati-hati ketika menerbitkan sesuatu artikel.
Persoalan 5: Adakah Rajagopal sepatutnya dipecat atas kekalahan ini?
Saham Rajagopal meningkat naik selepas beliau berjaya membimbing dan membawa pulang pingat emas Sukan SEA 2009 untuk skuad bola sepak Malaysia.
Harganya semakin meletup selepas Malaysia berjaya memenangi Piala AFF pada tahun lepas sehingga dikurniakan dengan gelaran Datuk K. Rajagopal.
Selpas itu, segala-galanya bagaikan kelam buat skuad Malaysis dibawah pimpinan Rajagopal. Seri dengan Etoil FC dan Hong Kong dan kemudian hanya mampu melayakan diri ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 dengan menewaskan Taiwan dengan jaringan tempat lawan bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.
Dan kemudian, 2 perlawanan timbal balik menentang Singapura untuk Kelayakan Piala Dunia 2014 menanbahkan lagi justifikasi kemerosotan skuad negara di bawah pimpinan Rajagopal.
Pelbagai persoalan timbul ketika ini. Antaranya ialah tentang Rajagopal yang mengamalkan favoritism semasa pemilihan skuad, iaitu menyenaraikan pemain kegemarannya dalam skuad dan membelakangkan pemain yang bagus, kesilapan pecaturan senarai kesebelasan utama dan juga tidak menurunkan Khairul Fahmi Che Mat, sebaliknya menurunkan Sharbinee Allawee ketika perlawanan pertama menentang Singapura untuk kelayakan Piala Dunia 2014.
Selain itu, percaturan pemain dalam skuad kesebelasan utama juga sering menjadi perbualan hangat. Pemilihan Ismail Faruqi dan Fakri Shaarani menjadi perdebatan hangat peminat bola sepak.
Kenapa 2 pemain ini dipilih walaupun gagal menyerlah untuk skuad Malaysia dan juga pasukan negeri masing-masing, sedangkan Mohd Ashaari Shamsuddin dan Baddrol Bakhtiar yang menunjukkan persembahan yang cemerlang buat pasukan negeri dan pasukan Malaysia tidak berada di dalam senarai?
Mungkin sudah cukup buat Rajagopal sampai di sini. 2 kejuaraan yang dibawa oleh beliau akan dikenang oleh rakyat Malaysia. Adalah baik jika dia berundur sekarang ketika namanya masih naik sebelum dipecat dalam keadaan namanya mula dikeji di media dan penyolong Malaysia.
Namun, satu lagi persoalan timbul. Siapa yang layak menduduki kerusi panas ini jika K. Rajagopal dipecat?
Persoalan 6: Adakah Lisa Surihani comel memakai jersi Malaysia?
Ok. Ini persoalan yang tidak ada kena mengena. Tapi dia comel bukan? Kan? Kan? Kan?
==========
Apa pandangan kamu tentang persoalan yang aku timbulkan? Sila kongsi pendapat anda di ruang komen tentang persoalan dan komen tentang perlawanan semalam.