Senin, 03 Januari 2011

Dulu dan Sekarang: Kaset & Walkman - CD & Discman - MP3 & iPod

First entry for 2011!!!!

Antara benda yang paling aku suka ialah muzik. Yes! Aku sangat sukakan muzik terutamanya yang bergenre Rock, Metal dan sebangsa dengannya. Ada juga band yang bergenre agak slow yang aku layan tapi Newboyz, Justin Bieber, Lady Gaga dan setaraf dengannya, memang aku tak layanlah.

Medium pertama yang memperkenalkan aku kepada muzik ialah kaset. Budaya mengumpul kaset dalam family aku sebenarnya dimulakan oleh mak aku. Cover kaset masa zaman mak aku dibuat dari plastik hitam. Tapi mak aku buang semua kaset koleksinya bila kami berpindah dari Kampung Peserai ke Taman Seri Penggaram.

Abang aku menjadi individu yang bertanggungjawab memperkenalkan aku kepada dunia kaset. Aku dalam sekolah rendah dan abang aku dah pun belajar di sekolah menengah masa tu. Banyak jugak kaset yang abang aku beli, album tempatan dan international.

Dari abang aku, aku kenal kaset dan band yang aku jarang dengar dari corong radio, TV dan Muzik-Muzik. Abang aku memperkenalkan aku kepada Nirvana, Metallica, Alice Cooper, Alice in Chains dan banyak lagi. Kalau kaset tempatan, M. Nasir, Hattan, Wings, OAG dan lain-lain lagi.

Dua kaset M. Nasir - Saudagar Mimpi dan Canggung Mendonan - bagi aku adalah antara album Made In Malaysia yang terbaik sehingga ke hari ini. Walaupun aku suka genre Rock, aku juga seorang yang sangat mementingkan irama unik dan lirik yang penuh maksud dalam sesebuah lagu. Lagu-lagu M. Nasir memang penuh dengan isi tersirat, sebab itu aku label 2 album M. Nasir ini antara album terbaik Malaysia.

Tak lama lepas tu, abang aku sambung belajar ke UPM. Aku mula hilang sumber kaset. Nak tak nak, aku kena beli kaset sendiri. Aku mula kumpul duit sikit-sikit dan pada usia 13 tahun, aku beli kaset pertama aku. Aku lupa apa nama kaset tersebut tapi kaset kompilasi lagu rock zaman 90'an yang mengandungi lagu dari Spin Doctor, Goo Goo Dolls, Soul Asylum, Better Than Ezra dan lain-lain (aku malas nak bongkar almari aku nak cari tajuk kaset tersebut).

Tapi satu lagi masalah timbul... Radio merah yang selama ini menjadi teman baik aku dan abang aku dalam bilik sudah rosak! Cilakak! Macam mana aku nak dengar kaset yang aku beli ni? Ada satu lagi radio dekat rumah aku tapi kalau mainkan kaset, sound dia kurang sikit. 

Pada masa tu, budak-budak tengah sibuk dengan walkman. Kawan-kawan aku pun semua sibuk tayang walkman masing-masing. Aku mula rasa tercabar. Nak beli walkman yang mahal dengan duit sendiri, memang tak mampulah. 

Hasil hikmat kipas mak cik peringkat dewa melangit, aku berjaya membodek mak cik aku untuk membelikan aku walkman. Mak cik aku bagi walkman jenama cikai saja. Harga bawah RM50, beli dekat Chow Kit. Tapi bagi aku, itu dah cukup memuaskan hati aku. Janji aku boleh layan kaset.

Seperti hukum alam yang kita tahu, jenama cikai tak kan bertahan lama. Baru setahun aku pakai, walkman tersebut terus tak boleh berfungsi. Damn it! Aku nekad nak kumpul duit & sambar walkman yang mahal sikit. Aku target Walkman Sony yang harga RM 150.

Model Walkman Sony yang aku beli dulu.
Aku tak ingat apa nama model walkman ni.
Aku Google, ini lah gambar yang pertama sekali keluar
Lepas separuh duit aku berjaya kumpul, mak aku dengan baik hatinya menghulur duit kepada aku. Jumlah yang mak aku hulur pada aku tu, separuh dari harga walkman idaman aku. Akhirnya, berjaya juga aku beli walkman berjenama. Barulah sound best sikit. Dan yang penting lasak dan tahan lama.

Dalam masa yang sama, aku meneruskan misi aku mengumpul kaset. Harga kaset pada masa tu, RM18.90 untuk kaset artis luar negara & RM13.90 untuk artis tempatan.

Aku mula giat mengumpul kaset secara fanatik pada tingkatan empat. Masa tingkatan satu sampai tiga, duit tak banyak lagi masa tu. Masuk tingkatan empat, duit belanja sekolah agak banyak, bolehlah aku menyimpan untuk beli kaset. Duit yang aku kumpul dalam seminggu membolehkan aku beli sebuah kaset. Tapi tak bermakna aku beli kaset tiap-tiap minggulah.

Hobi mengumpul kaset semakin memuncak selepas habis SPM, bila aku berjumpa kembali dengan Cendol selepas dia berpindah ke Klang. Cendol jugak ada hobi gila mengumpul kaset. Cendol lagi extreme. Sekali dia pergi ke Kedai Kaset Ajak, dia borang 5-6 kaset terus. Itu semua gaji hasil kerja di Kedai Encik Crab.

Koleksi kaset aku mula mencecah ratusan. Semua kaset-kaset ini masih ada dalam gerobok (almari) rumah aku. Mak aku ada suruh aku buang kaset-kaset tersebut. Tidak! Sayang tu. Itulah memori masa silam aku. Aku akan jaga sebaik mungkin kaset-kaset tu. Kaset-kaset tu semua terkandung memori aku semasa sekolah dan belajar di Politeknik.

Tapi Cendol ada sesuatu yang aku tiada. Dia ada Discman. Jenama Sony kalau tak salah aku. Discman mula popular masa aku tingkatan 5. 

Aku tak pasti ini ke model discman Cendol. Aku hentam saja ni...
Aku tak berminat nak beli Discman atas beberapa sebab: (1) Saiz Discman agak besar. Susah nak disimpan. Aku ada satu beg kecil buat aku simpan walkman dan kaset kalau aku travel. (2) Saiz CD yang lebih besar dari kaset. Tak muat beg walkman aku tu (3) CD senang patah. Aku jenis kasar sikit, sebab tu aku malas nak beli CD. Kemungkinan untuk calar atau patah adalah amat tinggi. (4) Harga CD Original mahal. Satu CD harga cecah RM49.90. Boleh beli 2 kaset dengan ada bagi lagi.

Tapi Cendol pun jarang beli CD original. Semua beli pirate CD.

Aku masih setia dengan walkam aku walaupun ramai yang mula beli discman. Sepanjang aku belajar di Politeknik Merlimau, walkman menjadi teman baik aku. Walkman dan kaset menjadi teman aku sepanjang aku berada dalam bas dari Batu Pahat ke Merlimau.

Pada tahun terakhir aku di Politeknik - zaman aku duduk di rumah sewa - Jimmy, housemate aku, memperkenalkan aku dengan satu jenis fail yang dinamakan MP3. Semua lagu yang aku nak, Jimmy download kan.

Kemuncak MP3 dalam hidup aku sampai ke kemuncak bila Baok mengajar aku dan Cendol cara mendownload lagu semasa aku belajar di UiTM Segamat dan tinggal di 32 Jementah. Maka mulalah era "download-mendownload memang cita-cita ku sejak kecil."

Dari situ, aku mula nampak yang walkman aku sudah mula hilang fungsi kerana aku sudah mula download lagu dan memberhentikan proses membeli kaset. Aku mula bosan bila aku hanya boleh dengar lagi-lagu terbaru dari Winamp dari laptop aku. Maka aku pun bercita-cita nak membeli MP3 player.

MP3 player aku sebenarnya di support oleh mak cik aku. Hadiah sempena aku dapat diploma kata mak cik aku walaupun sebenarnya dah 6 bulan aku konvo. Aku beli Sony Walkman Sony NW-E005. Harga dalam RM350++.
Sony NW-E005 yang aku beli
Aku suka MP3 player ni. Kecil, molek dan nampak kelakian MP3 player tersebut. Tapi aku ada masalah dengan benda-benda kecik. Aku selalu hilangkan MP3 player ini. Aku salah taruk. Aku taruk dekat sini, aku cari dekat sana. Mencabar kewibaan dan kesabaran aku.

Selepas setahun, MP3 player tersebut rosak tanpa sebab. Hangin satu badan aku dibuatnya. Kawan aku ada berkata yang MP3 Sony memang kurang tahan sikit. Bengang juga hati aku. Beli mahal-mahal, boleh tahan setahun saja. Jadi aku membulatkan tekad. Aku nak beli iPod! Aku mahu jadi hamba Steve Jobs!

Akhirnya, aku terus menyambar iPod Classic 80GB. Harga pasaran pada masa tersebut RM 1,299. tapi aku beruntung sebab kedai tersebut tengah menjalankan sales. Aku dapat beli iPod Classic tersebut dengan harga RM 999.

iPod Classic aku warna hitam
Semenjak itu, aku pun jadi hamba Steve Jobs. Tapi aku puas hati dengan iPod aku. Walaupun mahal, tapi kualiti bunyi dan gambar (MP4) memang terang dan jelas. Samapi sekarang iPod masih menjadi teman baik aku. Tapi earphone iPod ini dalam keadaan teruk, aku terpijak earphone tu. Hehehehe...

Semenjak menggunakan iPod, aku lebih banyak download lagu-lagu kegemaran aku daripada beli CD atau kaset. Aku tahu, download lagu adalah perbuatan yang salah. Tapi apa boleh buat, harga CD sangatlah mahal dan kalau kau pergi ke kedai muzik dan tanya pasal kaset, nescaya kau akan digelakkan tujuh keturunan.

Tunggulah bila aku dah dapat  kerja, mungkin aku akan memikirkan untuk beli CD original semula. Tapi tak semualah. Yang betul-betul aku minat saja. Yang jenis top dengan 1-2 lagu saja, baik aku download.

Kehidupan muzik aku dipenuhi dengan kaset, CD, MP3, walkman, discman, MP3 player dan iPod. Teknologi bergerak seiring dengan masa yang berlalu. Dan kemajuan sikit-demi sedikit mengubah selera pendengar muzik dari segi cara mereka menilai muzik dan membeli muzik. Itu mungkin aku akan bincangkan lain kali.

Agak-agak dalam 10 tahun akan datang, apa pula yang akan muncul dalam dunia nanti?

1 komentar:

  1. Masih simpan ke kaset2 tu bro.. kalau taknak jual kat saya hehehe

    BalasHapus