Minggu, 07 Oktober 2007

A STATE OF MIND


Tadi aku baru menonton sebuah filem dokumentari tentang salah satu negara komunis di dunia, Korea Utara di channel Discovery Channel, A State Of Mind.

A State of Mind merupakan filem dokumentari arahan Daniel Gordon, mengenai dua orang pelajar perempuan (yang terlibat dengan gimnastik), berumur lingkungan 10 - 15 tahun, berlatih 8 bulan untuk persediaan Sukan Rakyat Korea Utara, atau di kenali sebagai 2003 Pyongyang mass game.

Mass Game merupakan persembahan yang di atur oleh kerajaan Korea Utara yang melibatkan 100, 000 gimnas lelaki dan perempuan negara mereka membuat persembahan di depan pemerintah negara mereka sebagai tanda terima kasih dan hormat. Pemerintah mereka sekarang ialah Kim Jong-il. Peserta yang dapat turut serta dalam Mass Games amat berasa bangga kerana dapat membuat persembahan di hadapan jeneral mereka itu.

Apa yang menarik tentang filem ini ialah jarang ada pengusaha luar yang dapat membuat filem tentang negara ini kerana Korea Utara terkenal dengar dasar tertutup kepada dunia luar. Malah, biasanya orang asing (yang terpilih) cuma boleh melawat negara tersebut dalam tempoh 2 hari sahaja.

Selain itu, filem ini juga menunjukkan bagaimana taat nya rakyat negara mereka pada negara dan pemerintah negara mereka, dan juga cara hidup mereka di Korea Utara. Mereka tidak mendapat apa-apa pendedahan dari negara luar termasuk dari segi hiburan, pendidikan atau apa-apa medium luar negara. Ya! Kalau kamu duduk di Korea Utara, kamu mungkin tak kenal siapa Linkin Park, Britney Spears dan Paris Hilton.

Cara hidup rakyat Korea Utara juga sangat berlainan. Mereka akan di berikan tempat tinggal untuk setiap keluarga dan setiap rumah akan di berikan sebuah radio yang hanya mampu mendapatkan sebuah radio sahaja, iaitu saluran radio kerajaan. Radio kerajaan cuma mengeluarkan berita tentang negara mereka dan juga lagu-lagu dari artis Korea Utara. Yang sadisnya, radio tersebut tidak boleh ditutup, cuma boleh diperlahankan volume nya sahaja. Betul-betul nak memupuk semangat taat pada negara.

Cuba bayangkan, kalau kita jalan-jalan sambil menyanyi, mesti kita akan nyanyi lagu-lagu artis yang terkenal (atau pun tidak) dari Malaysia atau luar negara. Tapi berbeza dengan rakyat Korea Utara. Kamu tahu lagu apa mereka nyanyi semasa jalan-jalan atau melepak dengan kawan-kawan?

"Majulah Korea Utara. Panjang kan Umur jeneral Kim Jong-il"

Kalau kita, ada ke nak nyanyi lagu-lagu macam tu?

Selain itu, saluran TV mereka pun cuma ada 1 sahaja, juga saluran kerajaan yang banyak memaparkan berita berkenaan negara mereka, dokumentari negara mereka dan kejayaan atlit negara mereka.

Sistem pendidikan mereka juga berbeza. Mereka ada belajar bahasa inggeris juga tetapi yang menarik nya, cikgu mereka akan mengajar satu subjek untu membenci Amerika Syarikat dan negara-negara lain yang bersekutu dengan Korea Selatan semasa perang Korea dahulu.

2 orang budak perempuan yang berlatih bersungguh-sungguh untuk Mass Games tersebut supaya dapat membuat persembahan di depan Jeneral mereka. Jika mereka dapat membuat persembahan tersebut tanpa kesilapan, mereka di anggap sebagai ahli komunis yang sempurna. Tapi akhirnya Jeneral Kim Jong-il tidak hadir semasa persembahan tersebut.

Rupanya baru aku tahu yang Mass Games ini juga diadakan di semua negara-negara komunis. Negara komunis amat menitik beratkan sukan gimnastik. Patutlah negara-negara blok komunis dan bekas negara komunis seperti Russia, China, Romania dan lain-lain lagi, hebat dalam sukan gimnastik.

Tapi aku tabik kepada pengarah filam ini, Daniel Gordon, yang membuat dokumentari ini. Sebelum ini beliau juga pernah membuat filem dokumentari, The Game of Their Lives, tentang pemain bola sepak Korea Utara semasa Piala Dunia 1966. Ingat tak Piala Dunia itu? Ya. Skuad Korea Utara berjaya mengalahkan Itali 1-0 dalam pertandigan tersebut. Gol oleh Pak Doo-Ik, menjadi mimpi ngeri Itali sehingga hari ini. Pak Doo-Ik yang berpangkat koperal dalam askar, di naikkan pangkat menjadi sarjan kerana gol itu.

Setelah menonton filem tersebut, aku berasa lega dan syukur kerana tinggal di Malaysia. Bukan negara komunis dan bebas membuat pilihan sendiri untuk hidup. Walaupun ada beberapa keputusan pemerintah Malaysia yang aku kurang senangi, namun aku lega kerana pemerintahan beliau, Malaysia kekal aman dan sentosa. Harap Malaysia terus kekal seperti ini, jangan cuba menerapkan fahaman komunisme di dalam Malaysia.



Gambar Upacara Mass Games

Tidak ada komentar:

Posting Komentar