Dari hari Khamis sampai la hari ini, hidup aku agak sibuk. Bukan sibuk dengan hal-hal kerja, tapi hari-hari aku dipenuhi dengan aktiviti sosial yang berfaedah dan tak berfaedah.
Salah satu aktiviti sosial semalam ialah pergi menonton wayang. Kali kali terakhir aku menonton wayang, aku menonton satu cerita Hollywood yang dibiayai oleh skim MLM terbaik di Malaysia, Unstoppable.
Filem yang aku tonton semalam ialah Aku Tak Bodoh. Filem ini dibintangi oleh Amy Mastura, Riezman Kuzaimi, Namron, Ijat, Rohaizat Hassan (Aizat Hassan), Aeril Zafrel, Datuk Jalaluddin Hassan, Adibah Nor, arahan Boris Boo. Filem ini diadaptasi dari filem Singapura, I Not Stupid Too.
Bagi aku, filem ini memang menarik dan patut ditonton. Filem ini bergenre komedi yang bermesej. Komedi bermesej biasanya membawa mesej yang berat juga, kerana cuba menggabungkan perkara kelakar dengan benda serius. Biasanya komedi bermesej biasanya satu genre yang tidak berapa digemari oleh penonton Malaysia kerana penonton Malaysia lebih gemar menonton filem komedi bersahaja.
Filem ini membawa mesej kekeluargaan yang tinggi. Membawa mesej supaya ibubapa patut memberikan perhatian kepada anak-anak, menerangkan sesuatu dengan jelas pada anak-anak, ibubapa perlu dengar apa yang anak-anak ingin katakan, anak harus sedar dan hargai pengorbanan ibubapa dan ibubapa dan anak-anak perlu respect antara satu dengan lain.
Lakonan mentap dari pelakon berpengalaman luas seperti Namron, Amy Mastura dan Riezman Kuzaimi. Malah, lakonan pendatang baru seperti Aeril Zafrel, Rohaizat Hassan dan Ijat juga mantap walaupun merupakan pelakon baru (walaupun Aeril Zafrel sudah banyak berlakon dalam beberapa drama). Pelakon tambahan seperti mak cik kena ragut, salah seorang ahli kumpulan gengster dan salah seorang pelajar perempuan dalam kelas amat baik.
Walaupun ada babak yang kurang baik digarap semasa babak Aeril dan Rohaizat ditangkap semasa dituduh meragut, semua babak lain digarap dengan baik. 4 1/2 bintang untuk Aku Tak Bodoh. Diharap filem-filem macam ini bakal diterbitkan di Malaysia.
Diharap kamu juga memberikan sokongan pada filem ini. Sedih juga melihat filem sebegini baik, tapi dalam wayang cuma ada 10 orang termasuk aku.
Kredit gambar: www.budiey.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar