Aku tidak tahu mengapa, tetapi tiba-tiba bila terbangun daripada tidurku, aku teringat sesuatu.
Ingatkah kamu tentang iklan budi bahasa?
Iklan budi bahasa lakonan Adlin Aman Ramli. Babak iklan tersebut ialah di dalam LRT (atau mungkin di dalam komuter. Aku sudah tidak ingat sangat tapi rasanya memang dalam LRT). Dalam iklan berikut, Adlin Aman Ramli menjadi seorang yang tidak berbudi bahasa, atau dalam bahasa kasarnya, kurang ajar kerana tidak memberikan tempat duduk kepada orang buta dan wanita mengandung dengan berlakon tidur dan sebagainya.
Kalau tidak salah aku, iklan itu hasil arahan Adlin Aman Ramli sendiri. Bagi aku, aku suka iklan itu. Mesej iklan itu amat jelas. Dan penulisan kreatif iklan tersebut amat baik.
Tetapi tahukan kamu bahawa ramai orang yang mengecam iklan tersebut? Ramai yang menghentam iklan tersebut dengan menghantar surat atau sms ke surat khabar. Ada juga yang menghentam melalui blog masing-masing.
Mereka mengecam iklan tersebut kerana kononnya iklan tersebut merendahkan martabat orang melayu. Iklan tersebut konon nya menyatakan yang orang bangsa melayu kurang ajar.
Bagi aku, orang-orang yang memberi kecaman terhadap iklan itu cepat sangat melatah. Kenapa mahu sensitif sangat? Itu cuma iklan yang memberikan pengajaran kepada semua.
Baiklah. Sekarang aku mahu cerita tentang perkara yang aku nampak selama ini. Aku selalu bergerak dari satu tempat ke satu tempat menaiki bas. Dari Batu Pahat ke Segamat, Segamat ke Batu Pahat, Batu Pahat ke Kuala Lumpur, rumah aku ke bandar... Semuanya melalui bas.
Aku biasanya akan duduk di tempat paling belakang. Kenapa? Kerana aku tak mahu di ganggu. Akan aku sumbat mp3 player ke telinga aku atau aku biasa membaca komik di dalam bas. Aku tidak suka di ganggu ketika menaiki bas seorang diri. Kecuali jika ada seorang awek cun yang masih single ingin mengacau aku... Itu aku memang sangat tidak kisah. Ops... Kembali ke tajuk asal.... Ini kerana orang lain biasa akan duduk di tempat duduk sedepan yang mungkin kerana malas nak berjalan ke belakang.
Dari belakang, aku boleh nampak semua penumpang yang naik dan turun dari bas dab juga kedudukan tempat duduk merek di dalam bas.
Sering kali aku nampak orang tua naik ke bas ketika bas sudah penuh. Orang tua seperti ini tidak akan pergi ke belakang untuk cari tempat duduk kerana mereka tidak larat untuk berjalan ke belakang, campur lagi dengan gegaran bas yang sedang bergerak menyekat pergerakan mereka ke belakang.
Jadi mereka akan cari tempat duduk di hadapan sahaja. Tetapi tempat duduk depan sudah penuh. Apa jadi seterusnya? Ya. Orang tua itu akan berdiri sepanjang perjalanan. Amat jarang sekali aku lihat ada orang muda melayu yang akan bagi tempat duduk mereka pada orang tua tersebut. Kalau ada pun, mestilah orang muda dari bangsa cina dan india. Tetapi tidak ramai yang berhati mulia seperti itu.
Jadi membuatkan aku terfikir, adakah bangsa melayu kurang budi bahasa atau dalam bahasa yang lebih kasar, kurang ajar? Adakah kebanyakan (bukan semua) bangsa melayu tertanam sifat itu? Adakah mungkin salah satu sebab aku dudk di belakang bukan hanya kerana ingin mendapat privacy dengan komik dan mp3 player aku, juga kerana tidak ingin kehilangan tempat duduk aku? Adakah sifat kurang ajar itu memang sudah tertanam di dalam diri semua orang melayu?
Baik satu contoh lagi. Membuang sampah merata-rata. Perkara ini sering di buat oleh orang melayu tanpa sedar. Lepas buka bungkusan rokok atau gula-gula atau coklat atau apa-apa sahajalah, mesti akan di buang merata-rata tempat.
Mungkin bagi kamu, kamu akan fikir, "ala, sampah tu kecik je..." Tapi di negara lain. membuang sampah merata rata (tidak kira saiz sampah tersebut) di panggil kurang ajar dan tidak berpendidikan sivik. Yang aku ingin tekankan di sini ialah kurang ajar.
Tidak dapat di nafikan, ramai orang melayu yang buat begitu. Tanpa sedar atau dengan sedar. Sekali lagi ingin aku tanya, Adakah sifat kurang ajar itu memang sudah tertanam di dalam diri semua orang melayu?
Kenapa benda ini sering terjadi bagi kita? Mungkin kerana sewaktu waktu sekolah kita dahulu, kita tidak belajar subjek Pendidikan sivik di sekolah kita?
Aku ada lihat buku sepupu aku yang masih sekolah rendah sekarang. Mereka ada ambil subjek yang di panggil Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Tetapi bila aku baca silibus subjek itu, ia masih tidak cukup dan menepati tajuk subjek itu. Masih terlampau ringkas.
Adakah kamu masih ingat yang majalah Reader's Digest pernah menulis yang Malaysia merupakan negara paling kurang ajar di dunia? Kenapa? Mengikut kata penulis artikel tersebut, rakyat Malaysia memang bagus melayan pelancong dari luar negara, tetapi sifat seperti buang sampah merata-rata, tidak beratur ketika menaiki bas dan semua ini menyebabkan Malaysia di label negara paling kurang ajar.
Jadi, sekali lagi aku mahu petik, adakah Malaysia negara yang kurang ajar atau Melayu yang kurang ajar?
Ok. Sampai sini sahaja. Panjang sangat entri kali ini. Mungkin ada sesetangah melayu di luar sana akan marah dengan aku tentang entri kali ini, Jangan cepat melatah. Cuba fikirkan sedalam-dalamnya dahulu kebenaran nukilan aku kali ini.
Aku juga ingin meminta maaf jika mana-mana kamu yang terasa tentang entri kali ini. Aku bukan nak menghina bangsa sendiri, cuma mahu bagi kamu fikir sahaja. Bila aku kata melayu kurang ajar, bukan aku menuding jari kepada kamu semua sahaja, tetapi juga aku kerana di kad pengenalan aku juga tertera perkataan "MELAYU", jadi aku juga kurang ajar.
Maaf juga kerana tiba-tiba menulis sesuatu yang agak serius, ini kerana aku tidak pernah seserius ini dalam entri sebelum ini. Harap bagi komen yang membina, kalau mahu hentam aku kerana entri ini pun, aku tak kisah. Aku cuma manusia biasa......
Tidak ada komentar:
Posting Komentar