Senin, 06 September 2010

Sejarah Malaysia yang kita jarang dengar Part 3

Siri entri sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September setiap tahun.

Aku ingin memetik beberapa kisah bersejarah di Malaysia yang kita jarang dengar, kita tak ambil tahu sebab menganggap peristiwa ini "kecik dan kurang penting" atau tak tertulis dalam buku teks KBSM di sekolah-sekolah Malaysia.

Suatu masa dulu, idea sosialisme bukanlah asing sangat pada rakyat macam zaman sekarang. Para-para pemikir sosialis pernah membuat satu front gabungan dua parti sosialis terbesar di Malaya ketika itu, Parti Rakyat Malaya dengan Parti Buruh Malaya.

Samada kamu menyokong atau membangkang idea sosialis, kamu pro kerajaan atau pro pembangkang, anggap saja entri ini sebagai satu pengajaran sejarah kepada kamu. Apa yang aku ceritakan adalah untuk melihat kembali sejarah salah satu parti politik yang besar dalam sejarah politik di Malaysia.

Barisan Sosialis/ Socialist Front 1957-1966


Barisan Sosialis atau Socialist Front (SF) atau nama penuhnya Barisan Sosialis Rakyat Malaya (Malayan People's Socialist Front) dibentuk pada 26 Ogos 1958, terdiri daripada Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (LPM) pada mulanya dan disertai kemudiannya Parti Perhimpunan Kebangsaan atau National Convention Party (PPK) bagi membentuk satu pakatan politik yang telah bergiat cergas dan mendominasi beberapa pihak berkuasa kerajaan tempatan di Semenanjung Malaysia pada era 1950-an sehingga 1960-an.

Parti Rakyat Malaysia (PRM)
Ditubuhkan: 11 November 1955
Bapak aku panggil Parti Kepala Lembu
Parti Buruh Malaya
Ditubuhkan: Jun 1956
Dibubarkan: 1969
Dalam Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 yang pertama, SF telah memenangi 8 kerusi di peringkat kebangsaan menjadikannya parti yang ketiga terbesar di Parlimen Malaysia selepas Perikatan (nama lama Barisan Nasional - BN) dan Parti Islam Se-Malaya (PAS).

Lambang Parti Perikatan
Lawa jugak lambang BN yang lama ni
Semasa rancangan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman, untuk mengembangkan Tanah Melayu menjadi satu persekutuan yang lebih besar iatu Malaysia pada 1961, beliau cuba menjalankan kerjasama di antara pelbagai parti pembangkang di Parlimen. Maka SF telah berkerjasama dengan Parti Negara, Parti Progresif Penduduk (PPP), Parti Demokratik Bersatu atau United Democratic Party (UDP) dan Parti Islam Pan-Malaysia (PMIP), untuk membantah rancangan yang dilihat sebagai agenda tersendiri Perikatan.

Sementara itu, SF juga memperkuatkan penguasaannya di peringkat kerajaan tempatan seperti di Pulau Pinang, di mana SF telah menguasai 14 dari 15 kerusi bagi kerajaan tempatan George Town selepas pilihan raya Majlis Bandaran pada 1961. Pada 1965, SF telah menguasai majlis bandaran di Pulau Pinang dan Melaka serta juga majlis tempatan di Seremban dan Serdang. Faktor-faktor kemiskinan, gaji upah yang kecil dan kesihatan serta perkhidmatan bekalan elektrik dan air menjadi tapak sosialisme berkembang ketika itu.

Aktivis kesatuan sekerja, N. Patkunam, seorang ahli pengasas dan ahli jawatankuasa pusat Parti Buruh Malaya telah memenangi kerusi majlis tempatan Sungai Pinang pada pilihan raya 1958 dan 1961 dan seterusnya dilantik Timbalan Datuk Bandar pada 1960. Sebagai seorang guru yang muda, beliau telah menjual tanah pusaka ibu bapanya di Green Lane dan menyerahkan hasil jualannya kepada partinya demi untuk perjuangan mewujudkan satu masyarakat sosialis yang dapat menbenteras kemiskinan dan mendokong pembahagian kekayaan negara secara adil dan saksama.

SF telah bertambah kukuh apabila bekas Menteri Pertanian (1955-63), Abdul Aziz Ishak, membawa parti barunya Parti Perhimpunan Kebangsaan atau National Convention Party (PPK) untuk menyertai gabungan Barisan Sosialis (SF) apabila beliau disingkirkan daripada UMNO.

Oleh kerana pengaruh SF yang berkembang, kerajaan persekutuan Perikatan telah berusaha menjatuhkannya melalui propaganda mengaitkan sosialisma dengan komunisma dan mendakwanya anti-agama. Pengaruh puak berhaluan kiri SF yang bertambah semakin kuat telah menyebabkan tindakan keras dari kerajaan Perikatan pimpinan UMNO.

Pada 1963, sejurus selepas peristiwa Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963, kerajaan telah mengambil tindakan ke atas beberapa ahli politik dan aktivis pembangkang. SF dilihat sebagai pro-Indonesia dan semua pemimpin Barisan Sosialis telah diberkas. 

Antara mereka yang ditahan dan ditangkap ialah Ahmad Boestamam (presiden PRM), Ishak Haji Muhammad (presiden PBM), Abdul Aziz Ishak (presiden PPK) serta Datuk Kampo Radjo (kemudian menjadi presiden PRM), Tan Kai Hee, Tan Hock Hin, Dr. Rajakumar, Hasnul Hadi, Tajuddin Kahar dan ratusan yang lain.

Rapat umum dan demonstrasi besar-besaran telah diadakan pada 13 Februari 1965 di Kuala Lumpur sempena ulang tahun kedua penahanan Ahmad Boestamam dan lain-lain untuk menentang penangkapan beramai-ramai aktivis dan pemimpin SF di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tuduhan penglibatan kegiatan "subversif". 

Akibatnya pada Pilihan raya umum Malaysia 1964, SF hanya dapat memenangi 2 kerusi. Pembatalan pilihan raya kerajaan tempatan 1965 selepas pengisytiharan Darurat pada 1964 akibat Konfrontasi terus memberi kesan dan melemahkan pengaruh SF.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1969, Barisan Sosialis (SF) yang sebelum ini bertanding dan berjaya dalam Pilihan Raya Umum Tanah Melayu 1959 dan Pilihan Raya Umum Malaysia 1964 telah roboh berikutan pertikaian antara Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (LPM) mengenai isu-isu bahasa dan lain-lain meninggalkan PRM bertanding 6 kerusi di atas dirinya sendiri. PRM gagal memenangi satu pun kerusi yang dipertandingkan.

Barisan Sosialis akhirnya terus semakin lemah dan terkubur kerana mendapat tekanan kuat dari pihak kerajaan pemerintah akibat berlakunya tragedi rusuhan kaum Peristiwa Mei 13 pada 1969.

Selepas berakhirnya Socialist Front

Parti Buruh Malaysia akhirnya dibubarkan pada tahun 1969 setelah pembubaran SF.

Pada tahun 1970, kepimpinan Parti Rakyat telah diambil alih oleh Kassim Ahmad, seorang lepasan professional universiti, Parti Rakyat telah diterapkan lagi dengan ideologi sosialis lebih radikal. Pindaan Perlembagaan telah dibuat dan Parti Rakyat bertukar nama kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).

Pada 1989, PSRM bertukar nama balik semula kepada nama asalnya, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan menggugurkan perkataan sosialis dari nama parti dan perlembagaan. 

Ini mengakibat bantahan sesetengah ahli yang berpendapat parti itu telah mengendahkan perjuangan asal ideologi sosialisme mereka dan menyebabkan kumpulan serpihan yang diterajui Dr. Mohd Nasir Hashim dan kemudiannya menubuhkan parti baru, Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada 30 April 1998 yang berjaya didaftarkan akhirnya pada 10 September 2008.

Parti Sosialis Malaysia
Semasa berlaku gerakan Reformasi yang melahirkan sebuah parti baru iaitu Parti Keadilan Nasional yang dipimpin oleh Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim (Presiden ialah isterinya, Wan Azizah Wan Ismail) memulakan penerokaan untuk bergabung antara dua parti. Kerjasama kedua-dua parti ini bermula daripada pembentukan Barisan Alternatif. Ketika itu Presiden PRM ialah Syed Husin Ali. Walaubagaimanapun, hasrat penggabungan tersebut telah ditangguhkan disebabkan keengganan pihak berkuasa. 

Dua parti ini secara rasmi bergabung pada 3 Ogos 2003. Hasil daripada penggabungan parti, parti ini kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Syed Husin Ali yang merupakan Presiden PRM sebelum penggabungan ini menjadi Timbalan Presiden PKR manakala Wan Azizah menjadi Presiden PKR.

Walaupun demikian, beberapa pemimpin Parti Rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan penggabungan PRM  kepada sebuah entiti lain yang baru. Pada 17 April 2005, ahli Parti Rakyat Malaysia yang menentang penggabungan ini mengadakan Kongres Nasional di Johor Bahru dan dipilih menerusi kepimpinan baru bagi mengatasi pergelutan parti. 

Ini menyebabkan bekas pemimpin PRM yang telah bergabung dengan PKR, antaranya timbalan presiden PKR Dr. Syed Husin Ali (bekas presiden PRM), naib presiden PKR dan ahli pahlimen Subang R. Sivarasa (bekas naib presiden PRM) dan ahli jawatankuasa pusat Dr. Sanusi Othman (bekas setiausaha agung PRM) dan Tian Chua memohon kepada mahkahmah untuk PRM dibubarkan namun Mahkahmah Tinggi mengisytiharkan pembubaran PRM tidak sah kerana ianya hanya boleh dilakukan sekiranya 60% ahlinya mengundi untuk berbuat demikian di dalam kongres khas parti serta pemohon petisyen agar PRM dibubarkan sudah tidak mempunyai locus standi kerana telah meninggalkan parti. 

Pendaftaran PRM masih kekal sah sebagai parti politik mengikut Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan malahan PRM telah terus bertanding di dalam Pilihanraya Umum Malaysia 2008.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar