Semua rakyat Malaysia tahu yang yang pasukan bola sepak Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan SEA 2011 yang berlangsung di Jakarta dan Palembang pada malam Isnin yang lepas.
Perlawanan yang berlanjutan sehingga ke sepakan penalti memang mendebarkan. Jantung aku berdenyut laju sepanjang perlawanan.
Perlawanan kali ini menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia. Hatta orang yang tidak minat dengan sukan bola sepak seperti kaka ipar aku sendiri pun boleh terpaku melihat perlawanan ini.
Timnas sepak bola Indonesia memberikan tentangan hebat kepada pasukan Harimau Muda kita. Sepakan penalti yang diambil oleh Baddrol Bakhtiar yang berjaya ditepis oleh penjaga gol Indonesia tetapi tetap bergolek masuk ke dalam gol memang satu penutup perlawanan yang epik.
Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi yang sebelum ini dimenangi 2 tahun lepas di Laos. Kali terakhir Malaysia memenangi 2 pingat emas berturut-turut ialah pada Sukan SEA edisi 1977 dan 1979.
Sebelum memenangi pingat emas pada 2009, kali terakhir Malaysia menang pingat emas tersebut ialah 20 tahun yang lepas, pada tahun 1989. Satu tempoh yang begitu lama ditunggu oleh Malaysia untuk memenanginya semula.
Dan jangan lupa yang Malaysia juga merupakan johan Piala AFF pada tahun lepas, juga menundukkan pasukan Indonesia di perlawanan final.
Pencapaian ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini. Aku akui, semenjak menjadi peminat bola sepak, inilah detik-detik paling indah menjadi penyokong pasukan bola sepak Malaysia.
Sesiapa yang dilahirkan dalam era 80'an dan 90'an di Malaysia boleh dikatakan antara generasi yang malang kerana tidak dapat melihat kehebatan pasukan bola sepak Malaysia seperti dahulu.
Biasanya, kita hanya mendengar cerita dari ayah-ayah kita yang bercerita bagaimana kehebatan pasukan bola sepak Malaysia yang ada masa itu dibarisi pemain hebat seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Mokhtar Dahari, Hassan Sani, James Wong, R. Arumugam dan ramai lagi.
Atau pun cerita dari atok kita tentang kehebatan Raja Bola, Ghani Minhat (aku tak pernah tengok video yang menunjukkan permainan Ghani Minhat kerana RTM jarang menayangkan video perlawanan yang melibatkan Raja Bola ini. Atau memang RTM langsung tak simpan video-video ini di dalam arkib mereka?)
Kita hanya mampu mendengar cerita dari ayah kita bagaimana Malaysia berjaya melayakkan diri dalam pertandingan Olimpik 1972 dan 1980. Aku selalu ingat bagaimana ayah aku bercerita tentang perjalanan pasukan Malaysia semasa Olimpik 1972.
Ayah aku masih ingat setiap detik kesemua 3 perlawanan Malaysia di Olimpik 1972. Setiap keputusan perlawanan, siapa yang bermain, dan peristiwa yang terjadi dalam setiap perlawanan tersebut telah dihafal oleh ayah aku dan diceritakan dengan penuh perasaan oleh ayah aku.
Untung ayah aku. Ada juga sejarah bola sepak yang boleh dijadikan sebagai kenangan dalam hidupnya. Tapi generasi seperti aku agak malang apabila Malaysia melangkah ke ambang kehancuran selepas Liga Malaysia dilanda peristiwa rasuah secara besar-besaran pada tahun 1994.
Semenjak itu, pasukan bola sepak bagaikan menjadi bahan lawak jenaka. Lebih memalukan bila kita menjadi pasukan wajib yanag akan tersingkir awal dalam kesemua edisi Sukan SEA.
Sehinggalah munculnya skuad Harimau Muda. Sebuah pasukan yang rata-ratanya berusia 23 tahun kebawah. Pasukan ini dibentuk dengan harapan bakal menjadi pemain masa depan buat skuad Malaysia. Pasukan ini juga bertindak sebagai pasukan yang akan bermian dalam kelayakan Olimpik 2012.
Rancangan menubuhkan skuad Harimau Muda membuahkan hasil apabila berjaya memenangi pingat emas di Sukan SEA 2009 di Laos.
Bebeapa pemain dari skuad Harimau Muda kemudiannya menyertai pasukan senior dan berjuang dalam Piala AFF Suzuki yang kemudiannya dimenangi oleh pasukan Malaysia yang menundukkan Indonesia dengan aggregat 4-2.
Kemudian, tertubuhnya pula skuad Harimau Muda B, yang pemainnya rata-rata berusia 19 tahun ke bawah. Sebahagian pemain dari skuad Harimau Muda B ini diserap ke dalam pasukan yang bermain di dalam Sukan SEA 2011 yang akhirnya dimenangi oleh Malaysia juga.
Boleh dikatakan yang pasukan Malaysia kini sudah kembali merajai Asia Tenggara. Kemenagan dalam 3 kejohanan dalam 3 tahun ini memberikan harapan untuk kita melihat pasukan Malaysia kembali merajai bola sepak.
Program penubuhan skuad Harimau Muda A dan Harimau Muda B sudah menampakkan hasil. Kita dapat lihat pemain dari kedua-dua pasukan ini mempunya skill yang lebih baik dari pemain Malaysia dalam tempoh 20 tahun ini.
Selain itu, pemain-pemain ini mempunyai tahap mental yang lebih kuat. Biasanya, apabila menentang Indonesia di Stadium gelora Bung Karno dan tertinggal 1-0, memang kita sudah tahu pasukan Malaysia pasti akan kalah dan dibelasah teruk oleh Indonesia. Tetapi tidak bagi pasukan Harimau Muda ini.
Mereka mempunyai mental yang kuat. Mereka tenang menyusun serangan dan lebih banyak menghasilkan serangan merbahaya ke arah gol lawan sehinggakan pasukan lawan menjadi kelam-kabut dan resah walaupun bermain dihadapan penyokong sendiri. Harimau Muda berjaya menyamakan kedudukan seterusnya memenangi perlawanan tersebut.
Program mewujudkan pasukan Harimau Muda membuahkan hasil dan mampu menjadi katalis bagi peningkatan mutu permainan Malaysia. Tidak mustahil kita boleh merajai bola sepak dan melahirkan pemain-pemain hebat seperti di zaman 70'an dan 80'an.
==========
Untuk perlawanan malam ini, menentang Syria dalam kelayakan Olimpik 2012, aku tak meletakkan harapan besar untuk Malaysia menang kerana kebanyakan pemain Malaysia masih keletihan dan ramai yang tercedera. Lagipun, Syria merupan pasukan yang jauh lebih hebat dari Indonesia.
Tetapi bola itu bulat. Semasa perlawanan akhir Sukan SEA 2011, ramai menyangkakan Indonesia akan menang memandangkan ramai pemain Malaysia yang tercedera dan faktor Indonesia sebagai tuan rumah, tetapi pasukan harimau Muda berjaya juga memenangi perlawanan tersebut.
Jadi tidak mustahil buat Malaysia untuk menang malam ini. Menang atau kalah, itu belakang cerita, yang penting pasukan Harimau Muda terus kuat berjuang.
==========
Update:
Malaysia tewas 2-0 di tangan Syria. Tapi main tak lah teruk sangat. Kalau skuad dulu-dulu, mesti dah kena bantai teruk dah.
Tapi nampak pemain Malaysia masih keletihan. tak pe lah. Teruskan berjuang, Harimau Muda!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar