Jumat, 16 September 2011

Benda-Benda Amerika Yang Mungkin Boleh Di Malaysia-kan


Semenjak video Malaysian Boy ditayangkan di TV, banyak pihak mengkritik kerana lagu ini merupakan lagu saduran dari lagu American Boy nyanyian Estelle featuring Kanye West.

Ada yang memberikan kritikan yang membina. Ada yang mengutuk. Ada yang mengatakan tak patriotik kerana mengambil lagu dari Amerika untuk membuat lagu yang bersifat patriotik.

Bagi aku, aku tak kisah sangat. Korang bising-bising pun, lagu Negaraku itu pun lagu saduran dari luar negara juga. Apa nak hairan sangat kan?

Kita dah melihat lagu Amaerican Boy telah di Malaysia-kan menjadi Malaysian Boy. Jadi sempena Hari Malaysia yang kita sambut hari ini, mari kita lihat apa lagi yang kita boleh Malaysia-kan dari benda-benda Amerika yang lain.


Filem: American Gigolo


Apa benda ni? 
American Gigolo mengisahkan Julian Kaye (Lakonan Richard Gere) yang menjadi pelacur lelaki di Los Angeles. Punca kenapa dia menjadi pelacur lelaki ialah kerana dia seorang lelaki yang tertarik dengan kshidupan mewah - kereta mahal, baju jenama dan makan ditempat yang mahal - dan hanya kerja itu yang mampu merealisasikan impiannya.

Kemudian Julian berdepan pelbagai ragam dari pelanggannya. Ada yang pembunuh la, ada yang bermasalah dengan suamilah....

Aku pernah tonton cerita ini sekali sahaja, dan aku pun sudah tidak ingat jalan cerita ini (mungkin aku patut download filem ini). Satu-satunya yang aku ingat tentang filem ini ialah lagu tema untuk filem ini, nyanyian band Blondie - Call Me. dan lagu ini juga menyebabkan aku meminati beberapa lagu Blondie yang lain.


Apa yang jadi kalau ia di Malaysia-kan?
Jadilah Gigolo Malaysia. Aku tak pasti siapa yang patut memegang watak ini tapi mungkin boleh bagi watak ini kepada Ady Putra. Aku dapat rasakan dia boleh memegang watak gigolo dengan baik.

Sinopsis ceritanya, seorang anak muda yang datang dari kampung untuk ke bandar dengan harapan boleh hidup senang dan mewah di kotaraya. Tapi anak muda ini memandang rendah kepada pancaroba kotaraya. Akbatnya, dia hanya mampu menjadi cleaner.

Untuk merealisasikan impiannya, beliau menjadi seorang gigolo. Pelanggannya kebanyakannya datin-datin yang tua (Rosnah Mat Aris misalnya).

Adakah ia akan berjaya?
Tidak! Sudah pasti filem ini akan mendapat kritikan dan hentaman dari orang ramai. Kalau FINAS lepaskan pun, sudah pasti filem tersebut menerima 36 babak yang telah dipotong.

Lagipun, gigolo bukan suatu yang sihat dimata rakyat Malaysia. Sudah pasti para-para NGO dan Pemuda PAS akan membuat demonstrasi jalanan untuk menghalang tayangan filem ini?


Filem: American Gangster


Apa benda ni?
Sebuah filem yang memaparkan kisah benar taiko gangster bernama Frank Lucas yang berjaya menyeludup heroin dengan menggunakan perkhidmatan kapal terbang yang digunakan semasa Perang Vietnam. Seorang detective telah menyiasat kes ini. Lakonan Denzel Washington dan Russel Crowe.

Apa yang jadi kalau ia di Malaysia-kan?
Kita sudah ada KL Gangster. Tapi itu KL, bukan Malaysia. Jadi filem Malaysian Gangster perlulah diolah dan menunjukkan keganasan gangster dari pelusuk Malaysia.

Kita boleh mulakan cerita dengan gangster Johor dan gangster Kelantan tak puas hati, lalu mereka pergi ke KL dan bergaduh di sana. Gangster KL tak puas hati bila tempat dia dilanggar oleh 2 gang lain. Nak pergi menghalang, jumlah mereka sikit jadi mereka mintak pertolongan dari gangster Selangor. 

Jalan cerita ini berterusan sehinggalah gangster Sarawak dan Sabah juga turun ke Semenanjung untuk bergaduh. Setiap gangster akan bercakap menggunakan loghat negeri masing-masing.

Adakah ia akan berjaya?
Ya! Melihat trend filem bergenre gangster (Kongsi & KL Gangster) mendapat sambutan baik, rasanya filem Malaysian Gangster pasti laku juga. Tapi ia sedikit sebanyak boleh meningkatkan sentimen kenegerian dan mungkin menghalang semangat 1Malaysia nanti.


Lagu: Green Day - Last of the American Girl


Apa benda ni?
Sebuah lagu dari Green Day, yang dipetik dari album ke-8 band ini, 21st Century Breakdown. Lagu ini mengisahkan seorang lelaki yang bercinta dengan seorang perempuan yang berhaluan kiri (dari pandangan politik).

Apa yang jadi kalau ia di Malaysia-kan?
Kalau diadaptasikan ke dalam Bahasa Malaysia, sudah pasti lagu ini akan digam oleh pihak kerajaan. Jadi kita ubah isi lagu ini.

Kalau diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia, ia menjadi Wanita Malaysia Terakhir. Lagu ini mengisahkan dunia di masa hadapan yang berada dalam keadaan kelam-kabut. Kebanyakan rakyat Malaysia sudah dijangkiti oleh sejenis wabak merbahaya dan mati.

Akibatnya, tinggallah beberapa rakyat Malaysia sahaja yang hidup. Kebanyakannya lelaki. Seorang Melayu, seorang Cina, seorang India. Dan hanya ada seorang sahaja perempuan yang hidup.

Oleh kerana resam hidup manusia yang ingin hidup berpasangan, mereka semua terpaksalah memikat satu-satunya gadis Malaysia yang masih hidup itu untuk dijadikan teman hidup.

Adakah ia akan berjaya?
Kamu rasa? Tapi kalau baca dari isi lagu yang aku ubah itu, ia lebih sesuai dijadikan skrip filem dari sebuah lagu. Dan kalau bertul skrip itu berjaya difilemkan, ia sudah pasti akan menjadi filem yang teruk seperti filem 2 Alam.


Lagu: Green Day - American Idiot


Apa benda ni?
Sebuah lagi lagu dari Green Day, yang dipetik dari album ke-7 band ini, American Idiot. Lagu ini kuat berbau politik, di mana Green Day dengan lantangnya menyuarakan kritikan kepada kerajaan Amerika yang sedang memerintah.

Apa yang jadi kalau ia di Malaysia-kan?
Mungkin akan menjadi Bodoh Malaysia. OK, bunyinya tak berapa enak. Jadi kekalkan dalam bahasa penjajah, Malaysian Idiot.

Sudah pasti lagu ini tidak boleh mengikut isi lirik yang sama dengan versi Green Day. Kalau mengkritik kerajaan melalui lagu secara terang-terang, sudah pasti akan menerima hukuman yang berat.

Jadi, perlukan lagu ini diubah menjadi lagu yang menceritakan kebodohan rakyat Malaysia berfikir atau perbuatan bodoh yang sering dilakukan oleh rakyat Malaysia?

Adakah ia akan berjaya?
Tidak jika diubah isi lirik ini. Tapi jika dikekalkan dengan isi Green Day, iaitu mengkritik kerajaan, pasti lagu ini berjaya melekat di hati dan minda para pendengar. Dan juga sudah pasti akan membuatkan si penulis lirik dan penyanyi disumbat ke dalam ISA.

Eh? Bukan ISA dah kena mansuh ke?

==========

Ok. cukuplah sampai di sini repekan aku yang tak bermakna ini. Jumpa lagi di entri yang lain. Selamat Hari Malaysia!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar