Selepas menjalani pembedahan pembetulan hernia pada 20 November tahun lepas, aku belum boleh sembahyang berdiri macam manusia normal sampailah ke hari ini. Aku hanya mampu bersembahnyang sambil duduk, dengan kaki berlunjur.
Pada satu Jumaat dalam 2 minggu yang lepas, aku tiba-tiba mengajak bapak aku bersembahyang Jumaat di Masjid Bentara Luar atau lebih dikenali sebagai Masjid Lama. Kebiasaannya, aku dan bapak aku akan bersembahyang di Masjid Sultan Ismail atau dikenali sebagai Masjid Baru.
Masjid Lama mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding Masjid Baru. Biasanya di Masjid Baru, aku akan tunggu semua orang masuk ke dalam saf, baru aku masuk di saf belakang.
Oleh disebabkan saiz Masjid Baru yang besar, banyak ruang di bahagian belakang. Aku memang sengaja memilih untuk duduk di saf paling belakang kerana aku tidak mahu menyusahkan orang lain kerana aku yang terpaksa sembahyang secara duduk.
Tetapi di Masjid Lama, dengan saiz masjid yang lebih kecil, aku terpaksa berebut masuk untuk duduk di saf tengah-tengah. Kalau aku lambat, ada kemungkinan aku terpaksa sembahyang di tangga, macam di Masjid India.
Jadi aku pun sembahyang duduk di tengah-tengah masjid. Banyak mata yang memandang. Kalau seorang yang sudah tua dan berumur terpaksa bersembahyang duduk, itu mungkin satu fenomena biasa. Tetapi untuk orang muda seperti aku sembahyang duduk, memang banyak hati yang akan berkata.
Bagi yang tidak prejudis, mereka pasti akan berfikir aku terpaksa sembahyang duduk kerana aku tidak sihat. Bagi yang prejudis, mesti dah mengata yang bukan-bukan. Kenapa aku berkata demikian? Kerana aku pernah dengar dengan telinga aku sendiri. Biasalah.... Mulut Melayu...
Selepas aku selesai bersembahyang, ada beberapa orang memandang-mandang pada aku. Aku buat tak kisah.
Tiba-tiba ada seorang lelaki berumur pertengahan 30-an datang dan bersalam dengan aku. Dalam genggaman salam, lelaki tersebut meletakkan wang sebanyak RM 20 (kira macam salam kaut masa pergi kenduri la). Sambil memberikan wang tersebut, lelaki tersebut berkata, "duit ni buat makan ye?"
Selepas memberikan wang tersebut pada aku, lelaki tersebut terus pergi meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga. Damn! Mesti lelaki tersebut ingat aku ni cacat dan duit RM 20 yang diberikan tu sebagai derma.
"Abang!!!! Saya bukan orang cacat!!!"
Tapi jeritan aku tu tak dapat didengari oleh lelaki tersebut. Aku nampak lelaki tersebut pergi ke arah tabung derma untuk anak-anak yatim. Ada 2 tabung di situ. Lelaki tersebut memasukkan not RM 50 pada tiap-tiap tabung tersebut.
Boleh tahan kaya lelaki tersebut. Selamba je derma RM 100. Itu baru 2 tabung. Tak masuk tabung-tabung lain yang ada dalam masjid tu.
Aku sempat usha lelaki tersebut. Selepas keluar dari masjid, lelaki tersebut pun pergi ke arah keretanya yang di parking agak jauh dari kawasan masjid. Lelaki tersebut memandu kereta jenama Mercedez. Aku tak pasti model apa, tapi Mercedez sport dua pintu tu.
Selepas kejadian tersebut, aku dapat rumuskan beberapa perkara.
Aku berasa timbul rasa kesedaran dan bersyukur kerana dilahirkan dengan sifat yang sempurna. Memang sukar menjadi orang yang serba kekurangan, walaupun aku cuma tidak boleh sembahyang secara berdiri dan tidak boleh lagi terlibat dalam aktiviti lasak. Tapi sekurang-kurangnya aku dapat merasai nasib mereka yang tergolong dalam golongan O.K.U. dan sukarnya menjalani hidup dalam keadaan yang tidak sempurna dan sering tersisih dari masyarakat.
Aku bersyukur masih ada orang dalam kategori kaya yang masih prihatin kepada orang susah ayau kurang upaya dan sanggup menghulurkan bantuan. Keep up the good work, bro. Aku doakan agar lelaki yang bagi derma ni akan semakin kaya dan terus membantu mereka yang berada dalam kesusahan.
Nampak gayanya, aku tak kan ke Masjid Lama lagi sampailah aku boleh berdiri balik. Aku tak nak disalah anggap sebagai orang golongan O.K.U. dan dapat derma lagi. Malu beb!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar