Rabu, 24 Maret 2010

3 Tahun Sudah Berlalu.....

Sekelip mata, dah 3 tahun berlalu semenjak aku menaip entri pertama aku di blog ini. Sendiri pun tak sangka aku akan bertahan sebegini lama dalam bidang memblogging ni.

Seperti yang aku pernah tulis pada entri yang lepas, aku sebenarnya sudah memasang niat untuk menulis blog semenjak tahun 2002, namun hajat itu tak tercapai atas beberapa sebab yang aku juga tidak pasti akan jawapannya.

Dengan menjadikan Cendol sebagai bahan ujikaji untuk menulis blog, aku akhirnya memulakan entri pertama pada tanggal 25 Mac 2007.

Dan aku tidak sangka aku masih bertahan selama ini kerana aku sendiri sedar aku mempunyai semangat 'hangat-hangat tahi ayam' tetapi nampaknya tahi ayam itu aku jadikan baja dan semangat aku semakin memuncak untuk menulis (mungkin menaip) sehingga kini.

Bila aku baca kembali entri-entri aku yang lepas, pelbagai jenis cerita telah aku coretkan di atas blog ini. Dari kasih kelakar, sedih, tak senonoh dan lain-lain lagi. Dari pengalaman hidup aku sendiri seperti Kisah Aku dan Mei yang aku jarang-jarang ceritakan pada orang lain sehinggalah aku kisah kereta Lula accident.

Dalam tempoh 3 tahun, pelbagai jenis banner aku gunakan semenjak aku mula memblogging. Daei headder yang kosong hinggalah aku meletakkan beberapa gambar pelik menjadi header dan kini, Hannah Tan menghiasi header aku.

Aku juga seringkali mengubah background blog ini dahulu. Dari warna hitam menjadi warna putih. Kemudian aku mula menggunakan background gambar seperti gambar patung arnab yang berdarah, gambar perempuan emo, sehinggalah menjadi hitam semula.

Dari blog satu 2 kolum, kini sudah menjadi 3 kolum. Dari tiada Twitter widget sehinggalah muncul widget Twitter itu.

3 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Kalau kamu jadi peserta Akademi Fantasia, dalam 3 tahun kamu dalam tempoh kemasyuran sebelum kamu dilupakan 2 tahun kemudian. Dalam tempoh 3 tahun, kuah kari yang kamu beli mungkin sudah basi dan berbau busuk tahap tungking jika kamu tidak buang kuah itu.

Dalam tempoh 3 tahun menulis, pelbagai benda telah aku pelajari. Pengajaran yang aku dapat dari penulisan aku sendiri dan juga membaca penulisan orang lain.

Ada sesetengah pihak mengatakan menulis dan membaca blog adalah membuang masa semata-mata. Bagi aku tidak. Ia lebih berfaedah dari dadah, gam, dan kegiatan tidak sihat lain seperti merempit.

Aku berharap satu hari nanti aku berjaya memajukan diri aku dal mbidang penulisan ke satu tahap yang lain. Walaupun aku bukan mengambil pengajian dalam bidang penulisan, tetapi itulah harapan yang aku sering tanamkan dalam diri semenjak mula menulis di sini.

Aku berharap, aku dapat menulis di blog ini sehinggalah aku berhenti bernafas di bumi yang fana ini.

Terima kasih aku ucapkan kepada pembaca yang sanggup membaca penulisan tahap kelas ketiga di blog ini. Terima kasih juga pada para followers yang sanggup mengikuti perkembangan aku di blog selama ini.

Terima kasih.

Dan aku akan terus meneruskan bidang penulisan untuk selagi aku terdaya.

Selasa, 23 Maret 2010

WOTS TOP TEN LIST: 10 Tanda Anda Ketagihan Facebook Secara Berlebihan Part 2

Aku rasa part 1 entri yang lepas macam tak cukup sempurna. Tanpa membuang masa, ini dia bahagian kedua.

WOTS Top Ten List: 10 Tanda Anda Ketagihan Facebook Secara Berlebihan Part 2

10. Anda sanggup tak makan, tak mandi dan tak tidur kerana anda sayang hendak meninggalkan laptop anda kerana anda takut terlepas status update kawan anda yang terbaru.

9. Anda sanggup membeli hand phone yang mempunyai sistem internet yang mantap supaya anda boleh melayari Facebook dimana-mana dan juga bila-bila masa.

8. Anda sanggup tidak mengangkat panggilan atau membalas SMS kerana tidak mahu terganggu ketika berFacebook menggunakan hand phone.

7. Anda menukar gambar profil setiap 15 minit untuk memastikan gambar profil adalah gambar anda yang paling terkini.

6. Anda mahu berchatting dengan rakan-rakan anda melalui Facebook walhal kamu ada senarai kawan ada dalam Yahoo Messenger anda.

5. Anda menjadi 'fan' kepada lebih daripada 1,000 fan page atau group dan anda menghabiskan masa anda dengan membaca kesemua update status sehari suntuk.

4. Anda bercita-cita untuk berkerja di Syarikat Facebook satu hari ini dan sanggup mengenepikan cita-cita anda yang ingin menjadi doktor yang telah anda tanamkan semenjak kecil walaupun anda kini sedang belajar dalam jurusan perubatan di Universiti.

3. Tidak mengaku anda pernah ada akaun Friendster dan Myspace malah anda sudah pun delete kedua-dua akaun tersebut sebaik sahaja anda sudah pandai bermain Farm Ville.

2. Anda menukar nama anda kepada Abdul Facebook/Siti Facebook.

1. Di dalam resume anda di bahagian achievement (pencapaian), anda tulis: Berjaya mencapai Level 372 di dalam Farmville atau berjaya menang dalam 2,000 fight dalam Mafia Wars.

Sekain. Berjumpa lagi dalam list yang akan datang

Aku dah update Tears Don't Fall dan Lepas Laku.

Kamis, 18 Maret 2010

WOTS TOP TEN LIST: 10 Tanda Anda Ketagihan Facebook Secara Berlebihan Part 1

Aku selalu menonton talk show Late Show With David Letterman di saluran Star World. Aku amat meminati karekter David Letterman yang kelakar secara bersahaja.

Satu segmen yang paling aku tunggu-tunggu dalam rancangan tersebut ialah Late Show Top Ten List dimana David Letterman akan membuat satu senarai top ten tentang perkara atau benda yang popular ketika ini atau hal-hal isu-isu semasa.

Terinspirasi dari segmen tersebut, aku pun bercadang untuk membuat Warmness On The Soul (WOTS) Top Ten List.

WOTS Top Ten List: 10 Tanda Anda Ketagihan Facebook Secara Berlebihan Part 1

10. Anda menghabiskan masa anda ditempat kerja dengan tag kawan-kawan anda di dalam gambar setiap hari.

9. Anda klik 'Like' atau komen tanpa membaca status update rakan-rakan anda.

8. Tiada apa lagi yang anda ingin bualkan kepada ahli keluarga dan kawan-kawan kamu kerana kamu sudah membaca semua update status mereka dan merasakan itu sudah cukup untuk mengetahui khabar mereka.

7. Kamu main semua game yang ada di dalam Facebook dan anda merupakan pemegang Level paling tinggi dalam setiap game jika dibandingkan dengan semua rakan-rakan anda

6. Bila sebut perkataan 'game' kamu hanya membayangkan game-game yang berada dalam Facebook seperti Farm Ville, Mafia Wars dan Premier Football, dan sudah terlupa dengan game seperti Counter Strike, Winning Eleven, FIFA 2010, King of Fighter dan lain-lain.

5. Anda asyik 'refresh' atau 'reload' page Facebook anda setiap minit untuk menantikan update status terbaru dari kawan-kawan anda sebelum membuat perbuatan seperti no. 9.

4. Apabila tidak bermain Facebook, anda rasa hidup anda tak lengkap. Macam orang tak dapat hisap rokok lepas makan.

3. Anda menjadikan Facebook sebagai pelantar utama untuk bermain game dan melupakan PS3, Gameboy dan X-Box sebagai pelantar game sebenar.

2. Anda hanya tahu hari jadi ahli family dan rakan-rakan anda kerana Facebook yang memberitahu kamu.

1. Kamu tidak memberi salam atau mengucapkan hello sebaliknya kamu akan 'poke' ahli keluarga kamu bila kamu pulang ke rumah.

Tunggu senarai ini dalam bahagian kedua.

Senin, 15 Maret 2010

"Kami Ikut Trend" --- Kata Budak-Budak Baru Nak Up

Aku teringat dulu masa sekitar tahun 2005, dengan secara mendadak nama sebuah band dari Amerika menjadi sebutan anak muda di Malaysia.

Masa ni, aku masih menuntut di Politeknik Merlimau. Aku dah tak duduk dekat asrama lagi, aku duduk rumah sewa dengan kawan-kawan aku.

Rumah sewa aku rugged. Ada Astro, ada internet. Sama macam rumah sewa aku di 32 Jementah dulu.

Tengah aku menonton televisyen, rancangan di Channel MTV, datang seorang kawan aku dari rumah sewa lain, nak tumpang tengok tv. Lalu ditanyakan soalah pada aku:

"Kau dah tegok video klip Helena?"

"Helena? Penyanyi baru ke?"


"Apa jadah kau ni? Helena la. Lagu baru My Chemical Romance. Cakap minat lagu underground. Tak kan kau tak pernah dengar My Chemical Romance kot? Kau ni tak ikut trend la."


Serius aku tak pernah dengar nama band tu masa tu. Seriously, apa kena mengena underground dengan My Chemical Romance (MCR)?

2-3 hari lepas tu aku ada berbual dengan budak-budak junior aku yang baru semester satu. Diorang pun sibuk cerita pasal MCR. Aku tanya diorang pasal MCR ni. Diorang pakat gelakkan aku. Kata aku tak ikut trend.

Dari diorang ni, aku dapat tau la serba sedikit pasal MCR yang masa tu tengah diminati oleh golongan budak-budak baru nak up (budak-budak baru nak naik).

Semenjak dari hari tu, macam-macam aku dengar pasal MCR ni. Rata-rata budak-budak ni asyik berbual pasal MCR je. Sampai budak perempuan yang suka layan lagu-lagu leleh dari Kumpulan Newboyz dan Spring pun boleh layan MCR juga. Pelik juga aku. Dulu masa aku dengar lagu Metal, pandai pulak diorang cakap muzik tu bising. Lagu MCR tu tak bising pulak?

Budak-budak perempuan ni pun pantang dengar aku sebut nama Gerrard, terus nak menyampuk nak join sekali sebab diorang ingat aku tengah berbual pasal Gerard Way, penyanyi MCR, padahal aku tengah berbual pasal Steven Gerrard.

Aku pun cuba try dengar lagu-lagu MCR setelah dicadangkan oleh mereka-mereka semua tu. Aku pun cuba tapi lagu diorang ni tak berapa in dengan aku. Yang aku macam boleh in sikit pun lagu 'Ghost of You'.

Budak-budak ni sibuk kutuk aku. Diorang cakap aku tak ikut trend. Kata aku ni hidup dalam masa silam, tak boleh terima pembahuruan muzik dan sebagainya. Diorang cakap aku ni terperangkap dengan muzik-muzik underground Butterfingers dan muzik-muzik Punk Rock Green Day.

Aku buat tak kisah. Yang penting, aku happy dengan music yang aku dengar.

Tak lama lepas tu, budak-budak junior aku yang memperkenalkan aku kepada MCR tiba-tiba berubah arah. Dari Myspace & Facebook diorang, aku ternampak perubahan. Semua gambar Gerard Way dan logo-logo MCR dah hilang dari photo album diorang.

Rupanya diorang dah berubah arah lagi. Bila aku tanya kenapa dah tak minat MCR lagi. Diorang cakap dah bukan trend dengar MCR lagi. Diorang kata sekarang zaman Indie. Sekarang dah layan Hujan, Bunkface, Bittersweet dan yang sejenis dengannya. Liyana Jasmay bukan indie ya?

Habis sudah MCR. Tiada lagi MCR dalam hidup mereka. Sekarang dalam photo album mereka penuh dengan logo-logo kumpulan Indie pula. Dan mereka juga sudah berpakaian seperti Indie juga.

Baju-baju dengan catch phrase "Saya sayang emak saya", "saya sayang awak", "awak tak perasan saya sebab awak perasan awak cun", dan lain-lain ayat yang kadang-kadang buat aku nak gelak guling-guling.

Aku kagumi mereka ni sebab berani pakai baju-baju macam tu tapi ayat pada baju tu kadang-kadang mengarut sangat. Aku tau mereka cuba tiru trend di Amerika yang suka pakai T-Shirt yang tertera ayat-ayat bersifat sarcasm. Tapi kalau pakai baju dengan ayat macam kat atas tu, memang ada sikit kelakar.

Tu belum lagi T-Shirt dengan ayat "Indie adalah Underground. Cis! Betul-betul budak-budak baru nak up. Tak tau nak beza underground dengan indie.

Inilah sifat budak-budak baru nak up ni. Mereka suka mendengar sesuatu yang mereka anggap ikut trend. Biasanya merek ni berusia dari 13 hingga 21 tahun. Mereka ni biasanya cepat terpengaruh dengan kawan-kawan. Bila member dengar MCR, diorang pun dengar MCR. Bila member dengar Indie, mereka pun dengar indie.

Sebenarnya tak salah ikut trend. Cuma jangan la jadi macam tiada pendirian. Kejap sokong ni, kejap sokong tu. Bukan apa, aku takut industri indie yang tengah top ni bakal kehilangan para peminat bila peminatnya berubah minat kerana terlampau ikutkan trend. Ya la, tak ikut trend nanti di chop sebagai "tak cool" atau "tak ikut perkembangan zaman pula."

Perkembangan muzik Indie kat Malaysia memang bagus kerana serba-sedikit berjaya menutup laluan pemuzik dari Indonesia. Aku tak berapa kisah kalau band-band yang mempunyai karya yang bagus seperti Dewa 19 dan Padi meletup di Malaysia. Tapi kalau band maha sampah macam Wali Band, D'Masive dan Mata pun korang minat, apa kejadahnya tu?

Apa terjadi kalau tiba-tiba Noh Hujan kehilangan Raingers (Hujan Fans) kerana peminat Hujan tiba-tiba ikut trend lain? Apa jadi pada Bunkfaces bila kehilangan peminat? Sam bakal kehilangan kerjasama dengan TM dan Juliana Evans pun boleh jadi hilang dari hidupnya sama sekali.

So, janganlah ikut sangat pada trend. Cuba tetapkan pendirian sikit. Mungkin ada yang berkata, "ala... tukar haluan muzik aje... bukan nye jejaskan haluan hidup pun." Tapi kalau kita tidak boleh menetapkan pendirian kita pada hal kecil macam muzik, macam mana nak menetapkan pendirian pada prinsip hidup dan lain-lain. Serba-sedikit mesti mempengaruhi cara kita berfikir.

Oh ya. Mintak maaflah kepada adik-adik yang baru nak up ni kalau rasa terguris hati lepas membaca entri ini.

Jadi, tetapkanlah pendirian dan sokonglah muzik buatan Malaysia!

Nota Kaki:

1. Ikut trend punya pasal, aku pernah tengok seorang mamat yang pada asalnya taksub dengan Gothic, selalu dress-up ala-ala Gothic, tiba-tiba dress-up ala-ala Indie kerana ikutkan trend. Siap pakai baju "saya sayang emak saya" lagi. Ni baru la sell-out namanya.


2. Sokonglah industri Indie. Jangn biarkan industri ini jadi macam MCR, hilang peminat dengan sekelip mata.


3. Walaupun Liyana Jasmay cute & sweet, tapi dia bukan artis indie. Sekian.


Aku dah update Tears Don't Fall dan Lepas Laku.

Kamis, 11 Maret 2010

MASIH ADA YANG SEMPIT PEMIKIRANNYA

Sebaik sahaja Pentas Akhir Raja Lawak berakhir, aku menerima beberapa SMS dari sahabat handai. Lebih kurang macam ni bunyi SMS tersebut:

Kawan: Aku bengang betul la Idlan boleh kalah.

Aku: Kenapa pulak? Bukan ke kau tak suka Idlan tu? Kau cakap tak kelakar la... Lawak macam sampah la...

Kawan: Memang aku tak minat Idlan. Tapi lebih baik Idlan menang dari Kumpulan Kecik tu. Kecik tu kan dari Sabah.

Aku: So, kenapa pulak kalau diorang dari Sabah?

Kawan: Biar la orang semenanjung menang. Buat apa bagi hadiah kat orang Borneo tu.

Aku menggeleng kepala. Macam tak percaya ada kawan aku yang mempunyai pendidikan yang tinggi tetapi berfikiran sempit.

Bukan seorang saja, tapi ramai juga kawan aku yang tidak puas hati Kumpulan Kecik menang atas alasan mereka asal dari Kepulauan Borneo.

Ya, memang tidak dinafikan yang memang ada orang semenanjung yang tak suka orang Kepulauan Borneo. Kenapa? Aku sendiri tak pasti. Ada juga aku jumpa group anti orang Sarawak dan Anti orang Borneo. Dan ada juga orang dari Kepulauan Borneo yang anti kepada orang semenanjung.

Nampaknya, Malaysia ni bukan sahaja ada permasalahan antara kaum, tapi juga permasalahan antara orang Semenanjung dan Borneo.

Kenapalah sempitnya pemikiran? Kenapa nak anti-anti tak tentu pasal? Mana semangat Satu Malaysia yang dilaung-laungkan? Pandai sebut satu Malaysia, kutuk aku sebut tak join group 1Malaysia dalam Facebook tapi dia sendiri anti orang Borneo.

Aku tahu, budak yang aku ceritakan dalam entri ini selalu baca blog aku. So kalau kau terasa, aku minta maaf banyak-banyak dan bukakanlah minda untuk menjadi insan yang lebih berdaya intelek.

Ish.. Macam mana Malaysia nak maju kalau masih ada yang berfikiran perkauman, anti agama ini-agama itu dan anti Borneo dan Semenanjung.

Macam mana Malaysia nak maju kalau pemikiran rakyatnya masih seperti orang zaman batu?

Lu pikirlah sendiri.

Senin, 08 Maret 2010

OH, ANAK SAUDARA KU.....

Aku ada seorang anak saudara yang bernama Aatif Naufal. Naufal dilahirkan pada 17 Mac 2006, hasil perkahwinan abang aku dengan isterinya.

Semenjak umurnya mencecah 3 tahun pada tahun lepas, aku tengok anak saudara aku ni makin petah bila bercakap. Bukan setakat petah bercakap saja, malahan otaknya cepat tangkap dengan apa yang didengar dari persekitarannya.

Biar aku imbau apa perkembangan Naufal sepanjang umurnya mencecah 3 tahun.


Naufal 1

Kami sekeluarga makan bersama. Kami makan dilantai. Dah lama tak makan sambil bersila. Asyik makan atas meja semenjak meja makan dibeli. Biasanya, akak ipar aku akan menyuap Naufal makan tapi kali ni Naufal mahu suap sendiri.

Bila Naufal suap sendiri, habis bersepah nasi keluar dari pinggan. Akak ipar aku cuba memberi nasihat pada Naufal.

"Naufal, jangan makan bersepah. Tak elok membazir. Nanti menangis nasi tu."

Tiba-tiba Naufal berhenti makan. Dia terus memandang nasi tersebut.

"Naufal, kenapa tengok nasi tu?"

"Mama. Naufal nak tengok nasi ni menangis la."

Maka, ketawalah kami semua. Nampaknya budak-budak zaman sekarang susah nak terima kata-kata petua orang tua.


Naufal 2

Naufal tengah bermain dengan mainan roket yang aku dan abang aku dapat semasa kami semua pergi ke Fun Fair.

Tengah Naufal seronok main dengan roket tersebut, tiba-tiba abang aku bersuara:

"Naufal, meh abah tengok kejap roket tu..."

"Tak boleh. Ni harta Naufal," jawab Naufal selamba.

Pelik. Macam mana budak yang baru berumur 3 tahun sudah faham makna 'harta' dan boleh gunakan perkataan tu dalam konteks ayat?


Naufal 3

Akak ipar aku ajar Naufal jangan menggunakan kata-kata tidak elok. Sebagai contoh, bodoh. Akak ipar aku melabelkan perkataan tersebut sebagai perkataan "tak elok".

Satu hari sedang kami semua rancak berbual, tiba-tiba mak aku terlepas satu ayat, "apa ingat orang Malaysia sekarang ni bodoh ke?"

Naufal terus terdiam mendengar kata-kata mak aku. Dia pun terus mendapatkan abang aku sambil bercakap dengan perlahan.

"Abah, nenek tu dia cakap benda tak elok la tadi."

Abang aku tersenyum dan bertanya lagi pada Naufal.

"Apa yang nenek cakap tadi?"

"Naufal tak nak cakap. Benda tu tak elok. Abah je la yang cakap."


Perkembangan kanak-kanak berumur 3 tahun dulu dengan sekarang memang berbeza. Mereka lebih cepat belajar dari tingkah laku dan pertuturan kita.

Cuba bayangkan, baru umur 3 tahun Naufal dah pandai buka laptop dan main game dalam laptop tersebut. Baru 3 tahun, dah pandai guna hand phone touch screen.

17 Mac ni, genap 4 tahun umur Naufal. Entah apa pula kepandaian yang akan dikuasai dalam tempoh setahun akan datang.

Aku dah update Tears Don't Fall dan Lepas Laku.

Selasa, 02 Maret 2010

"ABANG!!!! SAYA BUKAN ORANG CACAT!!!!"

Selepas menjalani pembedahan pembetulan hernia pada 20 November tahun lepas, aku belum boleh sembahyang berdiri macam manusia normal sampailah ke hari ini. Aku hanya mampu bersembahnyang sambil duduk, dengan kaki berlunjur.

Pada satu Jumaat dalam 2 minggu yang lepas, aku tiba-tiba mengajak bapak aku bersembahyang Jumaat di Masjid Bentara Luar atau lebih dikenali sebagai Masjid Lama. Kebiasaannya, aku dan bapak aku akan bersembahyang di Masjid Sultan Ismail atau dikenali sebagai Masjid Baru.

Masjid Lama mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding Masjid Baru. Biasanya di Masjid Baru, aku akan tunggu semua orang masuk ke dalam saf, baru aku masuk di saf belakang.

Oleh disebabkan saiz Masjid Baru yang besar, banyak ruang di bahagian belakang. Aku memang sengaja memilih untuk duduk di saf paling belakang kerana aku tidak mahu menyusahkan orang lain kerana aku yang terpaksa sembahyang secara duduk.

Tetapi di Masjid Lama, dengan saiz masjid yang lebih kecil, aku terpaksa berebut masuk untuk duduk di saf tengah-tengah. Kalau aku lambat, ada kemungkinan aku terpaksa sembahyang di tangga, macam di Masjid India.

Jadi aku pun sembahyang duduk di tengah-tengah masjid. Banyak mata yang memandang. Kalau seorang yang sudah tua dan berumur terpaksa bersembahyang duduk, itu mungkin satu fenomena biasa. Tetapi untuk orang muda seperti aku sembahyang duduk, memang banyak hati yang akan berkata.

Bagi yang tidak prejudis, mereka pasti akan berfikir aku terpaksa sembahyang duduk kerana aku tidak sihat. Bagi yang prejudis, mesti dah mengata yang bukan-bukan. Kenapa aku berkata demikian? Kerana aku pernah dengar dengan telinga aku sendiri. Biasalah.... Mulut Melayu...

Selepas aku selesai bersembahyang, ada beberapa orang memandang-mandang pada aku. Aku buat tak kisah.

Tiba-tiba ada seorang lelaki berumur pertengahan 30-an datang dan bersalam dengan aku. Dalam genggaman salam, lelaki tersebut meletakkan wang sebanyak RM 20 (kira macam salam kaut masa pergi kenduri la). Sambil memberikan wang tersebut, lelaki tersebut berkata, "duit ni buat makan ye?"

Selepas memberikan wang tersebut pada aku, lelaki tersebut terus pergi meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga. Damn! Mesti lelaki tersebut ingat aku ni cacat dan duit RM 20 yang diberikan tu sebagai derma.

"Abang!!!! Saya bukan orang cacat!!!"

Tapi jeritan aku tu tak dapat didengari oleh lelaki tersebut. Aku nampak lelaki tersebut pergi ke arah tabung derma untuk anak-anak yatim. Ada 2 tabung di situ. Lelaki tersebut memasukkan not RM 50 pada tiap-tiap tabung tersebut.

Boleh tahan kaya lelaki tersebut. Selamba je derma RM 100. Itu baru 2 tabung. Tak masuk tabung-tabung lain yang ada dalam masjid tu.

Aku sempat usha lelaki tersebut. Selepas keluar dari masjid, lelaki tersebut pun pergi ke arah keretanya yang di parking agak jauh dari kawasan masjid. Lelaki tersebut memandu kereta jenama Mercedez. Aku tak pasti model apa, tapi Mercedez sport dua pintu tu.

Selepas kejadian tersebut, aku dapat rumuskan beberapa perkara.

Aku berasa timbul rasa kesedaran dan bersyukur kerana dilahirkan dengan sifat yang sempurna. Memang sukar menjadi orang yang serba kekurangan, walaupun aku cuma tidak boleh sembahyang secara berdiri dan tidak boleh lagi terlibat dalam aktiviti lasak. Tapi sekurang-kurangnya aku dapat merasai nasib mereka yang tergolong dalam golongan O.K.U. dan sukarnya menjalani hidup dalam keadaan yang tidak sempurna dan sering tersisih dari masyarakat.

Aku bersyukur masih ada orang dalam kategori kaya yang masih prihatin kepada orang susah ayau kurang upaya dan sanggup menghulurkan bantuan. Keep up the good work, bro. Aku doakan agar lelaki yang bagi derma ni akan semakin kaya dan terus membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Nampak gayanya, aku tak kan ke Masjid Lama lagi sampailah aku boleh berdiri balik. Aku tak nak disalah anggap sebagai orang golongan O.K.U. dan dapat derma lagi. Malu beb!