Senin, 30 Agustus 2010

Negaraku, Mamula Moon, Terang Bulan, Allah Lanjutkan Usia Sultan dan La Rosalie

Siri entri sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September setiap tahun.

Pernah dengar Negaraku? Kalau tak pernah, aku rasa kau mesti bukan Orang Malaysia, duduk dalam gua atau pun orang pekak.


Negaraku ialah lagu kebangsaan untuk negara kita. Negara kebangsaan biasanya melambangkan keperibadian sesuatu negara. Lagu kebangsaan biasanya menjadi kebanggaan buat rakyatnya. Lagu kebangsaan biasanya akan dimainkan dalam acara sukan sebelum sesuatu perlawanan bermula untuk memberi semangat kepada atlet tersebut.

Negaraku menjadi lagu kebangsaan Malaysia semenjak 31 Ogos 1957, dimana liriknya ditulis oleh beberapa orang penulis pada 25 Ogos 1957.

Seperti yang kita semua pernah dengar atau baca, lagu Negaraku diambil melodinya daripada Lagu Negeri Perak, Allah Lanjutkan Usia Sultan, yang juga diambil dari sebuah lagu yang berasal dari Perancis, La Rosalie, hasil ciptaan Pierre-Jean de Béranger yang kemudiannya popular di Seychelles.


Lagu Negeri Perak ini tercipta semasa Sultan Idris membuat lawatan ke England pada tahun 1888. Tiada lagu tema/iringan untuk menyambut ketibaan Sultan Perak ketika itu. 

Aide-de-camp Sultan Perak ketika itu (kira macam pembantu peribadilah. Munkin bendehara lebih sesuai kot) kepada Sultan Perak, Raja Mansur ibni Sultan Abdullah, tidak berani menyatakan tentang ketiadaan lagu iringan (takut daulatlah ni) terus meng-hummed/humming sebuah lagu yang pernah didengarinya yang datang dari Seychelles, iaitu La Rosalie.

Setelah memberitahu asal usul lagu tersebut, sultan bersetuju untuk mengambil lagu tersebut sebagai lagu rasmi negeri Perak. Lirik lagu tersebut telah ditulis oleh Raja Ngah Manur bin Raja Abdullah.

Kamu mesti pernah dengar satu masa dahulu, Rakyat Indonesia pernah menuduh Malaysia meniru lagu yang berasal dari Indonesia, Terang Bulan, untuk dijadikan lagu kebangsaan Malaysia.

Terang Bulan versi Rudy van Dalm & The Royal Rhythmics


Terang Bulan versi Anneke Gronloh

Sebenarnya Terang Bulan juga merupakan lagu saduran daripada La Rosalie juga. Lagu ini menjadi terkenal apabila sebuah persembahan bangsawan Indonesia di persembahkan di Singapura dengan mendendangkan lagu ini sekitar 1920'an. Rakyat Melayu di sekitar Nusantara telah menamakan lagu ini sebagai Terang Bulan.

Terang Bulan menjadi lagu evergreen bagi bangsa Melayu dan sering dimainkan dimajlis harijadi, party, di cabaret dan menjadi nyanyian dan siulan oleh semua orang pada sekitar 1920'an dan 1930'an. Semenjak Malaysia mengambil melodi lagu La Rosalie untuk dijadikan lagu kebangsaan, Kerajaan Malaysia telah mengharamkan lagu Terang Bulan dari disiarkan di radio dan televisyen.

Dari melodi lagu Terang Bulan ini, Felix Mendelssohn & His Hawaiian Serenaders telah menggubah sebuah lagu yang bertajuk Mamula Moon, yang telah dimuatkan dalam album Paradise Isle pada tahun 1947.


Jadi Rakyat Indonesia sekalian, janganlah anda menuduh kami mencuri lagu Terang Bulan untuk dijadikan lagu Negaraku, tetapi kami mengambil melodi La Rosalie. Sila pelajari sejarah sebelum cuba menuduh secara melulu. Get your fact right.

Begitulah hebatnya lagu La Rosalie ciptaan Pierre-Jean de Béranger. Menjadi lagu kegilaan anak muda sekitar 1920-1930'an. Menjadi lagu kegilaan di Seychelles, Hawaii dan Nusantara. Menjadi lagu rasmi buat satu negeri dan satu negara di kawasan Asia Tenggara.

Tapi cuba kita fikirkan sejenak. Lagu kebangsaan kita merupakan lagu saduran. Lagu kebangsaan yang menjadi kebanggaan kita dan lagu yang menaikkan semangat atlet sebelum satu perlawanan adalah lagu saduran. Kenapa kita tidak mencipta lagu kebangsaan sendiri?

Aku ingat, Ramli MS, salah seorang komposer terkenal, ada menggesa pihak kerajaan untuk mencipta lagu kebangsaan sendiri. Ramli MS ketika itu menulis dalam kolum kelolaannya di Harian Metro memberikan cadangan supaya kerajaan Malaysia mencipta lagu kebangsaan baru memandangkan negara jiran kita sering mempersendakan lagu kebangsaan kita.

Bagi aku, itu satu cadangan yang baik. Sudah sampai masanya Malaysia mencipta lagu yang mempunyai bunyi dan "perasa" yang lebih berjiwa Malaysia. Malaysia mempunyai ramai komposer yang mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam bidang muzik seperti Ramli MS, M. Nasir, Habsah Hassan, Audi Mok... So, aku rasa ada baiknya juga kalau kerajaan Malaysia mengambil serius pandangan Ramli MS. 

Cipta satu lagu yang lebih menonjolkan imej Malaysia dan ciptaan anak tempatan, bukannya lagu yang berasal dari komposer Perancis.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar