Kamis, 20 Mei 2010

Kenapa Akademi Fantasia semakin annoying dan harus diberhentikan

Entri ini ialah cross blogging daripada entri blog Faerrin.

Menulis tentang Akademi Fantasia ketika ia bakal melabuhkan tirai esok. Ironi bukan?

Sabtu ini, rancangan realiti terbaik Malaysia (ye ke?) Akademi Fantasia musim ke-8 bakal melabuhkan tirainya dan bakal menobatkan juara baru dan bakal menghiasi muka-muka majalah gosip murahan termasuk bakal berpossing di dalam kolam renang dengan tidak berbaju (jika lelaki).

Adakah aku excited menunggu sabtu ini? Ya, kerana pada pukul 2:30 pagi (dah masuk hari Ahad) perlawanan akhir UEFA Champions League antara Bayern Munich menentang Inter Milan. Itu yang aku nantikan, bukannya Konsert Akhir Akademi Fantasia (AF).

Bagi aku AF semakin lama semakin hilang auranya. Semakin lama semakin membosankan. Semakin lama peserta yang masuk juga semakin kurang berkualiti.

"Ah.. kau ni, tak tengok AF. Lepas tu kau nak kutuk-kutuk pulak. Dasar pembenci AF. Asyik tau nak kutuk je."

Silap di situ. Aku juga ada menonton AF . Aku ada juga menonton AF untuk 3 musim pertama tetapi tidaklah menontonnya tiap-tiap minggu. Sudah semestinya keutamaan harus diberikan kepada EPL (makan bola, minum bola). Semasa EPL tiada siaran langsung pada pukul 8:30, memang TV rumah aku bakal membuka konsert AF. So, aku layan saja.

"Kenapa kau layan konsert AF tu?"

Kata orang, kita tidak boleh mengkritik atau mengutuk sesuka hati jika kita tidak menonton. Tidak adil jika kita mengadili sesuatu benda tanpa melihatnya. Ya. Memang tidak cool apabila seseorang yang meminati muzik metal dan mengikuti peredaran muzik Underground menonton Akademi Fantasia. Tetapi tidak adil dan gentleman pula jika aku menghakimi rancangan tersebut tanpa menontonnya.

Lagipun, sebelum aku menonton AF, aku sudah pun menonton 3 musim pertama rancangan realiti yang berfenomena dari Amerika, American Idol (AI). Johan untuk 3 musim pertama, Kelly Clarkson, Ruben Studdard dan Fantasia Barrino, mempunyai tahap kualiti yang mantap untuk dinobatkan sebagai juara.

Aku follow sampai AF3, lepas tu aku rasa rancangan ini dah mula jahanam. Musim-musim yang seterusnya, aku tengok sekali sekala sahaja. Macam aku terangkan kat atas tadi.


Kualiti Pertandingan dan Kualiti Peserta

Format AI tidak jauh berbeza dengan AF, setiap pelajar perlu menyanyi di atas pentas untuk memungut undian dari para penonton melalui SMS. Pelajar AF akan mendapat lagu hasil pilihan pihak pengajar manakala peserta AI akan menyanyi lagu pilihan sendiri mengikut kategori yang ditetapkan pihak penganjur (minggu rock, minggu Michael Jackson dan lain-lain).

Bezanya, pelajar AF akan menyanyi mengikut lagu, rentak dan muzik yang diberikan. Tempo dan muzik lagu hanya diubah sikit-sikit (kalau suara peserta tak sampai key yang tinggi, ia turut diubah supaya peserta boleh menyanyi lagu tersebut). Sekali tengok, AF tidak ubah seperti nyanyian karaoke.

Peserta AI pula berbeza. Peserta yang masuk dalam AI kebanyakannya tahu bermain alat muzik dan tahu membaca not muzik. Mereka akan menukar tempo dan muzik mengikut genre yang mereka minati. Kalau peserta tersebut memang berminat dengan muzik Jazz, maka diubahnya lagu tersebut dalam rentak Jazz tapi masih sedap didengar (bukannya macam ada satu peserta AF8 yang menyanyi lagu Hanya Di Radio dalam rentak dangdut. Memang gampang bunyinya. Suara dah la tak sedap).

Peserta AI perlu menyusun muzik baru bersama pemuzik iringan. Dengan kata lain, tugasan mereka bukan sekadar menyanyi, tetapi juga menyusun muzik sendiri dan menaikkan kemahiran mereka dalam menulis lagu sendiri dan mewujudkan identiti tersendiri buat peserta tersebut.

Apabila tamat pertandingan, peserta AI yang berpeluang menjadi artis rakaman akan merakamkan album mereka sendiri dan menulis lagu sendiri (walaupun bukan semua). Mereka menjadi artis yang lebih independent dan berkualiti. Lihat Carrie Underwood (my favorite) dan Kelly Clarkson. Mereka menjadi peserta AI yang paling sukses dengan memenangi banyak anugerah muzik di Amerika dan eropah terutamanya Grammy Awards.

Bagaimana pula dengan pelajar AF?

Mereka akan merakamkan album dengan lagu yang diberikan oleh pihak Astro. Hanya segelintir sahaja lagu tersebut yang berkualiti dan yang lain-lain hanyalah lagu tangkap muat dengan kualiti yang hancur sama seperti lagu Cari Jodoh yang gampang nyanyian Wali Band.

Pelajar AF diberikan lagu dengan genre yang jauh lari dari genre kegemaran mereka hingga menyebabkan mereka hilang peminat mereka. Lagu mereka hanya popular dicorong radio dalam tempoh 5-6 bulan sebelum dilupakan oleh pendengar.

Bagaimana pula dengan anugerah? Pelajar AF hanya mampu memenangi Anugerah Artis Baru Terbaik sahaja. Untuk anugerah-anugerah lain dimana mereka terpaksa bertanding dengan peserta senior, mereka pasti akan tertewas ditangan Dato Siti Nurhaliza dan artis-artis Indie. Mungkin kalau ada Anugerah Artis Popular Melalui SMS, mereka mungkin boleh menang.

Beauty with talent: Carrie Underwood

Populariti Peserta

Ok. Cukup-cukup aku bandingkan Pelajar AF dengan Peserta AI. Nanti kamu kata aku ni berkiblatkan barat, Ejen Rahsia Amerika, tali barut George W. Bush, tak support Orang Melayu ataupun ahli Freemason pula.

Kita dapat lihat populariti pelajar AF biasanya tidak kekal lama walaupun dinobatkan sebagai juara program tersebut.

Mawi, johan AF yang paling dahsyat sekali aura popularitinya, sekarang pun sudah lenyap auranya. Johan yang paling berfenomena ini kini di 'booo' peminat dan dia sendiri sudah mengakui yang popularitinya mula merudum.

Mana hilangnya Vince dan Zahid? Faizal pula lebih hebat. Selepas menjadi juara AF, dia hilang begitu sahaja sebelum muncul kembali dengan berita bahawa dia kini sudah berkahwin tanpa pengetahuan keluarganya. Boleh dikatakan kategori simpan dalam peti sejuk.

Mila pula kini membintangi satu drama muzikal dengan skrip yang maha sampah, Kau dan Aku, dengan adanya babak tak masuk akal seperti mewujudkan pertandingan Futsal Muzikal.

Hafiz, johan AF tahun lepas hilang entah kemana. Balik-balik muka budak yang dapat tempat kedua dan ketiga sahaja yang selalu keluar dikaca televisyen.

Setakat ini, hanya Stacy sahaja yang berjaya bertahan. Mungkin kerana kelebihannya yang menari bagaikan manusia tidak berjantung membuatkan popularitinya bertahan lebih lama (seriously, macam mana Stacy boleh menyanyi sambil menari tanpa henti?)

Namun, kesalahan ini juga patut diletakkan dibahu Astro sendiri. Setiap peserta perlu menandatangani perjanjian dan akan terikat bersama Astro selama 3 tahun dimana Astro akan menentukan apa lagu dan genre yang akan dinyanyikan oleh pelajar (walaupun tidak bersesuaian dengan pelajar tersebut) sehingga menjahanamkan pelajar tersebut.

Seriously, dapatkah Astro mengawal lebih sedozen pelajar dan akan bertambah setiap tahun? Mampukah Astro menyusun jadual persembahan pelajar-pelajar tersebut? Akibatnya, ada pelajar yang terabai.

AF disiarkan setiap tahun. Setiap tahun, belasan peserta baru dipertengahkan untuk menjadi artis secara segera. Walaupun disingkirkan pada konsert minggu pertama, mereka tetap digelar artis. Senang bukan mahu bergelar artis sekarang ini?

Oleh kerana AF bersiaran setiap tahun, ia telah menjadi satu acara bermusim. Begitu juga nasib pelajar-pelajar AF. Populariti mereka juga bermusim.

Tahun ini, mereka akan dipuja oleh para peminat mereka. Kemana sahaja mereka pergi, mereka pasti akan dikejar oleh para peminat yang menginginkan tandatangan mereka. Kemana sahaja, mereka akan menjadi sasaran lensa kamera dan wartawan gosip terkenal, jubor. Eh, silap. Zubir.

Tapi ianya kekal setahun sahaja. Tahun hadapan, peminat mula memuja pelajar AF musim baru pula. Tiada lagi sorakan dari para peminat. tiada lagi spotlight untuk mereka. Tiada lagi kamera yang mengejar mereka. Zubir juga sudah pergi menjuborkan diri kepada pelajar AF musim baru.

Maka, sunyi sepilah pelajar AF ini. Hanya gosip putus tunang, kahwin sorok-sorok, skandal cinta atau ditangkap kerana menghisap dadah sahaja yang akan menaikkan populariti mereka. Itupun hanya sementara.

Setiap tahun, lebih setengah dozen pelajar diserapkan AF. Adalah mustahil jika mereka semua boleh mengecap ombak populariti dengan sama rata. Ada juga aku baca tentang pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak yang terpaksa pulang ke Pulau Borneo kerana gagal cari makan di sini.

Pada kamu di luar sana, jika kamu ingin menyertai Kem AF tahun hadapan kerana ingin hidup senang dan mengecap populariti dengan segera, fikir-fikirkanlah. Apabila kita dengan segeranya menjadi artis, maka dengan segeranya juga kita boleh jatuh.


Motif Diari AF?

Diari AF adalah rancangan dimana ia menyiarkan aktiviti harian pelajar dari semasa mereka mempelajari teknik vokal, kelas tarian, kelas drama dan lain-lain kelas lagi.

Kadang-kadang, ia juga akan menyiarkan aksi-aksi pelajar menghabiskan masa seperti aktiviti makan-makan, berbual sesama sendiri, berbual dengan tenaga pengajar, berbual dengan kamera (musim ini, ada yang berbual dengan motor pula), bergomol-gomolan, pelajar yang tergedik-gedik, suka menggatal, cuba tunjuk bagus dan lain-lain.

Kalau kamu bernasib baik, kamu dapat menonton aksi pelajar kutuk-mengutuk antara sesama pelajar. Biasanya, pelajar yang tidak mendapat undian yang tinggi akan mengutuk pelajar yang menjadi fan favorite. Di sini, sikap buruk orang Melayu seperti mengata belakang, mengumpat, memburuk-burukan orang lain dan menikam belakang member akan terdedah untuk tontonan umum.

Sikap -sikap buruk pelajar ini akan menjadi modal untuk peminat pelajar lain mengutuk mereka di Saluran 109, iaitu saluran untuk ber-chatting secara SMS. Penuhlah saluran tersebut dengan ayat maki hamun budak-budak yang berchatting.

"Meluat tengok si Joyah tu. Suara dah la tak sedap, tambah lak perangai buruk."

"Muka dah la buruk, suara tak sedap. Macam mana Samsiah tu boleh masuk AF."

"Kasi keluar budak Melah tu. Benci betul tengok dia tergedik-gedik dengan Osman tu. Aku ni dah la minat si Osman. AFUNDI Osman!!!!"

Penonton yang hanya dapat menilai mereka melalui kaca televisyen selama 30 minit terus mengutuk pelajar-pelajar tersebut tanpa tapisan. Apalah perasaan mak bapak peserta yang membaca ayat-ayat tersebut.

Nak buat macam mana mak cik oi, dah anak mak cik yang pilih nak masuk AF. Terima aje lah ye.

Kemudian datang pula penjaga pelajar-pelajar tersebut yang cuba melaga-lagakan para pelajar. Mereka akan cuba melagakan pelajar lelaki dengan perempuan.

"Osman, saya tengok Si Joyah tu macam ada felling dengan awak je?"

"Fatimah, saya tengok awak ni macam ada apa-apa je dengan Sazali. Cerita kat saya sikit."

Pelajar-pelajar tersebut pun akan membuat penjelasan. Kalau pelajar tu jenis rileks-rileks, dia akan menafikan. Tapi kalau dapat pelajar yang gedik nak mampus, memang segera akan mengiakan kenyataan tersebut.

Maka, para tenaga pengajar akan menggunakan fakta berikut untuk menyakat para pelajar. Begitu juga dengan pengacara Diari Fantasia. Mereka akan dilagakan yang kononnya mereka bercinta di dalam akademi. Menimbulkan gosip hangat di kalangan peminat. Mungkin akan menaikkan lagi jumlah undian para peserta.

Kepada peminat yang tidak puas hati apabila pelajar kesayangan mereka dipadankan dengan peserta yang dibenci, maka maki-hamun dan caci-mencaci akan menjadi subjek utama dalam Saluran 109 seperti di atas.

Belum keluar dari AF, pelajar-pelajar ini telah diajar untuk hidup dalam gossip murahan. Patutlah kebanyakan pelajar AF akhirnya banyak menjdai artis majalah.

Tapi bagus juga pada mereka, mungkin mereka dapat belajar bagaimana mereka perlu hadapi apabila berdepan wartawan hiburan seperti jubor.. Eerr.. Zubir dan apabila diterjah oleh Nenas Ahmad.

Mungkin selepas ini, Diari AF boleh menetapkan pula kelas untuk cara pose di tepi kolam renang. Banyak bagi manfaat bila mahu berpossing di Majalah Mangga nanti.


Astro Yang Tamak Haloba!

Memang tidak dinafikan, Astro cuba sedaya-upaya untuk rip-off duit dari poket-poket peminat AF yang fanatik.

Setiap minggu, peminat akan ber-SMS berhabis-habisan untuk menyelamatkan pelajar kegemaran mereka daripada tersingkir. Berapa banyak keuntungan yang Astro dapat dari situ.

Sebuah akhbar tempatan (bukan Harakah yang pasti) pernah mengeluarkan statistik bahawa AF merupakan rancangan realiti yang berjaya mendapat keuntungan paling tinggi melalui SMS peminat berbanding rancangan realiti yang lain.

Untuk mengosongkan lagi poket peminat AF, Astro memperkenalkan AFMASUK, dimana peminat boleh mengundi kembali pelajar yang telah tersingkir untuk bertanding kembali di peringkat akhir.

Cilaka! Kalau dah suara tu sumbang, no talent, menari macam kayu, memanglah terkeluar awal. Jadi, apa relevannya memasukkan mereka yang tidak berbakat ini pada peringkat final? Nampak sangat yang pihak Astro ingin mengambil kesempatan daripada para peminat yang kecewa kerana pelajar kegemaran mereka yang bersuara sumbang tidak dapat melangkah jauh.

Tidak cukup dengan itu, Astro juga mengeksplotasikan pelajar AF dengan membuat album gambar yang boleh didownload dengan harga yang mahal melalui telefon bimbit dan mendapatkan gosip terbaru melalui telefon bimbit.

Cukup-cukuplah kau menjahanamkan poket orang di luar sana, Astro. Sudahlah servis Astro macam celaka. Hujan sikit, habis hilang siaran. Hampeh! Baik kau gunakan duit tersebut untuk improvekan servis kau tu.


Obsessi pelajar/peminat AF

AF sedikit sebanyak mempengaruhi anak muda (baca: anak Melayu) di Malaysia. Samada yang ingin menyertainya sehinggalah yang menjadi peminatnya.

Kita dapat lihat berduyun-duyun anak muda Melayu yang belajar setakat SPM sahaja ataupun yang belajar sehingga ke IPTA/S beratur dan menyertai program ini.

Tujuan utama mereka ialah ingin menjadi artis dan bergelumang dalam dunia glamour. Mungkin bagi mereka, mereka berfikiran mereka akan cepat kaya jika menyertai bidang penuh glamour.

Well, your wrong kid. This is not Hollywood. This is not America. Even in Hollywood, celebrity get crash and burn and died as a poor man.

Jangan fikirkan ia jalan pintas untuk kaya dan berjaya. Di Malaysia, populariti tidak kekal lama semenjak kewujudan AF. Ingat tak Mas AF2 yang seolah-olah sakit jiwa dan cuba menyerang orang ramai kerana tiada duit? Jadikan dia sebagai tauladan.

Kalau kau ingin menyanyi kerana singing is your passion, tubuhkan band ataupun nyanyi secara solo dan mulakan dari bawah. Seperti Yuna contohnya. Masuk AF hanya akan memberikan kamu populariti sekitar 3-4 tahun (jika kamu juara) dan hanya setahun jika kamu terkeluar sebelum konsert final.

Tapi aku lebih kasihankan para peminat pelajar AF. Mereka berhabisan duit mengundi pelajar kegemaran mereka dan akhirnya, apa yang mereka dapat?

American Idol hanya membuka talian undian dalam masa 2 jam sahaja sesudah tamat persembahan peserta mereka. AF pula membuka talian tersebut 24 jam kerana mereka cuba mengaut keuntungan semaksimum yang mungkin dan para pengundi yang tertipu menghabiskan duit untuk memastikan pelajar kegemaran mereka menang pertandingan tersebut.

Apa yang lebih menyedihkan apabila aku melihat para peminat pelajar-pelajar AF ini bergaduh di saluran 109 iaitu saluran untuk ber-chatting secara SMS. Si Milah mengutuk pelajar A, Si Johan membela pelajar A dan mengutuk Pelajar B pula. Datang Si Joyah mempertahankan Pelajar B. Manakala moderator saluran tersebut mengapi-apikan para chatters untuk terus membuang duit dan memburukkan peserta lain.

Adik-adik ku, simpanlah duit tersebut. Mak bapak kamu bagi duit tu untuk belanja sekolah, bukannya menghabiskan untuk mengutuk pelajar. Kasihanilah mak dan ayah kamu itu. Malaysia bukan macam Amerika. Tahap GDP Malaysia jauh lebih rendah berbanding Amerika. Sudahlah harga barang sering naik selepas pilihan raya. Simpan sikit duit adik-adik tu.

Aku harap selepas ini, Astro menamatkan siaran AF ini. Cukup-cukuplah 8 musim yang ada. Mungkin Astro boleh mempertengahkan rancangan realiti yang baru untuk diketengahkan.

Contohnya, mungkin Astro boleh membuat satu rancangan realiti seperti The Scholar, di mana pelajar-pelajar cemerlang dikumpulkan dan bersaingan untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke IPT.

Tapi kalau Astro buat Beauty and The Geek, aku mahu masuk!!!!! Hahahhaa!!!!

Tapi macam mana pun, Mentor jauh lebih sampah dari AF. Lagi-lagi semenjak kehadiran Mas Idayu. Annoying.

P/S: Aku bersyukur kawan aku yang cuba menyertai Mentor tidak layak dan kini bermula dari bawah dengan menubuhkan band beliau sendiri. Tahniah Bro! Mula dari bawah. tak payah kejar fame tu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar