Selasa, 25 Mei 2010

Aku, mereka dan tabligh

Tengah aku lepak-lepak kat luar rumah sambil memerhatikan kucing, tiba-tiba aku ternampak sekumpulan manusia sedang berjalan-jalan. Mereka semuanya lelaki yang berpakaian jubah dan serban serta mempunyai janggut yang panjang. Mereka dipanggil tabligh.

Aku pun cepat-cepat lari masuk rumah. Tak senonoh betul perangai aku. Lari bila nampak tabligh. Perangai ini aku belajar semasa aku melanjutkan pelajaran di Politeknik Merlimau. Aku tak tahu macam mana kumpulan tabligh boleh dibenarkan masuk ke dalam Politeknik. Mungkin pak guard pun sudah diceramah "baik punya" oleh para tabligh tersebut.

Pada masa itu, ada 2 cara untuk mengelakkan diri dari diceramah oleh para tabligh tersebut. Yang pertama, kunci pintu bilik, tutup lampu dan kipas. Kemudian, bila para tabligh tersebut mengetuk pintu dan memberikan salam, buat diam saja. Jawab salam dalam hati. Tak jawab dosa pula. Selepas mengetuk pintu dan beri salam sebanyak 3 kali dan tidak berjawab, mereka akan pergi. Itu memang kelakuan rasmi untuk para tabligh.

Yang kedua, teknik ini biasanya digunakan oleh pelajar yang duduk di tingkat atas asrama. Apabila nampak kumpulan tabligh naik ke tingkat atas menggunakan tangga sebelah barat, maka mereka semua dengan pantas turun ke tingkat bawah menggunakan tangga di sebelah timur. Dan perkara ini berterusan selama 3 semester sebelum akhirnya kami semua duduk di rumah sewa.

Aku mula mengenali golongan tabligh semasa aku bersekolah menengah lagi. Masa tu, aku dan beberapa orang kawan telah diserbu oleh sekumpulan tabligh semasa aku dan rakan-rakan sedang lepak disebuah gerai di Tasik Y. Maka, termaktublah hari tersebut dalam sejarah hidup aku, aku diceramah oleh ahli tabligh untuk kali pertama dalam hidup aku.

Dan aku terus menerima beberapa sessi ceramah lagi apabila aku sekali lagi terserempak dengan ahli tabligh semasa aku sedang dating bersama Mei di Summit Parade (tapi sekejap sahaja) dan kemudian mereka datang ke rumah aku pula (yang ni lama). Bila sudah besar sikit, baru pandai main lari-lari dengan tabligh. Tapi pernah juga sekali-dua terkantoi.

Tak senonoh betul perangai. Orang nak bagi ceramah agama, aku boleh main lari-lari pula.

Tapi bila difikir-fikirkan, ada beberapa sebab kenapa aku dan kawan-kawan sekalian melarikan diri daripada para tabligh.


Cara Pemakaian Mereka

Kita tahu yang tabligh biasanya sinonim dengan jubah putih, sokong haji dan berserban. Tidak ketinggalan juga janggut sebagai mengikut Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Sekali imbas memang ternampak mereka memang dari golongan yang bijak pandai dalam hal agama.

Tetapi ada sesetangah dari mereka (bukan semua ya!) berpakaian kurang kemas. Jubah putih mereka tidak kelihatan putih. Tetapi nampak kelabu kerana tidak berbasuh ataupun tidak dibasuh dengan betul. Jubah yang berwarna putih tersebut kelihatan seperti berkerak.

Janggut mereka juga menjadi satu subjek utama. Bagi yang sudah senior dalam tabligh, biasanya janggut mereka sangatlah panjang. Seperti yang aku nyatakan tadi, janggut ialah salah satu Sunnah Nabi tetapi janggut itu mestilah kemas.

Ada sesetangah ahli tabligh yang mempunyai janggut yang tidak kemas. Nampak janggut mereka berselirat, panjang dan tidak terurus. Kadang-kadang, mereka tidak mengemaskan janggut mereka bila sesudah makan. Lebih teruk apabila ada nasi yang terlekat pada janggut mereka dan mereka tidak menyedari tentang nasi tersebut.

Aku pernah diceramah oleh seorang ahli tabligh yang mana aku ternampak beberapa biji nasi terlekat pada janggutnya Seriously, aku betul-betul terganggu apabila melihat nasi-nasi tersebut.

Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Kebersihan dari segi rohani dan jasmani. Ahli tabligh perlulah menjaga kebersihan diri mereka supaya orang yang kamu ingin ceramah mahu mendengarnya. Barulah orang lain respect dan mahu mendengar syarahan kamu itu.

Lagipun, apa pula pandangan orang bukan Islam apabila memandang ahli tabligh dalam keadaan tersebut. Pasti terdetik di hati mereka, "Oh, orang Islam yang kuat agama memang macam ni agaknya." Jadi, ahli tabligh kenalah menjaga imej sebagai seorang Islam di mata orang yang beragama lain.


Cara Pendekatan

Kadang-kadang cara pendekatan ahli tabligh kurang disenangi. Biasanya, jika target mereka ialah pelajar IPT, pada akhir ceramah mereka akan mengajak pelajar yang diceramah tersebut untuk menyertai program yang mereka anjurkan setiap hujung minggu.

Biasanya aktiviti tersebut akan melibatkan para jemputan tidur di masjid sepanjang hujung minggu. Aku tak pernah menyertai program tersebut. Tapi aku boleh agak mesti ada aktiviti mendengar ceramah, membuat kerja kebajikan, qiamullail dan lain-lain.

Ada sekali semasa hujung minggu, semasa aku sedang berada di Politeknik, aku didatangi oleh sekumpulah ahli tabligh. Roomate aku tiada, pergi dating agaknya. Aku terperuk di dalam bilik sebab pada hari Isnin, aku ada test dan assignment untuk di submit.

Kemudian, aku telah didatangi oleh sekumpulan ahli tabligh. Aku menjemput mereka masuk. Kebetulan otak pun dah tepu belajar, mungkin boleh unwind bila dengar ceramah mereka. Kata orang, masa tengah belajar elok dengar benda-benda yang baik.

Selepas hampir sejam aku mendengar syarahan mereka, mereka pun mengajak aku untuk menyertai program mereka untuk bermalam di sebuah masjid di Melaka.

Seperti yang aku nyatakan di atas, aku terpaksa menolak.

Tabligh: Jadi apa kata kalau adik ikut dan menyertai kami dalam program bla, bla, bla.. Tidur kat masjid, besok kami hantar adik balik.

Aku: Tak boleh la, bang. Isnin ni saya ada test dengan nak hantar assigment sekali.

Tabligh: Tak pe. Kalau kamu sertai program ni, banyak kebaikan yang kamu boleh dapat.

Aku: Tapi Isnin ni saya ada test dengan....

Tabligh: Itu semua dunia, dik. Akhirat tu keutamaan kita.

Aku terus terkedu dengan ayat brother tabligh ni.

"Itu semua dunia, dik. Akhirat tu keutamaan kita?"

Bukankah dalam Islam kita digalakkan menyeimbangkan antara dunia dan akhirat? Bukankah menuntut ilmu itu juga sesuatu yang dituntut dalam Islam. Bukankan menuntut ilmu itu juga salah satu dalam kategori Fisabilillah? Bagi aku, kenyataan tabligh tersebut memang aku tak boleh terima. Aku terkejut ayat tersebut boleh terkeluar dari seorang ahli tabligh yang mempunyai ilmu yang mendalam tentang Islam.

Dalam Islam ada menyatakan "beribadatlah kamu seperti kamu akan mati keesokkan hari dan bekerjalah kamu seperti kamu akan hidup 1,000 tahun." Tabligh tersebut terus memujuk dan kemudian bertukar menjadi satu paksaan untuk aku mengikuti program tersebut. Aku terus menolak tawaran mereka dan meminta mereka keluar. Tak pasal-pasal mood aku pun terus tak menentu sepanjang hari.

Bagi aku, cara pendekatan tabligh ini kurang tepat. Jika seseorang itu tidak mahu menyertai program tersebut, janglah paksa. Dalam Islam, tiada paksaan. Kalau orang tersebut tidak mahu menyertai program tersebut, cuba datang pada msa lain pula. Mungkin setelah 3-4 kali diceramah, baru orang tersebut baru membuka hatinya untuk turut serta dalam program tersebut.

Para tabligh perlu sedar yang target mereka ialah para pelajar IPT. Pelajar IPT penuh dengan aktiviti, test, kuiz dan assignment. Mereka tidak boleh memaksa dengan paksaan sedemikian. Nasib baik tabligh tersebut approach aku yang ambik course marketing. Kalau dia terjah budak-budak architect yang 24 jam sibuk dengan lukisan plan dan buat model bangunan, nak dengar ceramah pun belum pasti lagi.


Isi Kandungan Ceramah

Kadangkala, isi kandungan ceramah ahli tabligh ini kurang menarik perhatian untuk didengar. Itulah sebabnya para pelajar IPT suka main kejar-kejar dengan ahli tabligh dari mendengar ceramah tersebut.

Tajuk-tajuk ceramah yang biasanya aku dengar ialah "Apa itu Rukun Islam?", "Apa hukum meninggalkan sembahyang", "Apa hukum meninggalkan puasa", "Benda-benda haram dimakan" dan lain-lain lagi.

Memang tidak dapat dibafikan yang tajuk ceramah diatas memang berguna sebab tidak semua umat Islam faham tentang perkara-perkara di atas. Tetapi mereka perlu ingat, target mereka ialah pelajar IPT, bukannya pak cik-pak cik yang datang ke surau. Jadi mereka patut memilih tajuk yang lebih terbuka, menarik dan isu semasa dapat perhatian pelajar-pelajar tersebut.

Contohnya, tajuk mengenai Perbankan Islam. Dulu, pernah terdengar kisah pusat bank di negara Arab tidak mengiktiraf sistem Perbankan Islam Malaysia. Jadi ia boleh menjadi satu topik buat para tabligh bercerita kepada para pelajar tersebut. Sudah pasti pelajar dari course banking, finance dan Islamic Banking berminat untuk mendengarnya. Mungkin topik tersebut boleh dijadikan tajuk assignment mereka nanti.

Tajuk mengenai Hukum Jenayat Islam juga adalah sesuatu yang menarik. Memandangkan di Malaysia tidak menggunakan Hukum Jenayat, mungkin para pelajar ingin mengetahui apa itu Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir.

Piagam Madinah juga boleh dijadikan satu tajuk yang menarik. Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia dan ia menjadi asas bagi pembentukan sesebuah negara yang berbilang kaum. Memandangkan kempen 1Malaysia sedang luas dipromosikan (walaupun kempen tersebut memang jauh panggang dari api dengan Piagam Madinah), aku yakin Piagam Madinah amat berkait rapat dengan kempen tersebut.

Tak semua ahli tabligh berperangai seperti yang aku nyatakan di atas. Tapi bagi yang berperangai seperti apa yang aku tulis di atas, aku harap mereka mengubah perangai tersebut. Maaflah jika ada tabligh yang terbaca dan terasa hati. Just my 2 cents.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar