Selasa, 18 Mei 2010

Dulu kita kata Indonesia sudah teruk. Sekarang, bagaimana pula dengan Malaysia?

Tahun lepas, Dr, Siti Musdah dari Indonesia dipilih sebagai pemenang Anugerah Women Of The Year 2009 pada Il Premio Internazionale La Donna Dell `Anno (International Prize for the Woman of the Year) 2009 di Saint-Vincent, Italia.

Beliau telah menghalalkan hubungan homoseksual. Menghalalkan Gay dan Lesbian di dalam kalangan Islam di Indonesia.

Dr. Siti Musdah merupakan seorang kaunselor dan penulis keagamaan yang terkenal di Indonesia. Beliau juga merupakan Ketua Lembaga Agama dan Gender serta pernah menjadi Ahli Peneliti Utama Syarahan Keagamaan, Badan Penelitian dan Pengembangan Agama, Indonesia.

Bagi Dr. Siti Musdah, beliau menghalalkan hubungan homoseksual kerana menganggap kehidupan seks seseorang manusia adalah bersifat peribadi dan manusia layak memilih cara hidup samada mahu menjadi straight ataupun homo.

Selepas membaca berita ini, ramai orang Malaysia semakin mengutuk Indonesia. Mengutuk yang Islam di Indonesia kini hanya tinggal nama. Bukan lagi Islam sebenar yang pernah diajar dan disebarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Di Indonesia, Komuniti Islam telah terdiri dari 2 orientasi iaitu "Pendokong Permodenan" di mana mereka mengikut ajaran Islam melalui kitab-kitab agama dan merangkumkan ia dengan pengetahuan dan konsep-konsep moden dan "Tradisionalis" dimana mereka merupakan pengikut cendekiawan agama yang menguruskan diri di sekolah-sekolah berasrama Islam.

Ada yang mengatakan, golongan Pendokong Permodenan telah membawa fahaman baru yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Dr. Siti Musdah juga dikatakan sebagai salah seorang Pendokong permodenan.

Sebelum timbul kes menghalalkan Gay dan lesbian, dahulu kita pernah menempelak Indonesia kerana menghalalkan perkahwinan antara seorang penganut Islam dengan bukan Islam dimana pengantin yang bukan Islam tidak perlu menukar agama walaupun berkahwin dengan penganut Islam.

Selain itu, konsep mengharamkan poligami, meletakkan tempoh iddah kepada suami dan juga memberikan kuasa talak kepada isteri juga telah diketengahkan.

Kita selalu bandingkan Islam di Malaysia dan Indonesia dan kita menganggap Islam di Malaysia ialah Islam yang lebih kuat dan sejati berbanding Indonesia.

Benarkah?

Datuk Seri Shahrizat Bte Abdul Jalil pada suatu masa dahulu juga pernah menjalankan kempen untuk memansuhkan poligami dan memperkenalkan konsep monogami. Sama seperti apa yang dibuat oleh golongan Pendokong Permodenan di Indonesia.

Perkara ini menjadi bahan perdebatan buat seketika tetapi selepas beberapa ketika, ianya senyap begitu sahaja.

Aku tahu golongan wanita mana yang mahu berkongsi kasih sayang suaminya bersama perempuan lain tetapi ianya hukum Allah dan pasti ada sebab tersirat tentang hukum tersebut.

Sebenarnya, wanita dalam Malaysia tidak ambil tahu tentang syarat-syarat poligami secara mendalam. Kalau mereka tahu, pasti mereka tidak kisah untuk berpoligami dan lelaki pasti takut untuk berpoligami. Rajin-rajinlah tanya ustaz dan ustazah kamu ya?

Dan sekarang, timbul satu lagi isu yang hangat diperkatakan. Judi akan dihalalkan semasa Piala Dunia 2010. Lesen pertaruhan sempena Piala Dunia bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Nah, hebat bukan? Mula-mula haramkan poligami, sekarang halalkan pula judi.

"Jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini." Kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussien yang memberi penerangan sebab utama mereka menghalalkan judi (baca sini).

Baguslah juga cadangan tersebut. Keuntungan tersebut bukan sahaja dinikmati oleh pihak atasan, tetapi rezeki 'duit judi yang halal' tersebut juga perlu dikongsi bersama oleh rakyat beragama Islam yang lain.

Para-para ahli agama membuat kenyataan membangkang keputusan tersebut namun pun begitu, amat sukar untuk melihat kenyataan mereka dipaparkan di dada-dada akhbar. Semuanya telah ditapis dan hanya boleh dibaca di website sahaja.

Aku ada terbaca dalam Berita Harian yang pertaruhan kali ini adalah untuk kebaikan orang Melayu. Katanya, Melayu akan mundur tanpa judi. Jika judi dibenarkan kepada Melayu, Melayu akan semakin maju.

Kini Islam di Malaysia juga bagaikan telah terbahagi kepada 2 orientasi. 'Pendukung Permodenan' yang di tunjangi oleh orang-orang atasan dan para ahli agama menjadi 'Tradisionalis'.

Lama kelamaan, mungkin Malaysia juga akan menerima nasib yang sama seperti Indonesia. Kalau dahulu, pihak atasan sering kali menyatakan yang Malaysia adalah Negara Islam, tetapi sekarang Malaysia kini lebih mendekati ciri-ciri Negara Sekular.

Jadi, jangan terkejut jika satu hari nanti Malaysia bakal menghalalkan rumah pelacuran, seks luar nikah dan lain-lain benda lagi. Setiap suatu benda apa permulaannya dan permulaanya kini sudah nyata.

Jadi, apa bezanya Malaysia dengan Indonesia sekarang? Adakah Islam kita lebih sejati daripada mereka? Adakah kita mengikut Piagam Madinah dalam membina satu negara Islam?

Jangan lupa melawat untuk versi yang lebih pendek Lepas Laku.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar