Senin, 13 Oktober 2008

CARA-CARA MENGURANGKAN PERBELANJAAN MAJLIS PERKAHWINAN

Tadi, housemate aku, C-Sern, bercerita sakan tentang abangnya yang baru bertunang pada weekends yang lepas.

Dia bercerita tentang cincin tunang abangnya yang berharga RM 1,200. Bagi aku, agak mahal juga harga cincin tersebut. Kemudian, C-Sern juga memberitahu yang duit hantaran untuk perkahwinan abangnya bernilai RM 15,000. Wow!! Mahal juga tu.

Sepupu perempuan aku yang sebaya dengan aku juga akan melangsungkan perkahwinan pada bulan November ini. Pada cuti sekolah. Dia juga ada berkata tentang harga majlis kenduri yang begitu mahal.

Semakin hari, perbelanjaan kita semakin meningkat. Begitu juga dengan perbelanjaan kahwin. Sebagai seorang yang masih bujang dan akan melangsungkan perkahwinan bila jodoh sudah sampai, aku amat risau akan perkara ini kerana aku akan berkahwin suatu hari nanti.

Oleh itu, dengan sedaya upaya aku cuba memikirkan cara paling terbaik untuk mengurangkan perbelanjaan semasa majlis perkahwinan. Berikut adalah beberapa cara yang aku rasa agak terbaik dan boleh di ikuti:

1. Buat majlis perkahwinan pada bulan puasa.

Nah. Bila bulan puasa, semua orang tak boleh makan pada waktu siang hari. Jadi, buatlah di bulan puasa. Tetamu akan datang untuk memberikan salam kaut pada bapa pengantin, dan di bawa ke dalam untuk melihat pengantin bersanding.

Juga dapat potong budget pasukan kompang kerana tak kan lah mereka ingin berkompang pada waktu panas terik kan?

2. Buat majlis perkahwinan tanpa menyediakan juadah makanan

Ok, mungkin jika dibuat bulan puasa adalah kurang baik kerana pengantin sudah "halal" dan takut-takut mereka bersetubuh pada waktu siang dan akan menyebabkan si suami terpaksa puasa 2 bulan untuk menggantikannya.

Jadi, tak usah sediakan lauk-pauk. Pengantin akan bersanding dan tetamu hanya datang tengok sahaja. Bila tetamu tanya kenapa tiada makanan, cakap sahaja lah begini, "anggap sahaja macam window shopping. Pergi jalan-jalan di shopping complex tapi tak beli apa-apa."

3. Menyuruh tetamu membawa makanan sendiri

Yang ini lebih mudah. Pada kad jemputan, tulis dengan font yang besar ayat ini: "Makanan tidak di sediakan. Sila bawa juadah sendiri."

Bukan sahaja dapat berjimat, malah tetamu juga puas hati kerana boleh makan makanan kegemaran mereka pada majlis perkahwinan anda. Housemate aku, Hafiz, yang tidak makan nasi pasti gembira kerana boleh bawa roti High 5 di kenduri kahwin anda nanti.

4. Adakan majlis perkahwinan pada hari bekerja

Buat kenduri perkahwinan anda pada hari bekerja. Isnin hingga Jumaat. Lebih terbaik jika jangan terkena pada cuti sekolah. Jadi, agak sukar untuk mereka mahu ke kenduri tersebut.

Lebih terbaik bila anda tetapkan waktu makan pada pukul 2:30 petang hingga 4:30 petang.

5. Buat majlis perkahwinan di pasar malam

Tempatkan pelamin pada hujung di satu pasar malam. Tetamu terpaksa menempuh pasar malam untuk ke bahagian pelamin. On the way tu, pasti mereka akan beli makanan di pasar malam. Selesai satu masalah.

6. Kahwin serentak dengan semua adik beradik

Jika kamu di lahirkan dalam keluarga yang besar, ia amat menguntungkan.

Pakat sahaja semua adik beradik kamu untuk kahwin serentak. Kos untuk perbelanjaan kenduri dapat di kurangkan. Bayangkan jika kamu ada 9 adik beradik. Kos untuk satu majlis perkahwinan berjaya di bahagikan kepada 9 bahagian.

Siapkan satu pelamin sahaja. Bergilir-gilir ketika ingin bersanding. Mahu lebih jimat? Mudah sahaja. Gunakan baju pengantin yang sama untuk setiap adik beradik. Selepas satu pasang pengantin bersanding, buka baju bersanding itu dan beri kepada adik yang mahu bersanding pula.

7. Tumpang majlis perkahwinan orang lain

Adakan majlis perkahwinan di sebelah majlis perkahwinan orang lain. Bila tetamu anda datang dan ingin menjamu selera, suruh mereka ambil makanan di majlis bersebelahan.

8. Tempatkan lokasi majlis perkahwinan di tempat yang susah nak dikunjungi oleh tetamu

Jika kamu tinggal di Semenanjung Malaysia, kamu nyatakan lokasi majlis perkahwinan di Sabah/Sarawak. Dan juga sebaliknya bagi yang tinggal di Sabah/Sarawak.

Tapi, jika kamu rasa para tetamu masih boleh sampai ke destinasi yang dimaksudkan, nyatakan yang kamu langsungkan majlis perkahwinan di Fiji, Hawaii, Madagascar atau mana-mana negara yang kamu suka.

Tapi, jangan pula tulis kamu mahu membuat majlis di Israel, dapat pulak pasport Malaysia masuk Israel. Nanti nampak sangat tidak logiknya.

9. Beri peta palsu untuk lokasi majlis perkahwinan anda

Jangan bagi peta yang betul pada kad perkahwinan. Beri lokasi palsu. Jadi semua tetamu akan sesat. Jika tetamu telefon untuk bertanya, jangan angkat.

Pada hari esok, kamu memohon maaf kepada tetamu dan kata kedai kamu mencetak kad perkahwinan yang tersalah cetak peta, walhal kamu yang memang tak mahu buat majlis perkahwinan.

Jika mereka tanya kenapa tak angkat telefon, kata yang kamu sibuk melayan tetamu.

10. Letak iklan di akhbar

Tangkap gambar anda dan pasangan anda berpakaian pengantin dan hantar ke semua akhbar tempatan. Macam iklan jenis satu muka surat penuh tu.

Beli satu muka surat surat khabar dan letak gambar tersebut dan tulis: "Maka dengan ini si polan bin polan telah selamat di ijab kabul dengan si polan binti polan pada (tarikh)....". Lebih mudah bukan? Malah lebih jimat kos.

Itulah cara-cara terbaik yang aku dapat fikirkan dalam masa setengah jam untuk mendapatkan cara mengurangkan kos majlis perkahwinan anda. Bagaimana? Ada berani ke mahu cuba?

=====================================

P/S: Aku dah update episod baru cerpen di Tears Don't Fall

Tidak ada komentar:

Posting Komentar