Sabtu, 04 September 2010

Sejarah Malaysia yang kita jarang dengar Part 2

Siri entri sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September setiap tahun.

Aku ingin memetik beberapa kisah bersejarah di Malaysia yang kita jarang dengar, kita tak ambil tahu sebab menganggap peristiwa ini "kecik dan kurang penting" atau tak tertulis dalam buku teks KBSM di sekolah-sekolah Malaysia.

Aku memang tak tahu dengan kewujudan tempat yang bernama Jementah ni, sampailah aku duduk menyewa di situ semasa aku belajar di UiTM Segamat.

Pensyarah aku pernah kata yang Jementah antara tempat bersejarah dekat Johor. Menurut pensyarah aku, Jementah adalah tempat pertama di Johor yang berlakunya perang saudara.

Mula-mula, aku macam tak ambil "port" dengang pensyarah aku sebab dia pernah buat lawak April Fool dalam kelas. Aku pernah buat carian dalam alam maya tapi tak dapat banyak maklumat.

Tapi hari ini, aku dapat banyak maklumat tentang Jementah.

Perang Saudara Jementah/ Perang Jementah/ Jementah Civil War

Perang ini tercetus pada tahun 1879 di Jementah, Johor akibat rasa tidak puas hati Tengku Alam, putera gahara kepada Sultan Ali atas penyerahan daerah Muar ke bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Tragedi berdarah tersebut menjadi yang begitu penting kerana:
  • Perang adalah perang saudara pertama berlaku di negeri Johor.
  • Perang ini telah melibatkan puluhan pahlawan dan pendekar yang handal.
  • Tamatnya perang ini merupakan satu daripada faktor pembukaan Muar.
  • Perang ini membawa beberapa kesan penting dalam sejarah Johor khususnya mulai tahun 1880 iaitu setahun selepas tamatnya perang, 'Kesang' menjadi jajahan Johor hingga ke hari ini.
  • Melalui perang ini, Mohammed Salleh bin Perang yang memegang jawatan Dato' Bentara Luar, salah seorang daripada elit Johor moden telah memperlihatkan kecekapannya dalam mengepalai angkatan perang.

Perang Jementah meletus pada 25 Oktober 1879 disebabkan oleh 'Sekeping Kertas' yang merupakan wasiat Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Ali, Yang Dipertuan Negeri Kesang. Beberapa jam sebelum mangkat, Sultan Ali telah mewasiatkan penggantinya iaitu Yang Maha Mulia Tengku Mahmood yang berumur 11 tahun, putera Almarhum Sultan dan isteri ketiganya iaitu orang kebanyakan.

Perlantikan melalui wasiat telah ditentang oleh Tengku Alam, putera sulong baginda dari isteri tuanya. Tengu Alam yang tidak berpengaruh itu telah membantah tindakan Kolonel Archibald A Anson, Pemangku Gabenor yang meletakkan jajahan Kesang di bawah pentadbiran Duli Yang Maha Mulia Maharaja Abu Bakar buat sementara waktu.

Tindakan awal yang dilakukan oleh Tengku Alam ialah menyuruh dua orang saudara sepupunya Tengku Nong dan Tengku Mat menghasut penduduk-penduduk sekitar kawasan Kesang supaya menyebelahi pihaknya. Tengku Mat dan Tengku Nong termakan dengan janji-janji manis Tengku Alam telah berjaya mempengaruhi segelintir orang-orang tempatan dan beberapa orang Panglima Melayu yang handal.

Panglima yang terlibat

Diantara Panglima-panglima yang handal itu ialah Panglima Besar Layot, Panglima Besar Salim, Panglima Besar Kadir, Panglima Besar Tok Siban, Panglima Besar Sancu, Raja Berambut Panjang, Wan Daud dan Wan Abas.

Atas persetujuan Tengku Alam Panglima Besar Sancu dilantik menjadi 'Kepala Perang'. Kononnya kesemua pahlawan Melayu tersebut mempunyai ilmu Kebal.

Bermulanya perang

Perang Jementah bermula apabila angkatan Tengku Nong menyerang Kesang, Pertempuran awal dipercayai berlaku di Relau dan Air Kertau. Di kedua-dua tempat itu angkatan Tengku Nong tidak mendapat tentangan hebat justeru itu timbullah rasa bongkak dan angkuh di kalangan pengikut-pengikut Tengku Nong.

Pada 25 Oktober 1879 angkatan Tengku Nong disertai oleh Panglima Besar Sancu telah menyerang Jementah dalam jajahan Muar Kiri. Pada masa itu Jementah merupakan sebuah kampung yang penuh dengan dusun buah-buahan dan sawah padi (sekarang Jementah masih ada dusun buah. Sawah padi macam dah tak wujud).

Dalam pertempuran di Jementah inilah Panglima Besar Sancu telah bertindak liar. Selain merampas harta benda penduduk-penduduk di situ, mereka juga membakar beberapa buah rumah. Mujurlah Penghulu Jementah sempat melarikan diri dan terus membuat aduan kepada pihak pemerintah di Johor.

Kemenangan dalam pertempuran di Jementah itu telah mendorong Tengku Nong mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Muda sementara Wan Daud diisytiharkan sebagai Temenggong Paduka Tuan. Kesannya, pemerintah Johor lantas mengirimkan sebuah angkatan perang diketuai oleh Ungku Ahmad iaitu saudara sepupu kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Maharaja Johor ke Jementah.

Kepintaran Ungku Ahmad dalam tipu muslihat perang telah menyebabkan beberapa buah kubu musuh dalam kawasan Lubuk Bandan (tak jauh dari rumah sewa aku) ditawan. Tengku Nong dan Panglima Sancu beserta pengikut-pengikut mereka berundur ke hulu sungai Jementah berhampiran dengan kaki Gunung Ledang. 

Di satu tempat bernama Kampung Lela mereka telah mendirikan sebuah kubu berbentengkan tanah. Sementara itu, pada 2 Disember 1879 Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Mohammed Salleh bin Perang telah dihantar oleh kerajaan Johor untuk membantu Ungku Ahmad dan Encik Esa yang sedang bertahan di sebuah kubu dalam jajahan Jementah.

Dato' Mohammed Salleh bin Perang telah membawa sebanyak 400 laras senapang jenis Snider-Enfield dan meriam bersama. Memandangkan pertahanan musuh masih kuat, Tengku Ahmad dan Dato' Bentara Luar telah membuat satu strategi untuk menyerang kubu-kubu musuh. Empat buah pasukan telah dibentuk dan setiap pasukan mengandungi 100 orang.

  • Panglima Besar Esa memimpin pasukan pertama.
  • Panglima Kiri Awang memimpin pasukan kedua.
  • Panglima Besar Yusuf memimpin pasukan ketiga.
  • Panglima Dalam Lamit memimpin pasukan keempat.


Kira-kira dua belas hari selepas pembentukan pasukan perang itu, angkatan perang Dato' Bentara Luar pun sampai di satu tempat bernama Dusun Dedap. Di Dusun Dedap dan di kawasan sekitarnya beberapa kubu dan benteng telah dibina. Yang anehnya kubu-kubu dari kedua-dua pihak yang terlibat dalam peperangan itu terletak berhampiran antara satu sama lain.

Menurut Haji Hassan bin Putih, sekurang-kurangnya lima buah kubu telah dibina oleh pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar dan pihak Tengku Nong di kawasan sekitar Dusun Dedap. Tiap-tiap kubu itu mempunyai namanya sendiri. Di antara kubu-kubu yang penting ialah Kubu Dedap, Kubu Lubuk Bandan, Kubu Sungai Siput, Kubu Macang Padang dan Kubu Raja Lela. Kononnya di salah sebuah kubu kepunyaan Tengku Nong sebuah meriam bernama 'Gegak Gempita' telah diletakkan di atas sebatang dahan pokok dedap.

Haji Hassan bercerita lagi, bahawa satu peristiwa ganjil telah berlaku sebelum Kubu Dedap yang termasyhur itu dibina. Manaf Khatib, orang yang ditugaskan membersihkan kawasan sekeliling Dusun Dedap itu telah jatuh pengsan sebaik saja beliau memulakan kerja menebang anak-anak pokok hutan. Pada waktu itu hujan panas turun berderai. Hanya setelah campur tangan seorang Pawang barulah kerja membersihkan kawasan disitu dapat diteruskan.

Haji Yahya bin Kubu pula mengaku bahawa datuknya Pawang Abib turut terlibat dalam pembinaan Kubu Dedap itu. Kononnya semasa Kubu itu dibina beberapa peristiwa ganjil telah berlaku antaranya dengan semena-mena hujan panas turun berderai diikuti dengan tiupan angin kencang. Pada sebelah malamnya pula bunyi burung-burung hutan dan binatang-binatang liar bertalu-talu hingga ke waktu subuh. Kubu Dedap tempat pertahanan orang-orang Dato' Bentara luasnya 40 kaki dan bentengnya dibuat daripada tanah setinggi dua belas kaki.

Semasa membina Kubu Dedap itulah, orang-orang Tengku Nong dan Panglima Sancu telah membuat serangan secara mengejut ke atas pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar. Taktik pukul curi itu telah menyebabkan tiga orang pengikut Dato' Bentara Luar terkorban sementara enam orang mendapat cedera.

Pada pertengahan bulan Disember 1879 pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar berjaya menawan sebuah kubu musuh di Padang Juling. Mengikut catatan Encik Daud bin Sulaiman, seorang ahli sejarah di Batu Pahat bahawa semasa bertahan di kubu Padang Juling Dato' Bentara Luar telah menyusun satu rancangan yang rapi dan lengkap bertujuan untuk menamatkan Perang Jementah dengan segera. Beliau telah memerintahkan seratus orang menebang pokok buluh dan setiap orang dikehendaki mengikat buluh-buluh itu menjadi seberkas.

Pada keesokan harinya, tiga ratus orang Dato' Bentara Luar 'berpura-pura' menyerang kubu Tengku Nong dan Panglima Sancu. Dan semasa serangan olok-olok itu dibuat, Dato' Bentara Luar menyuruh enam puluh orang pengikutnya membuat satu jalan pintas menuju ke arah kubu musuh (inilah agaknya sebab utama Jementah banyak jalan pintas/ jalan dalam. Kawan-kawan aku biasa guna jalan dalam untuk mengelak road block).

Empat buah meriam dipasang dengan arah muncungnya dihalakan ke arah kubu musuh. Panglima Besar Yusuf dan Panglima Kiri Awang merangkak perlahan-perlahan mengambil tempat berhampiran pagar kubu musuh. Panglima Lamit bersama orang-orangnya mengangkut berkas-berkas buluh itu sementara Dato' Bentara Luar dan Panglima Esa disertai oleh lima orang pengikutnya membuat benteng.

Kebetulan pada malam itu, hujan turun dengan lebatnya. Ini memudahkan lagi kerja Dato' Bentara Luar. Menjelang pagi Dato' Bentara Luar mengarahkan semua meriam dan senapang ditembak secara serentak. Serangan mengejut waktu subuh itu menyebabkan orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu dalam kubu menjadi kelam kabut. Kebanyakan mereka sedang tidur nyenyak ketika itu.

Pihak musuh yang mulai\ panik lantas memukul gendang dengan tujuan menaikan semangat mereka. Mereka sempat juga membalas tembakan dengan secara membuta-tuli. Ekoran daripada serangan pada waktu subuh itulah akhirnya membawa kepada tamatnya Perang Jementah pada 30 Disember l879.

Perang saudara itu berlaku dengan kemenangan di pihak Dato' Bentara Luar. Tengku Nong dapat ditawan dekat Gunung Ledang kira-kira sehari perjalanan dari Cohong. Wan Daud pula diberkas setengah jam selepas Tengku Nong ditangkap. Turut diberkas pada hari itu ialah ketua-ketua pemberontakan iaitu Tengku Mat, Panglima Besar Sancu, Panglima Besar Layot dan Raja Berambut Panjang.

Panglima Sarip, seorang lagi panglima yang handal ditugaskan untuk mengawal keselamatan Tengku Mat semasa diberkas cuba melawan tetapi telah ditembak oleh Panglima Perang Awang. Manakala saki baki musuh terus diburu.

Pak Yusuf bin Kamit atau dikenali dengan panggilan Pak Osop berasal dari Muar dan sudah menetap lebih 40 tahun di Segamat mendakwa bahawa pembukaan beberapa penempatan dan kampung di Segamat ada kaitan dengan tamatnya Perang Jementah.

Menurut Pak Osop menjelang tamatnya Perang Jementah, ramai pengikut Tengku Nong dan Panglima Sancu telah melarikan diri. Mereka seolah-olah sudah terasa kemenangan akan berada di pihak Dato' bentara Luar dan Ungku Ahmad. Malah ramai daripada pengikut Tengku Nong dan Panglima Sancu mulai insaf. Mereka sedar perjuangan mereka adalah sia-sia belaka. Menentang Dato' Bentara Luar dan Ungku Ahmad samalah seperti menentang Duli Yang Maha Mulia Maharaja Abu Bakar.

Justeru itu ramai daripada mereka tanpa mematuhi arahan ketua-ketua mereka lantas melarikan diri ke Segamat menaiki perahu menghilir Sungai Legeh dan Sungai Muar dan terus ke Segamat. Dipercayai mereka merupakan pendatang-pendatang awal yang membuka beberapa buah kampung di daerah Segamat.

Di Segamat, tempat yang didatangi oleh orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu itu dipercayai kebanyakannya berhampiran dengan sungai. Mengikut kajian sekurang-kurangnya sepuluh buah kampung atau kawasan telah dibuka oleh orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu. 

Kampung-kampung tersebut ialah Kampung Pogoh, Kampung Alai, Kampung Lubuk Batu, Kampung Paya Dalam, Kampung Ulu Gemereh, Kampung Batu Badak, Kawasan berhampiran Danau Lanjut, Kawasan berhampiran Danau Kongkong, Kawasan berhampiran Tebing Tinggi dan Kampung Tenang.

Mengikut Pak Osop lagi, di Kampung Paya Dalam, empat kilometer dari Bandar Segamat, dua buah kubur yang masih dapat dilihat hingga sekarang dipercayai adalah kubur-kubur pengikut-pengikut Panglima Besar Sancu yang melarikan diri itu dan kemungkinan mati di Kampung Paya Dalam. Di Kampung Paya Dalam juga terdapat kesan peninggalan Perang Jementah seperti kubu-kubu dan benteng-benteng

Seriously, aku tak pernah nampak peninggalan perang sepanjang setahun setengah tinggal di Jementah. Cendol, jom pergi Segamat lagi!

Rabu, 01 September 2010

Sejarah Malaysia yang kita jarang dengar

Siri entri sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September setiap tahun.

Aku ingin memetik beberapa kisah bersejarah di Malaysia yang kita jarang dengar, kita tak ambil tahu sebab menganggap peristiwa ini "kecik dan kurang penting" atau tak tertulis dalam buku teks KBSM di sekolah-sekolah Malaysia.

Kawad Maut Sandakan/Kawad Kematian Sandakan/Sandakan Death Marches

Kawad Maut Sandakan adalah antara kejadian terburuk dalam siri kejadian Kes Jenayah Perang Jepun yang mengakibatkan kematian sehingga 3,600 orang hamba kerahan Indonesia dan 2,400 tahanan perang Pihak Berikat (Allies), yang ditahan oleh Askar Jepun semasa Perang Pasifik semasa Perang Dunia Ke-2, di kem penjara di Borneo Utara. Dari keseluruhan tahanan yang ditawan di kem tersebut semasa perbarisan, hanya 6 yang diketahui terselamat selepas peperangan.

24 Oktober 1945. Kem tahanan perang Sandakan. Beberapa bulan selepas ia ditinggalkan dan dimusnahkan oleh tentera Jepun, tidak banyak yang tinggal di kem yang dibakar ini. Dalam kawasan Compound No. 1 (gambar) kubur mengandungi mayat 300 tahanan Australia dan British dijumpai. Mereka dipercayai tahanan yang tinggal di kem selepas siri kawad kedua ke Ranau. Setiap kubur mengandungi beberapa mayat, dalam sesetengah kes sehingga 10 mayat
(Foto: Frank Burke)
Pada tahun 1942, orang awam Indonesia yang dibawa dari pulau Jawa, bersama tahanan perang Australia dan British yang telah ditahan semasa kejatuhan Singapura, dihantar melalui kapal ke Borneo Utara dengan tujuan untuk membina padang terbang di Sandakan. 

Seperti pembinaan landasan kereta api Burma (dikenali sebagai landasan kereta api maut), tahanan dipaksa bekerja keras dengan diacukan senapang kepada mereka, sering dipukul dan tidak menerima makanan serta ubatan yang cukup. Mereka terus ditahan walaupun kerja pembinaan telah siap. Kebanyakan tahanan akhirnya mati. Pada awal 1945, apabila Pihak Berikat semakin hampir, komandan kem Kapten Hoshijima Susumi memutuskan untuk memindahkan baki tahanan ke pedalaman di Ranau, kira-kira 250 kilometer. Menurut beliau, ia merupakan arahan dari Leftenan Gen Masao Baba, Komander Pemerintah ke-37 dalam Tentera Jepun.

Tahanan Australia dan Indonesia ini telah dikerah oleh tentera Jepun untuk berjalan dari Sandakan di pantai timur ke Kota Kinabalu di pantai barat. Dalam perjalanan tersebut, lebih 1000 orang telah maut akibat keletihan, kebuluran dan penyakit.

Kem Tahanan Sandakan yang ditangkap menggunakan Google Earth.
Eh? Zaman dulu mana ada Googel Earth
Kawad Pertama

Kawad pertama merentasi kawasan paya, hutan tebal dan kemudian melalui kawasan cerun bahagian timur Gunung Kinabalu yang berlaku diantara Januari hingga Mac 1947.

Pihak Jepun telah memilih 470 banduan yang difikirkan cukup cergas untuk mengangkut bagasi dan bekalan makanan untuk mengiringi batalion-batalion Jepun ke penempatan baru di bahagian pantai barat. Dalam kumpulan tersebut, kebanyakan tahanan yang menderita daripada jangkitan penyakit atau kekurangan zat makanan. Mereka memulakan perjalanan dengan niat asal untuk pergi ke Jesselton (nama lama Kota Kinabalu).

Walaupun perjalanan tersebut mengambil masa 9 hari tetapi mereka diberi bekalan hanya untuk 4 hari. Seperti apa yang terjadi dalam Kawad Maut Bataan (The Death March of Bataan) di Filipina, tahanan yang tidak dapat bertahan akhirnya mati. Mana-mana tahanan yang keletihan ditinggalkan supaya mati dalam perjalanan. Apabila sampai di Ranau, mereka yang masih bertahan telah diarahkan untuk membina kem sementara.

Tahanan yang terselamat akhirnya telah ditahan dalam bilik tahanan yang kotor dan terpaksa bersempit-sempit. Kebanyakan mereka akhirnya jatuh sakit dan mati akibat dysentery (cirit-birit). Menjelang 26 Jun 1945, hanya 5 askar Australia dan seorang askar British yang masih hidup.

Kawad Kedua

Kawad kedua bermula pada 29 Mei 1945 dengan disertai oleh 536 tahanan. Kawad tersebut berlangsung selama 26 hari, dengan kesemua tahanan kedua ini lebih lemah dari para tahanan kawad pertama. Tahanan kali ini juga diberikan catuan makanan dan dipaksa untuk mencari makanan sendiri dalam perjalanan.

Compound No.1 di Sandakan telah dimusnahkan untuk memusnahkan bukti kewujudan mereka. Hanya 183 tahanan yang terselamat. Kawad kedua tiba pada 24 Jun 1945, dan mereka terkejut apabila mendapati hanya 6 orang tahanan sahaja yang masih hidup dari Kawad Pertama.

Kawad Terakhir

Kira-kira 250 orang tahanan yang tinggal selepas kawad kedua berlepas. Kebanyakan tahana mula jatuh sakit dan Askar Jepun membiarkan mereka mati tanpa memberikan makanan (starve to death). Namun, pada  9 Jun 1945, Jepun akhirnya menghantar 75 orang lagi untuk kawad terakhir.

Tahanan dalam kawad terakhir sangat lemah berbanding dua kawad terdahulu, tiada seorang pun yang mampu bertahan lebih dari 50 km. Setiap tahanan akhirnya rebah kerana keletihan melampau dan ditembak bunuh oleh askar Jepun.

Tahanan yang masih tinggal di Sandakan dan tidak mampu untuk berjalan telah dibunuh ataupun mati kerana kelaparan dan sakit teruk sebelum Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945.

Mangsa-mangsa tahanan yang lain

Kerana kekurangan dan layanan kejam dari Askar Jepun, hanya 38 tahanan yang masih hidup di Ranau. Semua tahanan kurang sihat dan tidak mampu untuk bergerak. Mereka akhirnya telah mati dibunuh atas perintah tertinggi Jepun. Kesemua mereka dibunuh dalam bulan Ogos.

Enam orang Askar Australia berjaya melepaskan diri. Semasa kawad kedua, Owen Campbell dan Richard Braithwaite berjaya melepaskan diri dan lari ke hutan. Mereka telah dibantu oleh orang tempatan dan akhirnya di selamatkan oleh Pihak Berikat.

Semasa bulan Julai, Prebet Nelson Short, Pegawai Warant Satu William Sticpewich, Prebet Keith Botterill dan William Moxham berjaya melarikan diri dari Ranau. Mereka semua juga menerima bantuan dari penduduk tempatan yang memberikan mereka makanan dan menyembunyikan mereka sehingga perang berakhir.

Daripada 6 orang yang terselamat, hanya 3 orang terselamat daripada kesan penyeksaan yang mereka terima di kem tahanan dan mereka menjadi orang penting dalam perbicaraan Kes Kekejaman Perang Jepun yang diadakan di Tokyo dan Rabaul. Mereka menjadi saksi utama dan menceritakan segala kekejaman Askar Jepun untuk tatapan seluruh dunia.

Kapten Hoshijima didapati bersalah dan dikenakan hukuman gantung pada 6 April 1946. Kaptan Takakuwa dan Kapten Watanabe telah didapati bersalah atas kesalahan membunuh dan menyeksa tahanan hingga mati. Mereka masing-masing telah dijatuhkan hukuman gantung dan tembak pada 6 April 1946 dan 16 Mac 1946.

Peta perjalanan Kawad Kematian Sandakan
Tugu peringatan perang telah didirikan di Kundasang, Sabah pada tahun 1962 bagi memperingati mangsa yang terkorban di Ranau dan Sandakan. Tugu peringatan perang juga dibina di negara asal askar yang terkorban bagi memperingati mereka.

Tugu peringatan di Sabah
Tugu peringatan di New South Wales, Australia

Senin, 30 Agustus 2010

Negaraku, Mamula Moon, Terang Bulan, Allah Lanjutkan Usia Sultan dan La Rosalie

Siri entri sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September setiap tahun.

Pernah dengar Negaraku? Kalau tak pernah, aku rasa kau mesti bukan Orang Malaysia, duduk dalam gua atau pun orang pekak.


Negaraku ialah lagu kebangsaan untuk negara kita. Negara kebangsaan biasanya melambangkan keperibadian sesuatu negara. Lagu kebangsaan biasanya menjadi kebanggaan buat rakyatnya. Lagu kebangsaan biasanya akan dimainkan dalam acara sukan sebelum sesuatu perlawanan bermula untuk memberi semangat kepada atlet tersebut.

Negaraku menjadi lagu kebangsaan Malaysia semenjak 31 Ogos 1957, dimana liriknya ditulis oleh beberapa orang penulis pada 25 Ogos 1957.

Seperti yang kita semua pernah dengar atau baca, lagu Negaraku diambil melodinya daripada Lagu Negeri Perak, Allah Lanjutkan Usia Sultan, yang juga diambil dari sebuah lagu yang berasal dari Perancis, La Rosalie, hasil ciptaan Pierre-Jean de Béranger yang kemudiannya popular di Seychelles.


Lagu Negeri Perak ini tercipta semasa Sultan Idris membuat lawatan ke England pada tahun 1888. Tiada lagu tema/iringan untuk menyambut ketibaan Sultan Perak ketika itu. 

Aide-de-camp Sultan Perak ketika itu (kira macam pembantu peribadilah. Munkin bendehara lebih sesuai kot) kepada Sultan Perak, Raja Mansur ibni Sultan Abdullah, tidak berani menyatakan tentang ketiadaan lagu iringan (takut daulatlah ni) terus meng-hummed/humming sebuah lagu yang pernah didengarinya yang datang dari Seychelles, iaitu La Rosalie.

Setelah memberitahu asal usul lagu tersebut, sultan bersetuju untuk mengambil lagu tersebut sebagai lagu rasmi negeri Perak. Lirik lagu tersebut telah ditulis oleh Raja Ngah Manur bin Raja Abdullah.

Kamu mesti pernah dengar satu masa dahulu, Rakyat Indonesia pernah menuduh Malaysia meniru lagu yang berasal dari Indonesia, Terang Bulan, untuk dijadikan lagu kebangsaan Malaysia.

Terang Bulan versi Rudy van Dalm & The Royal Rhythmics


Terang Bulan versi Anneke Gronloh

Sebenarnya Terang Bulan juga merupakan lagu saduran daripada La Rosalie juga. Lagu ini menjadi terkenal apabila sebuah persembahan bangsawan Indonesia di persembahkan di Singapura dengan mendendangkan lagu ini sekitar 1920'an. Rakyat Melayu di sekitar Nusantara telah menamakan lagu ini sebagai Terang Bulan.

Terang Bulan menjadi lagu evergreen bagi bangsa Melayu dan sering dimainkan dimajlis harijadi, party, di cabaret dan menjadi nyanyian dan siulan oleh semua orang pada sekitar 1920'an dan 1930'an. Semenjak Malaysia mengambil melodi lagu La Rosalie untuk dijadikan lagu kebangsaan, Kerajaan Malaysia telah mengharamkan lagu Terang Bulan dari disiarkan di radio dan televisyen.

Dari melodi lagu Terang Bulan ini, Felix Mendelssohn & His Hawaiian Serenaders telah menggubah sebuah lagu yang bertajuk Mamula Moon, yang telah dimuatkan dalam album Paradise Isle pada tahun 1947.


Jadi Rakyat Indonesia sekalian, janganlah anda menuduh kami mencuri lagu Terang Bulan untuk dijadikan lagu Negaraku, tetapi kami mengambil melodi La Rosalie. Sila pelajari sejarah sebelum cuba menuduh secara melulu. Get your fact right.

Begitulah hebatnya lagu La Rosalie ciptaan Pierre-Jean de Béranger. Menjadi lagu kegilaan anak muda sekitar 1920-1930'an. Menjadi lagu kegilaan di Seychelles, Hawaii dan Nusantara. Menjadi lagu rasmi buat satu negeri dan satu negara di kawasan Asia Tenggara.

Tapi cuba kita fikirkan sejenak. Lagu kebangsaan kita merupakan lagu saduran. Lagu kebangsaan yang menjadi kebanggaan kita dan lagu yang menaikkan semangat atlet sebelum satu perlawanan adalah lagu saduran. Kenapa kita tidak mencipta lagu kebangsaan sendiri?

Aku ingat, Ramli MS, salah seorang komposer terkenal, ada menggesa pihak kerajaan untuk mencipta lagu kebangsaan sendiri. Ramli MS ketika itu menulis dalam kolum kelolaannya di Harian Metro memberikan cadangan supaya kerajaan Malaysia mencipta lagu kebangsaan baru memandangkan negara jiran kita sering mempersendakan lagu kebangsaan kita.

Bagi aku, itu satu cadangan yang baik. Sudah sampai masanya Malaysia mencipta lagu yang mempunyai bunyi dan "perasa" yang lebih berjiwa Malaysia. Malaysia mempunyai ramai komposer yang mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam bidang muzik seperti Ramli MS, M. Nasir, Habsah Hassan, Audi Mok... So, aku rasa ada baiknya juga kalau kerajaan Malaysia mengambil serius pandangan Ramli MS. 

Cipta satu lagu yang lebih menonjolkan imej Malaysia dan ciptaan anak tempatan, bukannya lagu yang berasal dari komposer Perancis.

Rabu, 25 Agustus 2010

Cross Blogging: Menara Jam Mekah (Menara Abraj Al-Bait)

Sebuah entri Cross Blogging dengan Blog Pandang-Pandang milik Faer.

Kamu pernah dengar tentang Menara Abraj Al-Bait? Kalau kamu tak tahu-menahu pasal menara jam ini, adalah lebih baik kamu baca dulu entri Faer ini ataupun baca di Wikipedia ini dulu sebab aku malas nak menaip balik satu-satu fakta tentang menara ni.


Semenjak pembinaan menara jam ini, banyak pujian yang diberikan kepada Kerajaan Arab Saudi. Menara Abraj Al-Bait menjadi satu monumen kebangaan Seluruh Umat Islam di serata dunia. Tapi aku agak kurang setuju dengan pembinaan menara jam ini.

Yang pertama, untuk membina menara jam ini, bangunan bersejarah iaitu Kubu Pertahanan Ajyad di zaman Khalifah Uthmaniyah telah diruntuhkan. Bagi seorang peminat sejarah seperti aku, adalah memang tidak setuju aku apabila tempat-tempat bersejarah diruntuhkan.

Bagi aku, sejarah dalam Islam amat penting. Dulu, Empayar Islam merupakan antara empayar terkuat dalam sejarah manusia, dan dipenuhi dengan pahlawan dan cendekiawan Islam. Islam merajai dunia satu ketika dulu.

Tapi sekarang tidak lagi. Jadi, monumen bersejarah seperti itu amat penting sebagai peringatan umat Islam supaya mencontohi kejayaan Islam yang lepas. Monumen bersejarah juga memberikan semangat dan dorongan untuk berjaya dan belajar dari kesilapan yang lepas.

Nabi Muhammad S.A.W. ada bersabda; "Adalah tidak patut (naif) jika seorang umat Islam dipatuk ular yang datang dari lubang yang sama", menunjukkan yang sejarah amat penting untuk umat Islam.

"Tapi Mirul, menara jam ni ada hotel 7 bintang. Boleh la nak menempatkan jemaah haji yang makin ramai tiap-tiap tahun."

Aku tahu jumlah umat Islam yang nak menunaikan haji setiap tahun makin bertambah sehinggakan penempatan yang sedia ada tidak mencukupi. 

Tapi cuba fikirkan balik, hotel 7 bintang? Come on lah. Hotel-hotel 7 bintang macam ni dibuat bukan untuk memuatkan jemaah haji, tapi cuma untuk keselesaan orang-orang arab kaya dan juga pemimpin negara-negara arab sahaja.

Harga sebilik hotel 7 bintang untuk satu malam lebih kurang USD$ 35,000 atau RM 110, 180 (1 USD = 3.14800 MYR) untuk satu malam. Mampu ke ayah dan mak aku yang meniaga roti canai dari tahun 1980 nak sewa hotel 7 bintang macam tu?

Jadi sudah ternyata pembinaan hotel mewah tersebut hanya semata-mata untuk kemudahan orang-orang arab kaya dan juga pemimpin negara-negara arab yang kaya raya sahaja (sudah tentu bukan untuk pelancong bukan Islam kerana mereka tidak dibenarkan menjejakkan kaki di Mekkah).

Antara tujuan utama Haji ialah untuk kita merasai kesusahan yang ditempuhi oleh umat Islam yang terdahulu, yang tingggal dalam keadaan susah di padang pasir, merasai kepayahan Siti Hajar yang berlari-lari dibawah sinaran menteri yang perit untuk mencari air untuk puteranya, Nabi Ismail a.s., bukannya bersenang lenang tidur dalam bilik mewah yang serba mahal.

Lagipun, tujuan kita menunaikan haji ialah untuk mengumpulkan kesemua Umat Islam diseluruh dunia tanpa mengira pangkat atau harta. Berkumpul dan berkenalan antara satu sama lain. Dengan kewujudan hotel ini, serba sedikit akan menimbulkan perbezaan antara darjat dan kasta sesama Islam semasa menunaikan haji.

Umat Islam yang kaya-raya akan berkumpul sesama mereka di dalam bilik mewah hotel 7 bintang tanpa bercampur gaul dengan orang kebanyakan yang biasanya tinggal berkongsi dalam bilik seramai 6-8 orang. Seolah-olah cuba mewujudkan jurang antara tiap orang Islam pulak.

"Tapi Mirul, menara jam ni melambangkan kekayaan dan kemajuan Negara Islam. Baru la negara lain nampak yang negara Islam pun kaya."

Nak menunjukkan kekayaan? Bukankah Islam sentiasa mengingatkan umatnya supaya mengamalkan keserdehanaan dalam hidup? Jadi, kenapa negara Islam perlu bermegah dengan kekayaan yang ada? Perlu ke buat bulan sabit yang ada pada atas menara tersebut dengan emas tulen? Apa makna kau buat bulan sabit tu guna emas tulen? Nak menunjuk-nunjuk?

Emas tulen ni
Nak menunjukkan kemajuan? Adakah untuk menunjukkan kemajuan, sesuatu negara tu perlu membuat bangunan tertinggi, jambatan terpanjang, jam terbesar dan sebagainya? Negara itu boleh menunjukkan kemajuannya dengan menaikkan taraf hidup rakyat, memberi kuasa membeli yang tinggi untuk rakyat, mengurangkan tahap pengangguran dan mengurangkan peratusan rakyat miskin dalam negara, bukannya membina menara jam.

Aku ingat, orang Islam dekat Malaysia sahaja yang selalu teruja dengan perkataan bangunan tertinggi, jambatan terpanjang atau angkasawan pertama yang makan rendang daging, beriani ayam dan kuih bangkit di Stesen Angkasa Antarabangsa - ISS (opps!). Rupanya orang Arab pun dah terjebak. Come on you Arabs, you're better than this.

Lagipun, pembinaan menara jam yang besar gadang ini sedikit sebanyak telah membayangi Masjidil Haram dah Kaabah yang menjadi simbol Mekah selama ini. Sekarang, kalau sebut Mekah, kepala kita automatik akan terbayang Kaabah. Tapi pada masa depan, bila sebut Mekah, apa yang terpacul dalam kepala kita ialah menara jam yang tinggi melangit.

Masjidil Haram adalah tempat suci buat Umat Islam di senatero dunia, kenapa kita perlu bayangi Kaabah dengan bangunan yang tinggi melangit disebelahnya? Sepatutnya sebagai Tanah Suci buat Umat Islam, kita sepatutnya memberi keutamaan kepada Masjidil Haram dan Kaabah menjadi simbol tanah suci umat Islam,  bukannya menara jam tersebut.

Kita ambil agama Kristian sebagai contoh. Tempat suci penganut Roman Catholic ialah di Vatican City dimana Pope mereka tinggal. Vatican City terletak di dalam negara Itali. Itali telah memberikan keutamaan kepada tempat suci orang Kristian dengan memberikan kedaulatan dan kebenaran untuk Vatican City membentuk negara sendiri.

Vatican City
Kerajaan Itali tidak mahu menyentuh atau membayangi tempat suci agama mereka. Malah mengangkat tempat suci mereka ke tahap yang lebih tinggi dengan memberikan hak untuk menubuhkan wilayah sendiri.

Tetapi di Arab Saudi, tempat kelahiran Nabi Muhammad S.A.W., orang arab berlumba-lumba untuk membuat menara setinggi boleh untuk membayangi Masjidil Haram dan Kaabah supaya menara jam tersebut menjadi simbol utama di Kota Mekah.

Ok, point aku yang terakhir. Bukan ke pembinaan bangunan pencakar langit tidak digalakkan dalam Islam? Bukankah bangunan pencakar langit merupakan salah satu tanda hari kiamat? Kalau macam tu, kenapa nak buat bangunan tinggi-tinggi ni?

Itu sahajalah pendapat aku. Mungkin apa yang aku tulis salah, maklumlah aku bukannya orang yang kuat agama ataupun bukan pakar membina bangunan tertinggi dunia. Tapi bagi aku, aku seperti kurang setuju dengan pembinaan menara jam ini. Apa pendapat kamu? 

Rabu, 18 Agustus 2010

Apa yang akan terjadi kalau kita puasa selama setahun?

Selepas saja selesai sessi masak lauk berbuka, aku pun baring sambil melampiaskan rasa malas pada tilam dan bantal.

Jam baru menunjukkan jarum panjang pada angka 12 dan jarum pendek menunjukkan angka 4. Lama lagi nak berbuka.

Dikala aku sedang bermalas-malasan, fikiran aku melayang jauh. Cukup jauh untuk aku mula memikirkan benda-benda yang tidak masuk akal.

Aku mula terfikir, kalau kita difardukan untuk berpuasa selama setahun, apa yang akan terjadi?


Peniaga Bazaar Ramadhan akan menjadi kaya raya

Percaya atau tidak, peniaga Bazaar Ramadhan biasanya mendapat keuntungan berkali ganda berbanding semasa mereka berniaga pada hari biasa, pasar malam ataupun pasar tani.

Dulu, bapak aku ialah seorang peniaga Bazaar Ramadhan yang tegar. Menurut bapak aku, keuntungan berniaga sebulan di Bazaar Ramadhan sama seperti keuntungan 3 bulan berniaga di hari biasa.

Itu baru sebulan berniaga. Cuba bayangkan kalau setahun dapat untung macam tu. Mesti lebih ramai orang berebut nak jadi peniaga Bazaar Ramadhan dari sibuk mengisi borang SPA sebab nak kerja untuk gomen.


Makin ramai yang gastrik secara tiba-tiba

Sebulan berpuasa pun ramai manusia yang tak boleh puasa penuh. Inikan pula bila kena puasa setahun. Berebutlah para manusia buat-buat muka sakit, tangan letak pada perut dan cakap dalam nada lemah depan doktor.

Bila doktor hulur surat pengesahan gastrik, serta merta muka terus sihat berseri-seri. Dapat lesen besar boleh makan, apa nak takut lagi.

Doktor yang selalu jual MC dan surat gastrik bakal kaya sama seperti pak cik-mak cik yang berniaga di Bazaar Ramadhan.


Kewujudan restoran 24 jam akan berkurangan

Oleh disebabkan para penganut Agama Islam tidak boleh makan lagi di siang hari (makan secara terbukalah), maka keuntungan di siang hari sudah berkurangan. Ini boleh menyebabkan mapley banyak yang jatuh bangkrap.

Jangan terkejut pula bila kamu ternampak mamak mapley tiba-tiba turut serta berniaga di Bazaar Ramadhan.


Jumlah kereta jenazah akan bertambah di Malaysia

Seperti yang kita maklum, sesiapa yang ditangkap kerana tidak berpuasa dan makan dikhalayak ramai bakal diusung di seluruh bandar dengan kereta jenazah.

Jadi, berkemungkinan besar fungsi kereta jenazah bakal berubah kalau kita berpuasa sebulan. Berkemungkinan besar juga kereta jenazah yang mengusung orang tak puasa lebih banyak dari kereta jenazah yang mengusung orang yang meninggal.


Jualan murah Hari Raya sepanjang tahun

Perkara paling sinonim dalam Bulan Ramadhan ialah jualan murah atau biasanya Orang Melayu lebih suka mengelarkannya dengan gelaran Sales di Shopping Complex terkemuka di seluruh Malaysia.

Bila sepanjang tahun sales, mestilah ada yang pergi membeli. Ya lah, benda tengah murahkan? Dan biasanya wanita yang sangat sinonim dengan istilah Sales. Dan apabila para isteri sedang bershopping dengan riang, para suami bakal memandang dompet mereka yang kian menipis.


Kalau dah setahun puasa, bila nak raya?

Entah! Apa la kau ni, Amirul. Kalau dah puasa setahun, bila nak raya? Bila masa nak tayang baju raya? Bila?


Dan yang paling penting sekali....

Kalau dah puasa setahun, bila masa para-para wanita yang uzur dan tak boleh berpuasa nak ganti puasa?

Sudah. Itu saja yang aku dapat fikirkan. Maklumlah, puasa kan?

Senin, 16 Agustus 2010

Siswa-Siswi dan Politik

Sekadar gambar hiasan
Minggu lepas, aku ada terbaca status Ezat di Fesbuk-nya:

"Mahasiswa tidak dibenarkan berpolitik. Apa pendapat korang?"

Semenjak-dua menjak kebelakangan ini, memang selalu juga kita terdengar di berita, terbaca di akhbar atau paling tak pun, terbaca di blog para-para pelajar IPTA/S atau pun blog-blog politik bercerita tentang kisah ini.

Ada sesetengah pihak menyeru pihak kerajaan supaya meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) supaya membenarkan pelajar di IPT berpolitik, manakala ada sesetegah pihak menyekatnya. Ada pula sesetengah yang mencadangkan supaya para cikgu dan pensyarah dibenarkan berpolitik di dalam kelas, berpolitik kepada pelajar mereka mungkin.

Jadi adakah pelajar sepatutnya digalakkan untuk terlibat di dalam sebarang kegiatan politik? Bagi aku, memang sepatutnya pelajar IPT di Malaysia diberikan kelonggaran untuk menyertai aktiviti politik. Kenapa aku berkata sedemikian?

Pada  Pilihan Raya Umum 2008 (PRU 2008) yang berlangsung pada hari Sabtu 8 Mac 2008, aku untuk pertama kalinya membuang undi. Semua orang masih ingat bagaimana keputusan PRU 2008 sangat mengejutkan seantero Malaysia apabila untuk pertama kalinya Barisan Nasional gagal mendapatkan majoriti 3/4 seperti pilihan raya sebelum ini. Malah lebih mengejutkan apabila pihak Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas 4 negeri yang lain pada pilihan raya tersebut.

Pada hari Isnin, aku pergi ke kelas seperti biasa (ketika ini aku masih menuntut di UiTM Segamat). Aku ke kelas International Marketing ataupun Global Marketing (aku sudah lupa subjek apa) yang diajar oleh Encik Yakuza. Ok. Aku juga terlupa nama pensyarah tu. Nampak sangat aku tidak berminat dengan subjek dan pensyarah aku tu.

Jadi di dalam kelas, Encik Yakuza menyoal seluruh kelas siapa yang membuang undi pada hari sabtu. Daripada 20++ orang di dalam kelas, hanya aku dan seorang lagi kawan aku yang mengangkat tangan. Dalam kelas aku saja, sudah lbih 20 orang yang tidak mendaftar sebagai undi. Sewaktu 2008, purata umur kami dalam kelas ialah 24 tahun.

Kemudian, Encik Yakuza meneruskan kelas dengan sessi presentation. Semasa sessi presentation, Encik Yakuza menyoal para pelajar tetapi tiada satu pun yang mempunyai kaitan dengan apa yang telah di-presentation-kan oleh pelajar, tetapi mengenai PRU 2008.

Memang satu kejutan juga apabila kebanyakan pelajar tidak mengetahui langsung tentang PRU 2008. Kalau pelajar perempuan, memang aku boleh agaklah. Ini pelajar lelaki pun sama. Encik Yakuza menyoal negeri apa yang berjaya di rampas oleh Pakatan Rakyat, tiada siapa yang mampu menjawab. Encik Yakuza menyoal siapa calon yang bertanding ditempat tinggal mereka masing-masing, juga tiada siapa yang mampu menjawab.

Inilah kesa apabila pelajar-pelajar IPT tidak dibenarkan untuk berpolitik. Kebanyakan pelajar semuanya menjadi buta politik. Oleh disebabkan mereka tidak dibenarkan untuk berpolitik, mereka terus tidak ambil tahu tentang politik.

Pelajar IPT kini menjadi seperti robot yang telah diprogramkan. Bangun pagi, pergi kelas, salin nota, balik, study, pergi test, jawab soalan, tunggu result. Fungsi universiti yang sebenar sudah pupus. Universiti kini tidak jauh berbeza dengan sekolah.

Universiti sepatutnya tempat untuk anak muda berdikari, berfikir dan belajar untuk membuat keputusan. Bukannya tempat untuk pelajar menimba ilmu, menjawab soalan dan mendapatkan pointer yang tinggi semata-mata.

Universiti sepatutnya anak muda beljar erti kehidupan sebenar dan selok belok dunia. Politik adalah salah satu cara untuk para pelajar mempelajari jati diri dan menajamkan daya berfikir. Apabila berpolitik, pelajar juga akan terbuka untuk mengetahui hal-hal isu semasa, sejarah, ekonomi dan lain-lain hal yang berkaitan.

Pelajar di Malaysia terlampau bersenang lenang, terlampau memikirkan Hendonisme. Mereka tidak hiraukan keadaan semasa politik Malaysia. Mereka tidak ambil tahu apa aktiviti para menteri atau apa-apa keputusan yang dibuat mereka.

"Eh? Bila masa pulak kena pakai tali pinggang kat seat belakang ni?"
"Eh? Bila masa harga minyak naik ni?"
"Eh? Bila masa Selangor dah jatuh kan PR ni?"

Berbeza dengan pelajar IPT di luar negara. Sebagai contoh, di Indonesia. Pelajar Indonesia sanggup menggadaikan nyawa kerana mereka mahukan kuasa demokrasi dan kuasa rakyat dihormati. Walaupun tindakan mereka pada mulanya tidak diendahkan oleh Suharto, mereka dari Universitas Trisakti, Gajah Mada, Universitas Indonesia dan Bandung dan beberapa universiti lain telah bersuara dan bertindak untuk membela serta menuntut hak ratusan juta rakyat Indonesia yang mengimpikan kehidupan yang lebih baik.

Akhirnya pada Mei 1998, Suharto terpaksa meletakkan jawatan untuk membolehkan rakyat Indonesia menikmati kebebasan dan demokrasi yang diperjuangkan oleh pelajar Universiti di Indonesia. Bukan setakat Indonesia sahaja, pelajar-pelajar universiti Amerika, Australia dan banyak lagi juga pernah membuat protes seperti ini.

Pelajar di Malaysia? Tunggu PTPTN keluar, guna duit PTPTN beli handphone baru, shopping, enjoy sampai habis, beli baju yang ada tulisan "Saya Sayang Awek Saya" atau "Saya Sayang Emak Saya", buat rambut ala-ala Noh Hujan, layan Lady Gaga dan Justin Bieber dan lain-lain.

Aku bukan mahu menggalakkan kamu memberontak dan menggulingkan kerajaan Malaysia (nanti tak pasal-pasal aku masuk ISA pulak) tapi aku cuma berharap agar para pelajar IPT sekarang lebih peka dalam perkembangan politik di Malaysia.

Kebanyakan pelajar IPT berbangsa Melayu sangat lemah dalam perihal politik, terutamanya pelajar perempuan. Kebanyakan peljar IPT akan menyokong satu-satu parti itu kerana terikut-ikut daripada kawan. Kalau berkawan dengan kawan yang pro BN, maka BN-lah yang diundinya. Jika berkawan dengan kawan yang pro PR, maka PR-lah yang diundinya.

Aku ingat lagi peristiwa Menteri Besar Selangor memberi cadangan supaya membuka 10% kuota UiTM kepada pelajar bukan Melayu. Dapat dilihat yang pelajar-pelajar melakukan protes dengan memakai pakaian serba hitam dan berkumpul ditempat parking untuk membuat demonstrasi.

Yang kelakar, ada pelajar UiTM yang tidak tahu motif sebenar demonstrasi itu diadakan dan cuma tahu apabila mereka mula berkumpul untuk berdemonstrasi.

Ada sesetengah cawangan UiTM pula berjaya mengumpulkan pelajar untuk berdemonstrasi dengan sedikit ugutan seperti di bawah:

Klik pada gambar untuk tumbesaran gambar

Aku harap selepas ini, pelajar IPT lebih celik politik. Jangan jadi seperti yang dicucuk dengan tali, ikut saja apa orang kata. Jadilah pelajar yang penuh dengan ilmu pengetahuan. Apa guna kau ada segulung ijazah dengan pointer yang tinggi tetapi ketandusan pemikiran dalam hal ehwal semasa dalam negara?

Kepada pihak yang tertentu, diharap dapat dilonggarkan AUKU kerana AUKU sedikit sebanyak memberikan kesan kurang baik kepada para pelajar di IPT. Oleh disebabkan pelajar takut dengan AUKU, kebanyakan pelajar akhirnya mengabaikan politik dan isu semasa dalam negara.

Tentang cikgu dan pensyarah dibenarkan berpolitik di dalam kelas, yang ni aku kurang setuju. Berkemungkinan besar tenaga pengajar juga bakal mempengaruhi pelajar untuk mengundi parti yang disokong oleh tenaga pengajar itu.

Adalah lebih baik membiarkan pelajar sendiri meng-explore bidang politik. Baca Berita Harian dan Utusan Malaysia yang pro BN dan baca Harakah dan Suara Keadilan yang pro PR. Baca blog-blog ahli politik pihak kerajaan dan pembangkang. Buka minda, baca dibahagian kedua-dua pihak dan buat pilihan yang bijak.

Ingat, pelajar IPT adalah masa depan negara dan masa depan negara akan punah jika pelajar IPT lebih banyak mendewakan Justin Bieber dan Lady Gaga dari mengambil tahu hal-hal politik di Malaysia.

Jumat, 13 Agustus 2010

Aku, budak junior dan bas tambang @ lompat

Terasa malas nak menulis sesuatu yang panjang dan serius. Jadi ada baiknya kalau aku tulis tentang kisah kehidupan yang pernah terjadi pada aku.

Masa
Tak berapa ingat tapi pada separuh kedua tahun 2008. Selepas aku meninggalkan 32 Jementah dan duduk bersama Yan, Hafiz, C-sen dan Raman di rumah sewa baru.

Lokasi
Dalam Bas Tambang (ada orang panggil bas lompat).

Semasa aku belajar di UiTM Segamat, biasanya aku kan pulang ke Batu Pahat dengan dua method:

1) Tumpang Kereta Yan sambil menyanyi sampai hilang suara
2) Naik bas tambang sambil duduk diam dengar iPod aku.

Kali ini, Yan tak balik ke Batu Pahat. Jadi aku akan pulang ke Batu Pahat dengan bas tambang. Ada orang mengglarkan bas tambang sebagai bas lompat. Aku akan menaiki bas tambang dari Segamat dan turun di Ayer Hitam. Kemudian aku akan menaiki bas Johore Motor untuk ke bandar Batu Pahat. Dan biasanya, aku pulang berseorangan.

Tapi kali ini, aku tak pulang seorang diri dan duduk diam sambil mendengar iPod, tapi aku ditemani oleh seorang budak junior (aku lupa dah nama dia).

Aku kenal dia di Perhentian Bas Segamat. Dia menegur aku semasa aku sedang memerhatikan orang lalu lalang di hadapan aku. Aku terus berbual dengan dia dari sebelum naik bas sehinggalah bas bergerak.

Aku tak ingat nama dia. Budak junior (BJ) tersebut mengambil jurusan Diploma in Business Study dan BJ merupakan pelajar semester pertama.

Ok. BJ bunyinya macam Blow Job. Aku tukar. Aku namakan budak junior tersebut Leman.

Leman tinggal di sekitar Parit Raja. Umurnya 20 tahun ketika itu. Dia panggil aku 'abang'. Aku sebenarnya kurang selesa kalau budak junior lelaki panggil aku 'abang' (budak junior perempuan adalah digalakkan panggil aku abang), tapi aku biarkan saja dia panggil aku 'abang'.

"Kenapa lambat sambung belajar?" Tanya aku.

"Saya orang susah, bang." Jawab Leman dengan reaksi muka sedikit muram.

"Susah?"

"Bapak saya kerja kerani je kat Sekolah Bima Sakti Pemecah Alam (aku lupa nama sekolah tu). Mak tak kerja. Saya ada 7 adik beradik." Jelas Leman.

"Kau yang sulung?" Aku mengagak.

"Ha'ah. Lepas SPM, saya kerja sebab tak nak bebankan family. Tak mak saya suruh sambung belajar jugak sebab kerja saya tu pun, gajinya tak besar mana."

Aku terdiam. Dari mula berjumpa di Perhentian Bas Segamat, naik bas ke Ayer Hitam dan sampailah aku naik Bas Johore Motor, barulah kisah sedih Leman keluar. Sebelumnya tadi kami banyak bercerita pasal muzik, filem, awek-awek hot di UiTM dan kisah-kisah lawak.

"Tapi saya rasa saya nak berenti belajar la, bang." Sambung Leman lagi.

"Kenape pulak?"

"Saya dah dapat kerja. Kerja gomen. Memang la gaji tak besar mana tapi gaji ni lagi elok dari kerja saya dulu (aku juga lupa apa kerja budak ni dulu). Boleh saya tolong mak bapak saya."

Aku angguk sahaja. Bila dengar kisah orang-orang susah, aku sendiri tak tahu apa nak cakap selain berdiam diri.

Pada masa ini, aku rasa simpati kepada Leman. Dengan gaji yang tidak sebesar mana dan terpaksa membesarkan 7 orang anak yang semuanya masih bersekolah memang satu beban yang berat. Mungkin Leman patut berkorban untuk keluarganya.

Dan aku bersimpati pada Leman. Dia pasti ada menyimpan cita-cita untuk berjaya dalam pelajaran tetapi terpaksa mengorbankan cita-cita untuk mendapatkan segulung diploma telah berkecai. Aku betul-betul simpati dengan Leman. Amat simpati.

"Lagipun, kalau saya kerja... Boleh la saya kawin cepat, bang. Saya dah ade awek dah ade awek. Kitorang memang dah ready nak kawin. Dua tahun kerja, lepas tu saya kahwin la."

Dan dengan ayat di atas, Leman telah berjaya meniup rasa simpati aku terus keluar dari bas.

Ingatkan nak tolong mak bapak. Nak kahwin rupanya....