Tampilkan postingan dengan label Merdeka. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Merdeka. Tampilkan semua postingan

Jumat, 16 September 2011

Benda-Benda Amerika Yang Mungkin Boleh Di Malaysia-kan


Semenjak video Malaysian Boy ditayangkan di TV, banyak pihak mengkritik kerana lagu ini merupakan lagu saduran dari lagu American Boy nyanyian Estelle featuring Kanye West.

Ada yang memberikan kritikan yang membina. Ada yang mengutuk. Ada yang mengatakan tak patriotik kerana mengambil lagu dari Amerika untuk membuat lagu yang bersifat patriotik.

Bagi aku, aku tak kisah sangat. Korang bising-bising pun, lagu Negaraku itu pun lagu saduran dari luar negara juga. Apa nak hairan sangat kan?

Kita dah melihat lagu Amaerican Boy telah di Malaysia-kan menjadi Malaysian Boy. Jadi sempena Hari Malaysia yang kita sambut hari ini, mari kita lihat apa lagi yang kita boleh Malaysia-kan dari benda-benda Amerika yang lain.


Filem: American Gigolo


Apa benda ni? 
American Gigolo mengisahkan Julian Kaye (Lakonan Richard Gere) yang menjadi pelacur lelaki di Los Angeles. Punca kenapa dia menjadi pelacur lelaki ialah kerana dia seorang lelaki yang tertarik dengan kshidupan mewah - kereta mahal, baju jenama dan makan ditempat yang mahal - dan hanya kerja itu yang mampu merealisasikan impiannya.

Kemudian Julian berdepan pelbagai ragam dari pelanggannya. Ada yang pembunuh la, ada yang bermasalah dengan suamilah....

Aku pernah tonton cerita ini sekali sahaja, dan aku pun sudah tidak ingat jalan cerita ini (mungkin aku patut download filem ini). Satu-satunya yang aku ingat tentang filem ini ialah lagu tema untuk filem ini, nyanyian band Blondie - Call Me. dan lagu ini juga menyebabkan aku meminati beberapa lagu Blondie yang lain.


Apa yang jadi kalau ia di Malaysia-kan?
Jadilah Gigolo Malaysia. Aku tak pasti siapa yang patut memegang watak ini tapi mungkin boleh bagi watak ini kepada Ady Putra. Aku dapat rasakan dia boleh memegang watak gigolo dengan baik.

Sinopsis ceritanya, seorang anak muda yang datang dari kampung untuk ke bandar dengan harapan boleh hidup senang dan mewah di kotaraya. Tapi anak muda ini memandang rendah kepada pancaroba kotaraya. Akbatnya, dia hanya mampu menjadi cleaner.

Untuk merealisasikan impiannya, beliau menjadi seorang gigolo. Pelanggannya kebanyakannya datin-datin yang tua (Rosnah Mat Aris misalnya).

Adakah ia akan berjaya?
Tidak! Sudah pasti filem ini akan mendapat kritikan dan hentaman dari orang ramai. Kalau FINAS lepaskan pun, sudah pasti filem tersebut menerima 36 babak yang telah dipotong.

Lagipun, gigolo bukan suatu yang sihat dimata rakyat Malaysia. Sudah pasti para-para NGO dan Pemuda PAS akan membuat demonstrasi jalanan untuk menghalang tayangan filem ini?


Filem: American Gangster


Apa benda ni?
Sebuah filem yang memaparkan kisah benar taiko gangster bernama Frank Lucas yang berjaya menyeludup heroin dengan menggunakan perkhidmatan kapal terbang yang digunakan semasa Perang Vietnam. Seorang detective telah menyiasat kes ini. Lakonan Denzel Washington dan Russel Crowe.

Apa yang jadi kalau ia di Malaysia-kan?
Kita sudah ada KL Gangster. Tapi itu KL, bukan Malaysia. Jadi filem Malaysian Gangster perlulah diolah dan menunjukkan keganasan gangster dari pelusuk Malaysia.

Kita boleh mulakan cerita dengan gangster Johor dan gangster Kelantan tak puas hati, lalu mereka pergi ke KL dan bergaduh di sana. Gangster KL tak puas hati bila tempat dia dilanggar oleh 2 gang lain. Nak pergi menghalang, jumlah mereka sikit jadi mereka mintak pertolongan dari gangster Selangor. 

Jalan cerita ini berterusan sehinggalah gangster Sarawak dan Sabah juga turun ke Semenanjung untuk bergaduh. Setiap gangster akan bercakap menggunakan loghat negeri masing-masing.

Adakah ia akan berjaya?
Ya! Melihat trend filem bergenre gangster (Kongsi & KL Gangster) mendapat sambutan baik, rasanya filem Malaysian Gangster pasti laku juga. Tapi ia sedikit sebanyak boleh meningkatkan sentimen kenegerian dan mungkin menghalang semangat 1Malaysia nanti.


Lagu: Green Day - Last of the American Girl


Apa benda ni?
Sebuah lagu dari Green Day, yang dipetik dari album ke-8 band ini, 21st Century Breakdown. Lagu ini mengisahkan seorang lelaki yang bercinta dengan seorang perempuan yang berhaluan kiri (dari pandangan politik).

Apa yang jadi kalau ia di Malaysia-kan?
Kalau diadaptasikan ke dalam Bahasa Malaysia, sudah pasti lagu ini akan digam oleh pihak kerajaan. Jadi kita ubah isi lagu ini.

Kalau diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia, ia menjadi Wanita Malaysia Terakhir. Lagu ini mengisahkan dunia di masa hadapan yang berada dalam keadaan kelam-kabut. Kebanyakan rakyat Malaysia sudah dijangkiti oleh sejenis wabak merbahaya dan mati.

Akibatnya, tinggallah beberapa rakyat Malaysia sahaja yang hidup. Kebanyakannya lelaki. Seorang Melayu, seorang Cina, seorang India. Dan hanya ada seorang sahaja perempuan yang hidup.

Oleh kerana resam hidup manusia yang ingin hidup berpasangan, mereka semua terpaksalah memikat satu-satunya gadis Malaysia yang masih hidup itu untuk dijadikan teman hidup.

Adakah ia akan berjaya?
Kamu rasa? Tapi kalau baca dari isi lagu yang aku ubah itu, ia lebih sesuai dijadikan skrip filem dari sebuah lagu. Dan kalau bertul skrip itu berjaya difilemkan, ia sudah pasti akan menjadi filem yang teruk seperti filem 2 Alam.


Lagu: Green Day - American Idiot


Apa benda ni?
Sebuah lagi lagu dari Green Day, yang dipetik dari album ke-7 band ini, American Idiot. Lagu ini kuat berbau politik, di mana Green Day dengan lantangnya menyuarakan kritikan kepada kerajaan Amerika yang sedang memerintah.

Apa yang jadi kalau ia di Malaysia-kan?
Mungkin akan menjadi Bodoh Malaysia. OK, bunyinya tak berapa enak. Jadi kekalkan dalam bahasa penjajah, Malaysian Idiot.

Sudah pasti lagu ini tidak boleh mengikut isi lirik yang sama dengan versi Green Day. Kalau mengkritik kerajaan melalui lagu secara terang-terang, sudah pasti akan menerima hukuman yang berat.

Jadi, perlukan lagu ini diubah menjadi lagu yang menceritakan kebodohan rakyat Malaysia berfikir atau perbuatan bodoh yang sering dilakukan oleh rakyat Malaysia?

Adakah ia akan berjaya?
Tidak jika diubah isi lirik ini. Tapi jika dikekalkan dengan isi Green Day, iaitu mengkritik kerajaan, pasti lagu ini berjaya melekat di hati dan minda para pendengar. Dan juga sudah pasti akan membuatkan si penulis lirik dan penyanyi disumbat ke dalam ISA.

Eh? Bukan ISA dah kena mansuh ke?

==========

Ok. cukuplah sampai di sini repekan aku yang tak bermakna ini. Jumpa lagi di entri yang lain. Selamat Hari Malaysia!

Senin, 06 September 2010

Sejarah Malaysia yang kita jarang dengar Part 3

Siri entri sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September setiap tahun.

Aku ingin memetik beberapa kisah bersejarah di Malaysia yang kita jarang dengar, kita tak ambil tahu sebab menganggap peristiwa ini "kecik dan kurang penting" atau tak tertulis dalam buku teks KBSM di sekolah-sekolah Malaysia.

Suatu masa dulu, idea sosialisme bukanlah asing sangat pada rakyat macam zaman sekarang. Para-para pemikir sosialis pernah membuat satu front gabungan dua parti sosialis terbesar di Malaya ketika itu, Parti Rakyat Malaya dengan Parti Buruh Malaya.

Samada kamu menyokong atau membangkang idea sosialis, kamu pro kerajaan atau pro pembangkang, anggap saja entri ini sebagai satu pengajaran sejarah kepada kamu. Apa yang aku ceritakan adalah untuk melihat kembali sejarah salah satu parti politik yang besar dalam sejarah politik di Malaysia.

Barisan Sosialis/ Socialist Front 1957-1966


Barisan Sosialis atau Socialist Front (SF) atau nama penuhnya Barisan Sosialis Rakyat Malaya (Malayan People's Socialist Front) dibentuk pada 26 Ogos 1958, terdiri daripada Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (LPM) pada mulanya dan disertai kemudiannya Parti Perhimpunan Kebangsaan atau National Convention Party (PPK) bagi membentuk satu pakatan politik yang telah bergiat cergas dan mendominasi beberapa pihak berkuasa kerajaan tempatan di Semenanjung Malaysia pada era 1950-an sehingga 1960-an.

Parti Rakyat Malaysia (PRM)
Ditubuhkan: 11 November 1955
Bapak aku panggil Parti Kepala Lembu
Parti Buruh Malaya
Ditubuhkan: Jun 1956
Dibubarkan: 1969
Dalam Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 yang pertama, SF telah memenangi 8 kerusi di peringkat kebangsaan menjadikannya parti yang ketiga terbesar di Parlimen Malaysia selepas Perikatan (nama lama Barisan Nasional - BN) dan Parti Islam Se-Malaya (PAS).

Lambang Parti Perikatan
Lawa jugak lambang BN yang lama ni
Semasa rancangan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman, untuk mengembangkan Tanah Melayu menjadi satu persekutuan yang lebih besar iatu Malaysia pada 1961, beliau cuba menjalankan kerjasama di antara pelbagai parti pembangkang di Parlimen. Maka SF telah berkerjasama dengan Parti Negara, Parti Progresif Penduduk (PPP), Parti Demokratik Bersatu atau United Democratic Party (UDP) dan Parti Islam Pan-Malaysia (PMIP), untuk membantah rancangan yang dilihat sebagai agenda tersendiri Perikatan.

Sementara itu, SF juga memperkuatkan penguasaannya di peringkat kerajaan tempatan seperti di Pulau Pinang, di mana SF telah menguasai 14 dari 15 kerusi bagi kerajaan tempatan George Town selepas pilihan raya Majlis Bandaran pada 1961. Pada 1965, SF telah menguasai majlis bandaran di Pulau Pinang dan Melaka serta juga majlis tempatan di Seremban dan Serdang. Faktor-faktor kemiskinan, gaji upah yang kecil dan kesihatan serta perkhidmatan bekalan elektrik dan air menjadi tapak sosialisme berkembang ketika itu.

Aktivis kesatuan sekerja, N. Patkunam, seorang ahli pengasas dan ahli jawatankuasa pusat Parti Buruh Malaya telah memenangi kerusi majlis tempatan Sungai Pinang pada pilihan raya 1958 dan 1961 dan seterusnya dilantik Timbalan Datuk Bandar pada 1960. Sebagai seorang guru yang muda, beliau telah menjual tanah pusaka ibu bapanya di Green Lane dan menyerahkan hasil jualannya kepada partinya demi untuk perjuangan mewujudkan satu masyarakat sosialis yang dapat menbenteras kemiskinan dan mendokong pembahagian kekayaan negara secara adil dan saksama.

SF telah bertambah kukuh apabila bekas Menteri Pertanian (1955-63), Abdul Aziz Ishak, membawa parti barunya Parti Perhimpunan Kebangsaan atau National Convention Party (PPK) untuk menyertai gabungan Barisan Sosialis (SF) apabila beliau disingkirkan daripada UMNO.

Oleh kerana pengaruh SF yang berkembang, kerajaan persekutuan Perikatan telah berusaha menjatuhkannya melalui propaganda mengaitkan sosialisma dengan komunisma dan mendakwanya anti-agama. Pengaruh puak berhaluan kiri SF yang bertambah semakin kuat telah menyebabkan tindakan keras dari kerajaan Perikatan pimpinan UMNO.

Pada 1963, sejurus selepas peristiwa Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963, kerajaan telah mengambil tindakan ke atas beberapa ahli politik dan aktivis pembangkang. SF dilihat sebagai pro-Indonesia dan semua pemimpin Barisan Sosialis telah diberkas. 

Antara mereka yang ditahan dan ditangkap ialah Ahmad Boestamam (presiden PRM), Ishak Haji Muhammad (presiden PBM), Abdul Aziz Ishak (presiden PPK) serta Datuk Kampo Radjo (kemudian menjadi presiden PRM), Tan Kai Hee, Tan Hock Hin, Dr. Rajakumar, Hasnul Hadi, Tajuddin Kahar dan ratusan yang lain.

Rapat umum dan demonstrasi besar-besaran telah diadakan pada 13 Februari 1965 di Kuala Lumpur sempena ulang tahun kedua penahanan Ahmad Boestamam dan lain-lain untuk menentang penangkapan beramai-ramai aktivis dan pemimpin SF di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tuduhan penglibatan kegiatan "subversif". 

Akibatnya pada Pilihan raya umum Malaysia 1964, SF hanya dapat memenangi 2 kerusi. Pembatalan pilihan raya kerajaan tempatan 1965 selepas pengisytiharan Darurat pada 1964 akibat Konfrontasi terus memberi kesan dan melemahkan pengaruh SF.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1969, Barisan Sosialis (SF) yang sebelum ini bertanding dan berjaya dalam Pilihan Raya Umum Tanah Melayu 1959 dan Pilihan Raya Umum Malaysia 1964 telah roboh berikutan pertikaian antara Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (LPM) mengenai isu-isu bahasa dan lain-lain meninggalkan PRM bertanding 6 kerusi di atas dirinya sendiri. PRM gagal memenangi satu pun kerusi yang dipertandingkan.

Barisan Sosialis akhirnya terus semakin lemah dan terkubur kerana mendapat tekanan kuat dari pihak kerajaan pemerintah akibat berlakunya tragedi rusuhan kaum Peristiwa Mei 13 pada 1969.

Selepas berakhirnya Socialist Front

Parti Buruh Malaysia akhirnya dibubarkan pada tahun 1969 setelah pembubaran SF.

Pada tahun 1970, kepimpinan Parti Rakyat telah diambil alih oleh Kassim Ahmad, seorang lepasan professional universiti, Parti Rakyat telah diterapkan lagi dengan ideologi sosialis lebih radikal. Pindaan Perlembagaan telah dibuat dan Parti Rakyat bertukar nama kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).

Pada 1989, PSRM bertukar nama balik semula kepada nama asalnya, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan menggugurkan perkataan sosialis dari nama parti dan perlembagaan. 

Ini mengakibat bantahan sesetengah ahli yang berpendapat parti itu telah mengendahkan perjuangan asal ideologi sosialisme mereka dan menyebabkan kumpulan serpihan yang diterajui Dr. Mohd Nasir Hashim dan kemudiannya menubuhkan parti baru, Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada 30 April 1998 yang berjaya didaftarkan akhirnya pada 10 September 2008.

Parti Sosialis Malaysia
Semasa berlaku gerakan Reformasi yang melahirkan sebuah parti baru iaitu Parti Keadilan Nasional yang dipimpin oleh Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim (Presiden ialah isterinya, Wan Azizah Wan Ismail) memulakan penerokaan untuk bergabung antara dua parti. Kerjasama kedua-dua parti ini bermula daripada pembentukan Barisan Alternatif. Ketika itu Presiden PRM ialah Syed Husin Ali. Walaubagaimanapun, hasrat penggabungan tersebut telah ditangguhkan disebabkan keengganan pihak berkuasa. 

Dua parti ini secara rasmi bergabung pada 3 Ogos 2003. Hasil daripada penggabungan parti, parti ini kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Syed Husin Ali yang merupakan Presiden PRM sebelum penggabungan ini menjadi Timbalan Presiden PKR manakala Wan Azizah menjadi Presiden PKR.

Walaupun demikian, beberapa pemimpin Parti Rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan penggabungan PRM  kepada sebuah entiti lain yang baru. Pada 17 April 2005, ahli Parti Rakyat Malaysia yang menentang penggabungan ini mengadakan Kongres Nasional di Johor Bahru dan dipilih menerusi kepimpinan baru bagi mengatasi pergelutan parti. 

Ini menyebabkan bekas pemimpin PRM yang telah bergabung dengan PKR, antaranya timbalan presiden PKR Dr. Syed Husin Ali (bekas presiden PRM), naib presiden PKR dan ahli pahlimen Subang R. Sivarasa (bekas naib presiden PRM) dan ahli jawatankuasa pusat Dr. Sanusi Othman (bekas setiausaha agung PRM) dan Tian Chua memohon kepada mahkahmah untuk PRM dibubarkan namun Mahkahmah Tinggi mengisytiharkan pembubaran PRM tidak sah kerana ianya hanya boleh dilakukan sekiranya 60% ahlinya mengundi untuk berbuat demikian di dalam kongres khas parti serta pemohon petisyen agar PRM dibubarkan sudah tidak mempunyai locus standi kerana telah meninggalkan parti. 

Pendaftaran PRM masih kekal sah sebagai parti politik mengikut Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan malahan PRM telah terus bertanding di dalam Pilihanraya Umum Malaysia 2008.

Sabtu, 04 September 2010

Sejarah Malaysia yang kita jarang dengar Part 2

Siri entri sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September setiap tahun.

Aku ingin memetik beberapa kisah bersejarah di Malaysia yang kita jarang dengar, kita tak ambil tahu sebab menganggap peristiwa ini "kecik dan kurang penting" atau tak tertulis dalam buku teks KBSM di sekolah-sekolah Malaysia.

Aku memang tak tahu dengan kewujudan tempat yang bernama Jementah ni, sampailah aku duduk menyewa di situ semasa aku belajar di UiTM Segamat.

Pensyarah aku pernah kata yang Jementah antara tempat bersejarah dekat Johor. Menurut pensyarah aku, Jementah adalah tempat pertama di Johor yang berlakunya perang saudara.

Mula-mula, aku macam tak ambil "port" dengang pensyarah aku sebab dia pernah buat lawak April Fool dalam kelas. Aku pernah buat carian dalam alam maya tapi tak dapat banyak maklumat.

Tapi hari ini, aku dapat banyak maklumat tentang Jementah.

Perang Saudara Jementah/ Perang Jementah/ Jementah Civil War

Perang ini tercetus pada tahun 1879 di Jementah, Johor akibat rasa tidak puas hati Tengku Alam, putera gahara kepada Sultan Ali atas penyerahan daerah Muar ke bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Tragedi berdarah tersebut menjadi yang begitu penting kerana:
  • Perang adalah perang saudara pertama berlaku di negeri Johor.
  • Perang ini telah melibatkan puluhan pahlawan dan pendekar yang handal.
  • Tamatnya perang ini merupakan satu daripada faktor pembukaan Muar.
  • Perang ini membawa beberapa kesan penting dalam sejarah Johor khususnya mulai tahun 1880 iaitu setahun selepas tamatnya perang, 'Kesang' menjadi jajahan Johor hingga ke hari ini.
  • Melalui perang ini, Mohammed Salleh bin Perang yang memegang jawatan Dato' Bentara Luar, salah seorang daripada elit Johor moden telah memperlihatkan kecekapannya dalam mengepalai angkatan perang.

Perang Jementah meletus pada 25 Oktober 1879 disebabkan oleh 'Sekeping Kertas' yang merupakan wasiat Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Ali, Yang Dipertuan Negeri Kesang. Beberapa jam sebelum mangkat, Sultan Ali telah mewasiatkan penggantinya iaitu Yang Maha Mulia Tengku Mahmood yang berumur 11 tahun, putera Almarhum Sultan dan isteri ketiganya iaitu orang kebanyakan.

Perlantikan melalui wasiat telah ditentang oleh Tengku Alam, putera sulong baginda dari isteri tuanya. Tengu Alam yang tidak berpengaruh itu telah membantah tindakan Kolonel Archibald A Anson, Pemangku Gabenor yang meletakkan jajahan Kesang di bawah pentadbiran Duli Yang Maha Mulia Maharaja Abu Bakar buat sementara waktu.

Tindakan awal yang dilakukan oleh Tengku Alam ialah menyuruh dua orang saudara sepupunya Tengku Nong dan Tengku Mat menghasut penduduk-penduduk sekitar kawasan Kesang supaya menyebelahi pihaknya. Tengku Mat dan Tengku Nong termakan dengan janji-janji manis Tengku Alam telah berjaya mempengaruhi segelintir orang-orang tempatan dan beberapa orang Panglima Melayu yang handal.

Panglima yang terlibat

Diantara Panglima-panglima yang handal itu ialah Panglima Besar Layot, Panglima Besar Salim, Panglima Besar Kadir, Panglima Besar Tok Siban, Panglima Besar Sancu, Raja Berambut Panjang, Wan Daud dan Wan Abas.

Atas persetujuan Tengku Alam Panglima Besar Sancu dilantik menjadi 'Kepala Perang'. Kononnya kesemua pahlawan Melayu tersebut mempunyai ilmu Kebal.

Bermulanya perang

Perang Jementah bermula apabila angkatan Tengku Nong menyerang Kesang, Pertempuran awal dipercayai berlaku di Relau dan Air Kertau. Di kedua-dua tempat itu angkatan Tengku Nong tidak mendapat tentangan hebat justeru itu timbullah rasa bongkak dan angkuh di kalangan pengikut-pengikut Tengku Nong.

Pada 25 Oktober 1879 angkatan Tengku Nong disertai oleh Panglima Besar Sancu telah menyerang Jementah dalam jajahan Muar Kiri. Pada masa itu Jementah merupakan sebuah kampung yang penuh dengan dusun buah-buahan dan sawah padi (sekarang Jementah masih ada dusun buah. Sawah padi macam dah tak wujud).

Dalam pertempuran di Jementah inilah Panglima Besar Sancu telah bertindak liar. Selain merampas harta benda penduduk-penduduk di situ, mereka juga membakar beberapa buah rumah. Mujurlah Penghulu Jementah sempat melarikan diri dan terus membuat aduan kepada pihak pemerintah di Johor.

Kemenangan dalam pertempuran di Jementah itu telah mendorong Tengku Nong mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Muda sementara Wan Daud diisytiharkan sebagai Temenggong Paduka Tuan. Kesannya, pemerintah Johor lantas mengirimkan sebuah angkatan perang diketuai oleh Ungku Ahmad iaitu saudara sepupu kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Maharaja Johor ke Jementah.

Kepintaran Ungku Ahmad dalam tipu muslihat perang telah menyebabkan beberapa buah kubu musuh dalam kawasan Lubuk Bandan (tak jauh dari rumah sewa aku) ditawan. Tengku Nong dan Panglima Sancu beserta pengikut-pengikut mereka berundur ke hulu sungai Jementah berhampiran dengan kaki Gunung Ledang. 

Di satu tempat bernama Kampung Lela mereka telah mendirikan sebuah kubu berbentengkan tanah. Sementara itu, pada 2 Disember 1879 Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Mohammed Salleh bin Perang telah dihantar oleh kerajaan Johor untuk membantu Ungku Ahmad dan Encik Esa yang sedang bertahan di sebuah kubu dalam jajahan Jementah.

Dato' Mohammed Salleh bin Perang telah membawa sebanyak 400 laras senapang jenis Snider-Enfield dan meriam bersama. Memandangkan pertahanan musuh masih kuat, Tengku Ahmad dan Dato' Bentara Luar telah membuat satu strategi untuk menyerang kubu-kubu musuh. Empat buah pasukan telah dibentuk dan setiap pasukan mengandungi 100 orang.

  • Panglima Besar Esa memimpin pasukan pertama.
  • Panglima Kiri Awang memimpin pasukan kedua.
  • Panglima Besar Yusuf memimpin pasukan ketiga.
  • Panglima Dalam Lamit memimpin pasukan keempat.


Kira-kira dua belas hari selepas pembentukan pasukan perang itu, angkatan perang Dato' Bentara Luar pun sampai di satu tempat bernama Dusun Dedap. Di Dusun Dedap dan di kawasan sekitarnya beberapa kubu dan benteng telah dibina. Yang anehnya kubu-kubu dari kedua-dua pihak yang terlibat dalam peperangan itu terletak berhampiran antara satu sama lain.

Menurut Haji Hassan bin Putih, sekurang-kurangnya lima buah kubu telah dibina oleh pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar dan pihak Tengku Nong di kawasan sekitar Dusun Dedap. Tiap-tiap kubu itu mempunyai namanya sendiri. Di antara kubu-kubu yang penting ialah Kubu Dedap, Kubu Lubuk Bandan, Kubu Sungai Siput, Kubu Macang Padang dan Kubu Raja Lela. Kononnya di salah sebuah kubu kepunyaan Tengku Nong sebuah meriam bernama 'Gegak Gempita' telah diletakkan di atas sebatang dahan pokok dedap.

Haji Hassan bercerita lagi, bahawa satu peristiwa ganjil telah berlaku sebelum Kubu Dedap yang termasyhur itu dibina. Manaf Khatib, orang yang ditugaskan membersihkan kawasan sekeliling Dusun Dedap itu telah jatuh pengsan sebaik saja beliau memulakan kerja menebang anak-anak pokok hutan. Pada waktu itu hujan panas turun berderai. Hanya setelah campur tangan seorang Pawang barulah kerja membersihkan kawasan disitu dapat diteruskan.

Haji Yahya bin Kubu pula mengaku bahawa datuknya Pawang Abib turut terlibat dalam pembinaan Kubu Dedap itu. Kononnya semasa Kubu itu dibina beberapa peristiwa ganjil telah berlaku antaranya dengan semena-mena hujan panas turun berderai diikuti dengan tiupan angin kencang. Pada sebelah malamnya pula bunyi burung-burung hutan dan binatang-binatang liar bertalu-talu hingga ke waktu subuh. Kubu Dedap tempat pertahanan orang-orang Dato' Bentara luasnya 40 kaki dan bentengnya dibuat daripada tanah setinggi dua belas kaki.

Semasa membina Kubu Dedap itulah, orang-orang Tengku Nong dan Panglima Sancu telah membuat serangan secara mengejut ke atas pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar. Taktik pukul curi itu telah menyebabkan tiga orang pengikut Dato' Bentara Luar terkorban sementara enam orang mendapat cedera.

Pada pertengahan bulan Disember 1879 pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar berjaya menawan sebuah kubu musuh di Padang Juling. Mengikut catatan Encik Daud bin Sulaiman, seorang ahli sejarah di Batu Pahat bahawa semasa bertahan di kubu Padang Juling Dato' Bentara Luar telah menyusun satu rancangan yang rapi dan lengkap bertujuan untuk menamatkan Perang Jementah dengan segera. Beliau telah memerintahkan seratus orang menebang pokok buluh dan setiap orang dikehendaki mengikat buluh-buluh itu menjadi seberkas.

Pada keesokan harinya, tiga ratus orang Dato' Bentara Luar 'berpura-pura' menyerang kubu Tengku Nong dan Panglima Sancu. Dan semasa serangan olok-olok itu dibuat, Dato' Bentara Luar menyuruh enam puluh orang pengikutnya membuat satu jalan pintas menuju ke arah kubu musuh (inilah agaknya sebab utama Jementah banyak jalan pintas/ jalan dalam. Kawan-kawan aku biasa guna jalan dalam untuk mengelak road block).

Empat buah meriam dipasang dengan arah muncungnya dihalakan ke arah kubu musuh. Panglima Besar Yusuf dan Panglima Kiri Awang merangkak perlahan-perlahan mengambil tempat berhampiran pagar kubu musuh. Panglima Lamit bersama orang-orangnya mengangkut berkas-berkas buluh itu sementara Dato' Bentara Luar dan Panglima Esa disertai oleh lima orang pengikutnya membuat benteng.

Kebetulan pada malam itu, hujan turun dengan lebatnya. Ini memudahkan lagi kerja Dato' Bentara Luar. Menjelang pagi Dato' Bentara Luar mengarahkan semua meriam dan senapang ditembak secara serentak. Serangan mengejut waktu subuh itu menyebabkan orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu dalam kubu menjadi kelam kabut. Kebanyakan mereka sedang tidur nyenyak ketika itu.

Pihak musuh yang mulai\ panik lantas memukul gendang dengan tujuan menaikan semangat mereka. Mereka sempat juga membalas tembakan dengan secara membuta-tuli. Ekoran daripada serangan pada waktu subuh itulah akhirnya membawa kepada tamatnya Perang Jementah pada 30 Disember l879.

Perang saudara itu berlaku dengan kemenangan di pihak Dato' Bentara Luar. Tengku Nong dapat ditawan dekat Gunung Ledang kira-kira sehari perjalanan dari Cohong. Wan Daud pula diberkas setengah jam selepas Tengku Nong ditangkap. Turut diberkas pada hari itu ialah ketua-ketua pemberontakan iaitu Tengku Mat, Panglima Besar Sancu, Panglima Besar Layot dan Raja Berambut Panjang.

Panglima Sarip, seorang lagi panglima yang handal ditugaskan untuk mengawal keselamatan Tengku Mat semasa diberkas cuba melawan tetapi telah ditembak oleh Panglima Perang Awang. Manakala saki baki musuh terus diburu.

Pak Yusuf bin Kamit atau dikenali dengan panggilan Pak Osop berasal dari Muar dan sudah menetap lebih 40 tahun di Segamat mendakwa bahawa pembukaan beberapa penempatan dan kampung di Segamat ada kaitan dengan tamatnya Perang Jementah.

Menurut Pak Osop menjelang tamatnya Perang Jementah, ramai pengikut Tengku Nong dan Panglima Sancu telah melarikan diri. Mereka seolah-olah sudah terasa kemenangan akan berada di pihak Dato' bentara Luar dan Ungku Ahmad. Malah ramai daripada pengikut Tengku Nong dan Panglima Sancu mulai insaf. Mereka sedar perjuangan mereka adalah sia-sia belaka. Menentang Dato' Bentara Luar dan Ungku Ahmad samalah seperti menentang Duli Yang Maha Mulia Maharaja Abu Bakar.

Justeru itu ramai daripada mereka tanpa mematuhi arahan ketua-ketua mereka lantas melarikan diri ke Segamat menaiki perahu menghilir Sungai Legeh dan Sungai Muar dan terus ke Segamat. Dipercayai mereka merupakan pendatang-pendatang awal yang membuka beberapa buah kampung di daerah Segamat.

Di Segamat, tempat yang didatangi oleh orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu itu dipercayai kebanyakannya berhampiran dengan sungai. Mengikut kajian sekurang-kurangnya sepuluh buah kampung atau kawasan telah dibuka oleh orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu. 

Kampung-kampung tersebut ialah Kampung Pogoh, Kampung Alai, Kampung Lubuk Batu, Kampung Paya Dalam, Kampung Ulu Gemereh, Kampung Batu Badak, Kawasan berhampiran Danau Lanjut, Kawasan berhampiran Danau Kongkong, Kawasan berhampiran Tebing Tinggi dan Kampung Tenang.

Mengikut Pak Osop lagi, di Kampung Paya Dalam, empat kilometer dari Bandar Segamat, dua buah kubur yang masih dapat dilihat hingga sekarang dipercayai adalah kubur-kubur pengikut-pengikut Panglima Besar Sancu yang melarikan diri itu dan kemungkinan mati di Kampung Paya Dalam. Di Kampung Paya Dalam juga terdapat kesan peninggalan Perang Jementah seperti kubu-kubu dan benteng-benteng

Seriously, aku tak pernah nampak peninggalan perang sepanjang setahun setengah tinggal di Jementah. Cendol, jom pergi Segamat lagi!

Rabu, 01 September 2010

Sejarah Malaysia yang kita jarang dengar

Siri entri sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September setiap tahun.

Aku ingin memetik beberapa kisah bersejarah di Malaysia yang kita jarang dengar, kita tak ambil tahu sebab menganggap peristiwa ini "kecik dan kurang penting" atau tak tertulis dalam buku teks KBSM di sekolah-sekolah Malaysia.

Kawad Maut Sandakan/Kawad Kematian Sandakan/Sandakan Death Marches

Kawad Maut Sandakan adalah antara kejadian terburuk dalam siri kejadian Kes Jenayah Perang Jepun yang mengakibatkan kematian sehingga 3,600 orang hamba kerahan Indonesia dan 2,400 tahanan perang Pihak Berikat (Allies), yang ditahan oleh Askar Jepun semasa Perang Pasifik semasa Perang Dunia Ke-2, di kem penjara di Borneo Utara. Dari keseluruhan tahanan yang ditawan di kem tersebut semasa perbarisan, hanya 6 yang diketahui terselamat selepas peperangan.

24 Oktober 1945. Kem tahanan perang Sandakan. Beberapa bulan selepas ia ditinggalkan dan dimusnahkan oleh tentera Jepun, tidak banyak yang tinggal di kem yang dibakar ini. Dalam kawasan Compound No. 1 (gambar) kubur mengandungi mayat 300 tahanan Australia dan British dijumpai. Mereka dipercayai tahanan yang tinggal di kem selepas siri kawad kedua ke Ranau. Setiap kubur mengandungi beberapa mayat, dalam sesetengah kes sehingga 10 mayat
(Foto: Frank Burke)
Pada tahun 1942, orang awam Indonesia yang dibawa dari pulau Jawa, bersama tahanan perang Australia dan British yang telah ditahan semasa kejatuhan Singapura, dihantar melalui kapal ke Borneo Utara dengan tujuan untuk membina padang terbang di Sandakan. 

Seperti pembinaan landasan kereta api Burma (dikenali sebagai landasan kereta api maut), tahanan dipaksa bekerja keras dengan diacukan senapang kepada mereka, sering dipukul dan tidak menerima makanan serta ubatan yang cukup. Mereka terus ditahan walaupun kerja pembinaan telah siap. Kebanyakan tahanan akhirnya mati. Pada awal 1945, apabila Pihak Berikat semakin hampir, komandan kem Kapten Hoshijima Susumi memutuskan untuk memindahkan baki tahanan ke pedalaman di Ranau, kira-kira 250 kilometer. Menurut beliau, ia merupakan arahan dari Leftenan Gen Masao Baba, Komander Pemerintah ke-37 dalam Tentera Jepun.

Tahanan Australia dan Indonesia ini telah dikerah oleh tentera Jepun untuk berjalan dari Sandakan di pantai timur ke Kota Kinabalu di pantai barat. Dalam perjalanan tersebut, lebih 1000 orang telah maut akibat keletihan, kebuluran dan penyakit.

Kem Tahanan Sandakan yang ditangkap menggunakan Google Earth.
Eh? Zaman dulu mana ada Googel Earth
Kawad Pertama

Kawad pertama merentasi kawasan paya, hutan tebal dan kemudian melalui kawasan cerun bahagian timur Gunung Kinabalu yang berlaku diantara Januari hingga Mac 1947.

Pihak Jepun telah memilih 470 banduan yang difikirkan cukup cergas untuk mengangkut bagasi dan bekalan makanan untuk mengiringi batalion-batalion Jepun ke penempatan baru di bahagian pantai barat. Dalam kumpulan tersebut, kebanyakan tahanan yang menderita daripada jangkitan penyakit atau kekurangan zat makanan. Mereka memulakan perjalanan dengan niat asal untuk pergi ke Jesselton (nama lama Kota Kinabalu).

Walaupun perjalanan tersebut mengambil masa 9 hari tetapi mereka diberi bekalan hanya untuk 4 hari. Seperti apa yang terjadi dalam Kawad Maut Bataan (The Death March of Bataan) di Filipina, tahanan yang tidak dapat bertahan akhirnya mati. Mana-mana tahanan yang keletihan ditinggalkan supaya mati dalam perjalanan. Apabila sampai di Ranau, mereka yang masih bertahan telah diarahkan untuk membina kem sementara.

Tahanan yang terselamat akhirnya telah ditahan dalam bilik tahanan yang kotor dan terpaksa bersempit-sempit. Kebanyakan mereka akhirnya jatuh sakit dan mati akibat dysentery (cirit-birit). Menjelang 26 Jun 1945, hanya 5 askar Australia dan seorang askar British yang masih hidup.

Kawad Kedua

Kawad kedua bermula pada 29 Mei 1945 dengan disertai oleh 536 tahanan. Kawad tersebut berlangsung selama 26 hari, dengan kesemua tahanan kedua ini lebih lemah dari para tahanan kawad pertama. Tahanan kali ini juga diberikan catuan makanan dan dipaksa untuk mencari makanan sendiri dalam perjalanan.

Compound No.1 di Sandakan telah dimusnahkan untuk memusnahkan bukti kewujudan mereka. Hanya 183 tahanan yang terselamat. Kawad kedua tiba pada 24 Jun 1945, dan mereka terkejut apabila mendapati hanya 6 orang tahanan sahaja yang masih hidup dari Kawad Pertama.

Kawad Terakhir

Kira-kira 250 orang tahanan yang tinggal selepas kawad kedua berlepas. Kebanyakan tahana mula jatuh sakit dan Askar Jepun membiarkan mereka mati tanpa memberikan makanan (starve to death). Namun, pada  9 Jun 1945, Jepun akhirnya menghantar 75 orang lagi untuk kawad terakhir.

Tahanan dalam kawad terakhir sangat lemah berbanding dua kawad terdahulu, tiada seorang pun yang mampu bertahan lebih dari 50 km. Setiap tahanan akhirnya rebah kerana keletihan melampau dan ditembak bunuh oleh askar Jepun.

Tahanan yang masih tinggal di Sandakan dan tidak mampu untuk berjalan telah dibunuh ataupun mati kerana kelaparan dan sakit teruk sebelum Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945.

Mangsa-mangsa tahanan yang lain

Kerana kekurangan dan layanan kejam dari Askar Jepun, hanya 38 tahanan yang masih hidup di Ranau. Semua tahanan kurang sihat dan tidak mampu untuk bergerak. Mereka akhirnya telah mati dibunuh atas perintah tertinggi Jepun. Kesemua mereka dibunuh dalam bulan Ogos.

Enam orang Askar Australia berjaya melepaskan diri. Semasa kawad kedua, Owen Campbell dan Richard Braithwaite berjaya melepaskan diri dan lari ke hutan. Mereka telah dibantu oleh orang tempatan dan akhirnya di selamatkan oleh Pihak Berikat.

Semasa bulan Julai, Prebet Nelson Short, Pegawai Warant Satu William Sticpewich, Prebet Keith Botterill dan William Moxham berjaya melarikan diri dari Ranau. Mereka semua juga menerima bantuan dari penduduk tempatan yang memberikan mereka makanan dan menyembunyikan mereka sehingga perang berakhir.

Daripada 6 orang yang terselamat, hanya 3 orang terselamat daripada kesan penyeksaan yang mereka terima di kem tahanan dan mereka menjadi orang penting dalam perbicaraan Kes Kekejaman Perang Jepun yang diadakan di Tokyo dan Rabaul. Mereka menjadi saksi utama dan menceritakan segala kekejaman Askar Jepun untuk tatapan seluruh dunia.

Kapten Hoshijima didapati bersalah dan dikenakan hukuman gantung pada 6 April 1946. Kaptan Takakuwa dan Kapten Watanabe telah didapati bersalah atas kesalahan membunuh dan menyeksa tahanan hingga mati. Mereka masing-masing telah dijatuhkan hukuman gantung dan tembak pada 6 April 1946 dan 16 Mac 1946.

Peta perjalanan Kawad Kematian Sandakan
Tugu peringatan perang telah didirikan di Kundasang, Sabah pada tahun 1962 bagi memperingati mangsa yang terkorban di Ranau dan Sandakan. Tugu peringatan perang juga dibina di negara asal askar yang terkorban bagi memperingati mereka.

Tugu peringatan di Sabah
Tugu peringatan di New South Wales, Australia

Senin, 30 Agustus 2010

Negaraku, Mamula Moon, Terang Bulan, Allah Lanjutkan Usia Sultan dan La Rosalie

Siri entri sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September setiap tahun.

Pernah dengar Negaraku? Kalau tak pernah, aku rasa kau mesti bukan Orang Malaysia, duduk dalam gua atau pun orang pekak.


Negaraku ialah lagu kebangsaan untuk negara kita. Negara kebangsaan biasanya melambangkan keperibadian sesuatu negara. Lagu kebangsaan biasanya menjadi kebanggaan buat rakyatnya. Lagu kebangsaan biasanya akan dimainkan dalam acara sukan sebelum sesuatu perlawanan bermula untuk memberi semangat kepada atlet tersebut.

Negaraku menjadi lagu kebangsaan Malaysia semenjak 31 Ogos 1957, dimana liriknya ditulis oleh beberapa orang penulis pada 25 Ogos 1957.

Seperti yang kita semua pernah dengar atau baca, lagu Negaraku diambil melodinya daripada Lagu Negeri Perak, Allah Lanjutkan Usia Sultan, yang juga diambil dari sebuah lagu yang berasal dari Perancis, La Rosalie, hasil ciptaan Pierre-Jean de Béranger yang kemudiannya popular di Seychelles.


Lagu Negeri Perak ini tercipta semasa Sultan Idris membuat lawatan ke England pada tahun 1888. Tiada lagu tema/iringan untuk menyambut ketibaan Sultan Perak ketika itu. 

Aide-de-camp Sultan Perak ketika itu (kira macam pembantu peribadilah. Munkin bendehara lebih sesuai kot) kepada Sultan Perak, Raja Mansur ibni Sultan Abdullah, tidak berani menyatakan tentang ketiadaan lagu iringan (takut daulatlah ni) terus meng-hummed/humming sebuah lagu yang pernah didengarinya yang datang dari Seychelles, iaitu La Rosalie.

Setelah memberitahu asal usul lagu tersebut, sultan bersetuju untuk mengambil lagu tersebut sebagai lagu rasmi negeri Perak. Lirik lagu tersebut telah ditulis oleh Raja Ngah Manur bin Raja Abdullah.

Kamu mesti pernah dengar satu masa dahulu, Rakyat Indonesia pernah menuduh Malaysia meniru lagu yang berasal dari Indonesia, Terang Bulan, untuk dijadikan lagu kebangsaan Malaysia.

Terang Bulan versi Rudy van Dalm & The Royal Rhythmics


Terang Bulan versi Anneke Gronloh

Sebenarnya Terang Bulan juga merupakan lagu saduran daripada La Rosalie juga. Lagu ini menjadi terkenal apabila sebuah persembahan bangsawan Indonesia di persembahkan di Singapura dengan mendendangkan lagu ini sekitar 1920'an. Rakyat Melayu di sekitar Nusantara telah menamakan lagu ini sebagai Terang Bulan.

Terang Bulan menjadi lagu evergreen bagi bangsa Melayu dan sering dimainkan dimajlis harijadi, party, di cabaret dan menjadi nyanyian dan siulan oleh semua orang pada sekitar 1920'an dan 1930'an. Semenjak Malaysia mengambil melodi lagu La Rosalie untuk dijadikan lagu kebangsaan, Kerajaan Malaysia telah mengharamkan lagu Terang Bulan dari disiarkan di radio dan televisyen.

Dari melodi lagu Terang Bulan ini, Felix Mendelssohn & His Hawaiian Serenaders telah menggubah sebuah lagu yang bertajuk Mamula Moon, yang telah dimuatkan dalam album Paradise Isle pada tahun 1947.


Jadi Rakyat Indonesia sekalian, janganlah anda menuduh kami mencuri lagu Terang Bulan untuk dijadikan lagu Negaraku, tetapi kami mengambil melodi La Rosalie. Sila pelajari sejarah sebelum cuba menuduh secara melulu. Get your fact right.

Begitulah hebatnya lagu La Rosalie ciptaan Pierre-Jean de Béranger. Menjadi lagu kegilaan anak muda sekitar 1920-1930'an. Menjadi lagu kegilaan di Seychelles, Hawaii dan Nusantara. Menjadi lagu rasmi buat satu negeri dan satu negara di kawasan Asia Tenggara.

Tapi cuba kita fikirkan sejenak. Lagu kebangsaan kita merupakan lagu saduran. Lagu kebangsaan yang menjadi kebanggaan kita dan lagu yang menaikkan semangat atlet sebelum satu perlawanan adalah lagu saduran. Kenapa kita tidak mencipta lagu kebangsaan sendiri?

Aku ingat, Ramli MS, salah seorang komposer terkenal, ada menggesa pihak kerajaan untuk mencipta lagu kebangsaan sendiri. Ramli MS ketika itu menulis dalam kolum kelolaannya di Harian Metro memberikan cadangan supaya kerajaan Malaysia mencipta lagu kebangsaan baru memandangkan negara jiran kita sering mempersendakan lagu kebangsaan kita.

Bagi aku, itu satu cadangan yang baik. Sudah sampai masanya Malaysia mencipta lagu yang mempunyai bunyi dan "perasa" yang lebih berjiwa Malaysia. Malaysia mempunyai ramai komposer yang mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam bidang muzik seperti Ramli MS, M. Nasir, Habsah Hassan, Audi Mok... So, aku rasa ada baiknya juga kalau kerajaan Malaysia mengambil serius pandangan Ramli MS. 

Cipta satu lagu yang lebih menonjolkan imej Malaysia dan ciptaan anak tempatan, bukannya lagu yang berasal dari komposer Perancis.