Tampilkan postingan dengan label Agama. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Agama. Tampilkan semua postingan

Rabu, 25 Mei 2011

Tabiat Pembaca Blog

Aku ingat lagi masa aku menulis tentang entri mengenai Hari Valentine. Ada pembaca yang tanya, "Mana dapat sumber ini? Apsal tak letak kredit?"

Begitu juga jika aku menulis entri tentang lagu. Bila aku menulis tentang siapa penulis lirik lagu tersebut atau dari mana si penulis lirik mendapat inspirasi untuk menulis lirik tersebut, pasti ada yang akan bertanya, "Mana dapat sumber ini? Apsal tak letak kredit?"

Ok. Biar aku bagitahu kamu hari ini. Kebiasaanya, aku mendapat sumber penulisan aku dari Wikipedia, Yahoo! Answer dan ask.com.

Wikipedia adalah sumber paling mudah untuk mendapatkan sumber informasi. Taiplah apa sahaja topik yang kamu mahu, pasti ada dalam Wikipedia.

Oleh kerana Wikipedia merupakan sumber yang sering diragukan jika digunakan secara formal, jadi aku tak letakkan kredit Wikipedia di dalam blog aku. Tapi bukannya 100% informasi dari Wikipedia adalah salah. Cuma tidak diketahui siapa yang menulis artikel tersebut di dalam Wikipedia kerana semua orang boleh mengeditnya. Itu yang menyebabkan Wikipedia jatuh hukum meragukan.

Tapi bukannya aku langsung tak letakkan langsung, kadang-kadang aku letakkan juga kalau aku malas mahu terangkan perkara tersebut secara panjang lebar di dalam blog.

Yahoo! Answer dan ask.com pula kadangkala mempunyai informasi tambahan yang biasanya Wikipedia tiada. 

Kadang-kadang, ada juga informasi yang aku ambil dari blog orang lain, tak kira blog dari Malaysia atau luar negara. Tapi biasanya, kalau aku ambil sumber dari blog orang lain, aku akan letak link blog tersebut. Malah, aku biasanya akan meminta izin penulis blog itu dengan meninggalkan komen diblog tersebut.

Atau kadang-kadang sumber yang aku dapat adalah melalui buku-buku yang aku pernah baca. Dan tidak semua buku tersebut kepunyaan aku. Ada yang aku pinjam dari kawan atau aku pernanh pinjam dari perpustakaan. Jadi, buku tersebut tidak berada di tangan aku, maka aku tidak boleh nak catatkan sumber informasi tersebut datang dari muka surat mana atau dari perenggan mana.

Satu lagi sebab kenapa aku tak meletakkan link Wikipedia, Yahoo! Answer atau ask.com ialah kerana aku tak mahu kamu semua asyik nak "bersuap".

Kamu tahu apa maksud "bersuap"? Senang cerita, kalau pensyarah kamu bagi assignment, pensyarah akan suruh kamu semua untuk mencari bahan sendiri bukan? Pansyarah kamu tidak akan bagi segala isi dan bahan bukan?

Sama seperti blog aku. Kalau kamu mahu tahu istilah-istilah atau perkara yang aku tulis dalam blog ini secara lebih mendalam, silalah Google sendiri. Kalau kamu ada talian internet untuk buka blog aku, pasti kamu ada talian internet untuk buka Wikipedia bukan? Jangan ayik nak "besuap" sangatlah ya?

Jadi selepas ini, jika aku tidak meletakkan sebarang link, kamu tahu yang sumner tersebut datang dari Wikipedia, Yahoo! Answer, ask.com atau buku yang aku pernah baca suatu masa dahulu. Kalau aku ambil dari blog orang, barulah aku letakkan link.

Tapi ada beberapa jenis artikel/entri yang kalau ditulis, pembacanya tak pula mintak tanya dari mana dapat sumbernya iaitu artikel/entri yang mempunyai hal kaitan dengan agama Islam, Yahudi dan sewaktu dengannya.

Sebagai contoh, entri tentang Hitler sebenarnya menyokong Islam. Yang kononnya Hitler menyokong Islam dengan membunuh Yahudi, selalu menggunakan ayat Al-Quran dalam ucapannya dan lain-lain.

Tanpa perlu bertanya kepada si penulis blog atau si penyebar artikel ini di Facebook dari mana datangnya sumber ini, kamu terus bersetuju dan terus mengeluarkan kata keramat, "Mohon share!" atau yang bersifat Islamik sikit, "Ana mahu share ini entri lah!"

Sekali lagi aku mahu terapkan, Hitler bukan menyokong Islam. Dia seorang diktator. Diktator akan melakukan apa saja untuk merealisasikan impiannya.

Kalau benar dia menyokong Islam, kenapa dia membenarkan rakan sekutunya Benito Mussolini membunuh etnik Islam di Afrika Utara (Maghribi, Tunisia, Mesir etc.). Menggunakan ayat Al-Quran dalam ucapan tak semestinya dia menyokong Islam. Membunuh orang Yahudi juga belum tentu menunjukkan dia menyokong Islam.

Perlu diingat, dalam tentera Hitler juga terdapat askar yang datang dari etnik Yahudi sebelum berlakunya Holocaust yang meragut semua nyawa orang Yahudi dan juga askar berbangsa Yahudi dalam tentera Hitler. Mana kita tahu, mungkin selepas memusnahkan semua orang Yahudi, Hitler mensasarkan Islam sebagai sasaran seterusnya pula?

Begitu juga dengan entri yang kononnya Pokemon sebenarnya dalam bahasa Yahudi membawa maksud "Saya Yahudi". Aku tanyalah dekat si penulis, mana dapat sumber tersebut. Haram sampai sudah tak bagi jawapan.

Yang kononnya Secret Recipe dibuat dari bahan yang tidak Halal. tak tunggu confirmation, tak tahu dari mana datang sumber, terus publish dekat blog.

Hari ini, Secret Recipe menyatakan meraka mahu menyaman mana-mana blog yang menyebarkan fitnah ini. Hah! Berebut semua delete entri tersebut. Tak tahu mana sumber, terus mahu post entri.

Itu belum masuk kes perkataan "salam" dan "bye-bye".

Kesimpulan yang aku dapat dari tabiat pembaca blog ialah kalau entri yang dibaca tiada kena mengena dengan agama Islam atau Yahudi, kita kena letakkan link sumber maklumat tersebut.

Kalau berkaitan agama Islam, Yahudi dan sewaktu dengannya, tak perlu kerana benda link sebagai sumber kerana orang akan terus percaya seratus peratus informasi tersebut.

Maaf kalau kamu terasa tetapi ini adalah kenyataannya. Orang Melayu senang mahu ditipu kalau menggunakan agama sebagai medium. Entah betul, entah tidak informasi tersebut, terus percaya sahaja.

Itu sebabnya aku malas mahu share info-info begini di blog atau Facebook. Kalau salah, tak pasal-pasal dapat dosa kering. Melainkan penulisan dari orang terkenal seperti Dr. Asri (Dr. MAZA), atau Ustaz Ismail Kamus yang meletakkan hadis atau ayat Al-Quran sebagai sumber, itu baru boleh percaya.

Lepas ini, aku mahu sebarkan yang kononnya Pavillion yang orang biasa panggil Pavy bermaksud "Saya orang Yahudi" (idea dari Twitter Obiefiend) ataupun perkataan Savvy dari Proton Savvy bermaksud "Saya pemandu berbangsa Yahudi". Mesti kamu percaya kan? Mesti kamu tak tanya pasal sumber kan?

Ok. Cukup sampai di sini. Semoga kamu semua lebih bijak menilai dan jangan asyik nak "bersuap" lagi. Adios!

Senin, 28 Februari 2011

Kepercayaan kepada Internet dan E-mel

Antara malaikat, Hitler dan e-mel berantai

Malaikat

Zaman sekarang ini, boleh dikatakan semua orang mesti mempunyai e-mel. Orang yang tidak mempunyai e-mel bagaikan orang yang mempunyai komputer tetapi tidak tahu bagaimana cara mahu mendownload lagu di internet. Ok, ini bukan satu perumpamaan yang terbaik. Lain kali aku cuba cari perumpamaan yang lain.

Ada orang yang mempunyai lebih dari satu e-mel. Aku sendiri ada 4 -emel. Ada yang aku gunakan untuk urusan rasmi. Ada yang aku gunakan untuk laman sosial atau blogging.

Dari e-mel, kita akan dapat pelbagai benda dan berita yang kita tak boleh dapat melalui surat khabar atau mana-mana sumber dari mass media. Antara contohnya ialah Revolusi Tunisia. Sebelum keluar di surat khabar, ia sudah tersebar melalui e-emel. Kalau kamu perasaan, berita tentang Revolusi Tunisia hanya timbul di dada akhbar selepas revolusi tersebut selesai. Revolusi Mesir lain cerita.

Tapi tak semua benda atau berita yang datang dari e-mel boleh kita percaya secara bulat-bulat. Tak semua benda datang dari sumber yang sahih. Contohnya seperti e-mel foward. E-mel foward ialah e-mel yang kita akan foward (hantar) kepada kenalan apabila kita mendapat e-mel yang kelakar, menunjukkan perkara yang luar biasa ataupun bersifat keagamaan (biasanya pengguna e-mel yang beragama Islam).

Lebih kurang 3-4 tahun lepas, pernah tersebar e-mel video tentang malaikat turun ke Kaabah. Video ini kemudiannya tersebar kembali sekitar pertengahan tahun lepas.


E-mel video ini disebarkan secara meluas oleh semua orang yang menerima e-mel ini. Biasalah, kalau e-mel yang berkenaan agama, akan lajulah ia tersebar. Sebenarnya baguslah menyebarkan e-mel yang ada kaitan dengan agama. Dapat pahala. Tapi kadang-kadang, kita perlu baca dan kaji dulu sumber e-mel dan isi kandungan e-mel tersebut.

Aku kurang percaya dengan video ini. Mesti semua orang pernah baca bagaimana keadaan Nabi Muhammad S.A.W. setiap kali kedatangan Malaikat. Rasullullah akan berpeluh, menggigil dan ada yang sampai demam apabila Malaikat turun menyampaikan wahyu kepadanya. 

Itu Rasullullah tu. Tak kan kita manusia biasa boleh tengok malaikat dengan tenang tanpa merasa apa-apa perasaan atau gangguan? Dan yang paling penting, layakkah kita melihat malaikat dengan mata kasar kita?

Lagipun, malaikat adalah benda ghaib. Tak kanlah benda-benda ghaib kita boleh rakam dengan senang dan boleh dipertontonkan dalam Youtube ke serata dunia.

"Tapi Mirul, ada juga di kalangan para sahabat Nabi S.A.W. pernah melihat malaikat seperti ketika Perang Badar. Wali-Wali Allah pun seringkali bertemu dengan malaikat.."

Yes! Namanya pun Wali, mestilah darjat mereka lebih tinggi dari kita yang biasa-biasa. Jadi sudah semestinya mereka menjadi insan terpilih untuk melihat malaikat. 

Begitu juga dengan para sahabat Rasullullah S.A.W. Para sahabat adalah orang terpilih yang menjadi orang kanan dan penting dalam perjuangan Islam. Mereka berjuang dan sanggup berjihad bersama Rasullullah S.A.W. Mestilah mereka mendapat kelebihan dari Allah S.W.T.

Kita ini cuma orang biasa. Berjihad dengan Rasullullah pun tak pernah. Agaknya kalau suruh berjihad pun, belum tentu ada yang rela hati. Dan Youtube adalah untuk tontonan umum. Bukan setakat umat Islam, orang agama lain pun boleh tengok juga. Jadi, di mana logiknya video ini?

Oh ya. Dah ada pun video counter untuk menyangkal video di atas tadi:



Hitler

Tahun lepas kita digegarkan dengan berita Adolf Hitler dan tentera Islamnya. Bermula dari e-mel, kemudian masuk ke dalam blog dan kemudian disebarkan pula melalui Facebook. Artikel tentang Hitler tersebar luas bila kebanyakan warga Facebook "Mohon share..." pada wall masing-masing. Sesiapa yang dah tak ingat tentang artikel Hitler boleh baca refresh memori kamu di sini. 

Selepas membaca artikel ini, kebanyakan orang (baca: Melayu) mula menyanjung Hitler sebagai wira. Ramai yang menulis entri di blog menyanjung Hitler. Letak gambar Hitler dekat blog masing-masing. Ada pula timbul teori kononya Hitler beragama Islam. LOL!

Aku malas nak bercerita panjang. Cukuplah aku katakan satu benda sahaja. Tak semestinya Hitler bunuh Yahudi, benarkan askar Islam sembahyang dan gunakan ayat-ayat Al-Quran dalam ucapan dia, kita kena puji melambung pada dia. 

Hitler adalah seorang diktator dan hanya orang tak betul sahaja yang akan menyokong diktator. Tahu tak kenapa terjadinya Revolusi di Tunisia dan Mesir? Kerana negara mereka diperintah oleh diktator. Begitu juga dengan negara Arab dan Afrika Utara yang lain.

Kalau betul Hitler sayang kepada orang Islam, kenapa dia tidak menghalang sekutunya, Benito Mussolini, yang membunuh orang Islam di Utara Benua Afrika?

Hitler seorang diktator dan diktator akan melakukan apa sahaja untuk mencapai hajatnya. Sebelum Hitler menjalankan Holocaust, ada juga orang Yahudi dalam kumpulan askar Hitler. Manalah tahu, kalau panjang umurnya, mungkin orang Islam yang menjadi mangsa seterusnya. 

Membenarkan askar Islam sembahyang dan menggunakan ayat Al-Quran hanyalah mind game untuk mendapatkan sokongan askar Islam, tak lebih dari itu.


E-mel berantai

E-mel berantai adalah yang ini paling cilakak sekali. Benda ini yang selalu aku dapat. Antara e-mel berantai yang popular ialah:

Sila foward kan e-mel ini kepada rakan-rakan anda. Jika di foward-kan kepada:

100 orang ke atas: Anda akan menjumpai cinta sejati anda tidak lama lagi.
26-100 orang: Anda akan mendapat kebahagiaan sepanjang tahun ini.
11-25 orang: Anda akan bahagia selama seminggu.
0-10 orang: anda tidak akan merasai kebahagian dalam kehidupan dan ditimpa nasib malang.

LOL! Semenjak bila nasib manusia ditentukan oleh e-mel? Ini memang buat aku gelak besar. Lagi kelakar kalau ada e-mel berantai yang bersifat Islamik. Yang paling buat aku facepalm, syarat dekat bawah e-mel berantai siap tulis,

Jika anda fowardkan kepada 100 rakan anda, anda akan mendapat menambahkan tahap keimanan anda dan dilimpahkan rezeki ke atas kamu.

Setahu aku, kalau kita nak menambahkan keimanan, kena selalu amalkan solat sunat, puasa sunat, memperbanyakan membaca Al-Quran, berzikir, berdoa selepas sembahyang dan pelbagai amalan lagi. Senang betul zaman sekarang ini. Fowardkan e-mel sudah boleh tambahkan keimanan dan mendapat rezeki.

==========

Tak semua yang kita baca dalam e-mel dan internet kita boleh percaya 100%. Aku pun tak ajak kamu semua untuk percaya 100% apa yang aku tulis. Aku sendiri pun ada kekurangan. Lagipun, biasanya e-mel foward ini kita tak tahu orang yang mula-mula menyebarkan e-mel tersebut. Kita tidak tahu siapa penulis asla artikel atau e-mel tersebut.

Selepas baca setiap benda di internet, pastikan kamu buat kajian sedikit. Jangan percaya bulat-bulat terus. Hidup ini adalah satu pembelajaran dan pembelajaran tidak terbatas di dalam sekolah dan universiti sahaja. Hari-hari kita akan belajar satu benda yang baru.

Jadi, jangan berhenti belajar. Teruskan membaca dan belajar seumur hidup kamu!

Minggu, 20 Februari 2011

Janganlah Berlagak Sangat Sebab Kau Nak Pergi Konsert Maher Zain


Rasanya umum sudah tahu yang Konsert Maher Zain bakal diadakan pada 25 dan 26 Februari ini di Stadium Malawati Shah Alam. Ini merupakan kali kedua Maher Zain membuat konsert selepas konsert pertamanya pada Oktober 2010.

Harga tiket Konsert Maher Zain kali ini bukan murah-murah anak. Senarai harga tiket konsert kali ini ialah RM 53, RM 103, RM 203, RM 253 dan RM 297. Mahal? Mestilah mahal. Nama pun artis antarabangsa. Artis Malaysia yang buat konsert di Istana Budaya pun mahal juga harga tiketnya.

Jadi, sudah pasti ramai peminat Maher Zain yang sudah pun mendapatkan tiket tersebut. Lagi-lagi yang terlepas konsert pertama beliau tahun lepas.

Kemudian, aku pun ternampak kemunculan status-status di Facebook dan tweet di Twitter yang mengatakan, "Aku dah beli Tiket Konsert Maher Zain!!!" Ada jugak yang bercerita dekat blog yang beliau sudah menempah tiket tersebut secara online. Aku yakin mereka sudah pasti mendapatkan tiket tersebut memandangkan tarikh konsert sudah semakin hampir.

Tapi lama kelamaan, aku nampak ada sesuatu yang kurang enak. Orang-orang yang sudah pun membeli tiket Maher Zain seperti mendabik dada. Seolah-olah merendahkan kawan-kawan yang tak dapat atau tak membeli tiket Maher Zain.

Tiket Maher Zain bukannya murah-murah anak. Paling murah pun RM 53 tapi sudah semestinya tiket paling murah biasanya tiket yang paling cepat habis dan tempat duduk yang paling sikit disediakan.

Tak semua orang mampu nak membeli tiket sampai RM 297. Kalau kau mampu beli, Alhamdulillah. Tapi tak perlulah kau nak down kan orang lain. Tak semua orang mampu nak mengeluarkan jumlah duit sebanyak itu untuk menonton konsert.

Bab mengutuk kawan yang tak pergi konsert satu hal. Ada pula yang lebih extreme. Ada yang siap mengutuk orang yang tak pergi ke Konsert Maher Zain tidak mendapat hidayah. Ayat-ayat sindiran seperti, "Kalau ajak pergi Jom Heboh, laju aje. Kalau ajak pergi ke majlis ilmu, payah betul," banyak berkumandang.

Sebenarnya, aku kurang gemar dengan perkataan "majlis ilmu" tersebut.

Ok. Konsert Maher Zain bukan satu majlis ilmu. Konsert Maher Zain adalah sebuah konsert. Namanya pun konsert, macam mana pula boleh jadi majlis ilmu. Konsert Maher Zain ialah sebuah konsert, sama seperti Konsert Jom Heboh dan Konsert Deftones.

"Tapi, lagu-lagu Maher Zain tu lagu nasyid. Lagu santapan rohani. Tak sama dengan lagu-lagu dekat Konsert Jom Heboh!"

Ok. Aku akui lagu Maher Zain memang berbeza dengan lagu-lagu di Konsert Jom Heboh. Tapi ia tetap sebuah konsert.

Konsert berfungsi sebagai hiburan. Konsert adalah alat untuk menghiburkan manusia. Memanglah Konsert Maher Zain berbeza. Tapi ia masih sebuah konsert yang berbentuk hiburan.

Konsert Jom Heboh adalah konsert hiburan secara duniawi. Manakala Konsert Maher Zain pula adalah hiburan secara Islam.

Islam tak melarang umatnya untuk berhibur asalkan jangan melalaikan. Dalam Islam ada guideline untuk berhibur. Jadi, sebab itulah aku kata Konsert Maher Zain ialah sebuah hiburan. Hiburan yang mengikut cara Islam lah.

Tapi tak bererti pergi ke Konsert Maher Zain itu sama seperti pergi ke majlis ilmu. Majlis ilmu adalah berbeza. Majlis ilmu ialah dimana ada seorang ahli agama 9atau lebih) memberikan ceramah atau pembentangan tentang sesuatu topik dalam Islam. Ceramah yang diberikan mempunyai info dan diterangkan secara jelas. Bila ada para hadirin yang tidak jelas, mereka boleh bertanya kepada para penceramah tersebut.

Kalau kau betul nak pergi ke majlis ilmu, tak payahlah kau keluarkan RM 297. Pergi saja ceramah-ceramah di surau atau masjid yang berdekatan. Mustahillah surau atau masjid di sekitar tempat tinggal kamu tidak membuat ceramah. Selepas Sembahyang Maghrib mesti ada ceramah.

Atau kalau kau tak berkesempatan nak pergi ke surau atau masjid, dekat TV pun ada. Setiap hari Khamis malam Jumaat, TV1 ada menyiarkan Forum Perdana Islam. Ini baru majlis ilmu. Atau sesiapa yang ada Astro, boleh buka Astro Oasis. Kalam Ilmu dan Bahtera Perubahan adalah beberapa rancangan berformat majlis ilmu yang boleh ditonton di saluran tersebut.

Konsert adalah konsert. Konsert tidak bertukar menjadi majlis ilmu. Konsert Maher Zain memang bersifat hiburan Islamik tapi tidak cukup untuk menggelarkan ia sebagai majlis ilmu.

Lagipun, aku yakin bukan semuanya yang pergi ke Konsert Maher Zain untuk hadir ke "majlis ilmu". Ada yang datang ke konsert tersebut sebab:

"Aku nak tengok Maher Zain secara live."
"Aku pergi konsert ni sebab nak tengok Maher Zain yang handsome tu. Muka dia cute la."
"Aku pergi sebab nak dengar lagu dia je. Suara dia mendayu-dayu."
"Aku tak pernah pergi konsert. Nak pergi, mak ayah aku marah. Pergi konsert Maher Zain ni baru la parents aku lepas kan."

Aku yakin mesti ada yang pergi ke konsert menggunakan alasan di atas. Jangan nak menipu dan jangan jadi hipokrit.

Kalau kamu anggap konsert nasyid adalah sejenis majlis ilmu, kenapa kamu tak pergi sahaja konsert Raihan, Rabbani, Hijjaz, In-Team, Miwarna dan lain-lain kumpulan nasyid di Malaysia. Kenapa nak menunggu Konsert Maher Zain baru kamu nak gelarkan sebagai majlis ilmu dan baru mahu pergi?

Aku bukan nak salahkan Maher Zain. Apa yang Maher Zain hidangkan adalah betul. Maher Zain menyediakan sejenis hiburan secara Islamik. Aku puji dengan daya usaha Maher Zain. Aku bukanlah peminat lagu-lagu nasyid, tapi aku akui lagu Maher Zain memang sedap untuk didengari. Maher Zain tak salah apa pun.

Cuma aku agak annoying dengan peminat-peminat Maher Zain yang over reacted. Yang nak down-kan kawan yang tak mampu beli tiket yang mahal. Yang nak down-kan kawan sebab kononnya tidak turut serta ke "majlis ilmu".

Kesimpulannya:

  • Konsert adalah konsert. Konsert tidak bertukar menjadi majlis ilmu. 
  • Konsert Maher Zain memang bersifat hiburan Islamik tapi tidak cukup untuk menggelarkan ia sebagai majlis ilmu.
  • Tak salah kamu nak ke Konsert Maher Zain, tapi jangan kamu suka-suka nak down-kan kawan kau sebab tak mampu beli tiket Maher Zain yang mahal.
  • Jangan jadi hipokrit kalau kau pergi ke Konsert Maher Zain sebab nak tengok ke-handsome-an mukanya tapi kononnya mengaku kau macam pergi "majlis agama."
  • Konsert bukanlah venue untuk manusia jadi lebih baik dari aspek pemahaman agama. Kalau nak menambahkan ilmu di dada, pergi ke surau atau masjid.

Kepada yang telah pun mendapatkan tiket Konsert Maher Zain, selamat berhibur. Jaga akhlak dan jangan ada pulak yang menjerit-jerit dan melompat-lompat macam pergi ke Konsert Jom Heboh.

Kepada yang tak dapat pergi sebab harga tiket mahal, kumpul duit. Tahun depan mesti Maher Zain datang lagi.

Kalau rasa susah juga, buka Youtube dan tengok sajalah Maher Zain dari PC anda.

==========

Aku tak tahu kenapa, tapi aku tak boleh nak suggest fan page blog ini pada kawan-kawan kau di Facebook.

Oleh itu, aku akan meneruskan kempen mempromosi di blog ini sahaja.

Kalau sudi, sila joint fan page blog ini di: Blog Warmness On The Soul & Associates.

Atau kamu boleh like di like box di bahagian sidebar blog di sebelah kanan kamu.

Senin, 11 Oktober 2010

Pelakon kerjanya ialah berlakon

Tiba-tiba ingatan aku melayang dan teringat satu peristiwa yang terjadi 2-3 minggu sebelum bulan Ramadhan tiba. Semasa itu aku sedang melepak-lepak minum petang bersama kawan-kawan aku di sebuah warong. Kata orang Johor, mengeteh.

Terdapat sebuah TV di warong tersebut yang sedang menayangkan satu drama Melayu yang aku tak tahu tajuknya. Yang pasti, heroin drama tersebut ialah Ayu Raudhah. Ayu Raudhah memegang watak-watak perempuan yang solehah sebab dia pakai tudung dalam drama tersebut.

Tiba-tiba aku terdengar satu suara dari meja sebelah yang mengulas pasal Ayu Raudhah.

"Kalau aku jadi menteri, aku dah gam Ayu Raudhah ni. Dia ni berlakon je pakai tudung. Kalau kat luar, dia ni seksi habis. Dia ni memalukan orang Islam dengan perempuan bertudung."

Aku ingat lagi kes yang sama pernah jadi pada Tiz Zaqyah. Tiz Zaqyah memegang watak Nur Amina dalam drama Nur Kasih, wanita solehah bertudung dan baik hati. Ramailah yang memuji Nur Amina sebagai seorang perempuan Melayu terakhir dan menjadi pilihan mak cik-mak cik jadi bakal menantu.

♪♫ Nur Kasih.... Nur Kasih..♫♪
(Sila nyanyi ikut style Yassin)
Apabila gambar Tiz Zaqyah sedang bersosial, semua mula mengeji Tiz Zaqyah. Mereka mengatakan yang Tiz Zaqyah seorang hipokrit kerana memegang watak wanita bertudung.

Bakat terpendam Tiz Zaqyah... Menayangkan cleavage
Persoalannya, Tiz Zaqyah dan Ayu Raudhah adalah pelakon. Pelakon kerjanya ialah berlakon. Melakonkan watak yang telah diberikan dan mereka dibayar untuk mereka lakonkan. Watak yang dilakonkan belum tentu menunjukkan keperibadian mereka yang sebenar.

Kalau mereka melakonkan watak perempuan solehah bertudung, belum tentu mereka mempunyai perilaku yang sama di luar set lakonan (aku bukan menuduh Ayu Raudhah dan Tiz Zaqyah ni jahat. Sebagai contoh sahaja. Ini adalah hanya merujuk kepada perbuatan mereka yang tidak bertudung di luar sana. Jangan saman saya pulak).

Begitulah juga sebaliknya. Kalau mereka melakonkan watak pelacur, mereka bukannya pelacur diluar set. Jika Sofea Jane berlakon watak perempuan jalang (Perempuan, Isteri dan...), tapi dia bukan perempuan jalang di luar set. Nabila Huda berlakon watak bohsia (Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam), tapi dia bukannya seorang bohsia di luar set.

Jadi, rasanya tak payahlah kamu mempersoalkan pasal kehidupan mereka di luar set dengan dengan watak yang mereka bawakan dalam drama. Mereka adalah pelakon, kerja mereka ialah berlakon. Diri mereka dengan watak yang mereka lakonkan adalah jauh berbeza biasanya.

Dan memang dah jadi kebiasaan, bila ada seorang pelakon perempuan yang melakonkan watak wanita bertudung solehah, mesti ada wartawan hiburan akan menyoal, "Bila rasa-rasanya nak bertudung?" atau "Adakah anda akan mengekalkan imej bertudung diluar set?" (biasanya wartawan Melodi) walaupun kadang-kadang yang menyoal pelakon tu ialah seorang perempuan yang juga tak bertudung. LOL! Pakai tudung dulu, baru suruh orang lain pakai tudung la, cik adik.

Ada juga sesetengah peminat yang menggesa pelakon-pelakon ini terus mengekalkan imej bertudung dalam drama. Biasanya, dalam ruanga surat khabar bahagian hiburan banyak keluar benda ni. Secara jujurnya, kalau mereka pakai tudung, agak-agak boleh tak mereka dapat tawaran berlakon lagi?

"Tapi Mirul, sekarang ni dah ada drama Melayu yang bergenre keislaman. Contohnya macam Epilog Syurga Cinta. Kan heroin cerita tu pakai tudung?"

Memang ada drama dan filem bergenre Keislaman, tapi tak banyak drama dan filem yang ada elemen-elemen macam tu. dan yang paling penting, berapa kerat sangat orang yang tengok drama bergenrekan KeIslaman ni? Yang ada Astro tu, berapa kerat sangat yang tengok channel Astro Oasis? Berapa ramai yang tengok drama-drama Astro Oasis?

Aku boleh jamin, tak ramai budak-budak remaja yang tengok drama channel Oasis tu. Aku sendiri pun jarang. Aku cuma pernah tengok drama bersiri Cinta Sempurna, Cinta Tikar Sejadah, Geng Surau dan beberapa cerita lagi. Drama lain aku tak layan. Penawar Shifa pun best jugak tapi tu bukan drama.

Contoh paling mudah, berapa banyak yang tengok Akademi Fantasia, Mentor, One In The Million dan Show Down 2010 kalau nak dibandingkan dengan orang yang tengok Imam Muda atau Akademi Al-Quran? Macam tu jugak penilaian untuk seseorang tengok drama bergenre Keislaman kalau dibandingkan dengan orang yang tengok drama romantik peluk sana-peluk sini. Jangan jadi hipokrit la tak nak mengaku pulak kan?

"Tapi Mirul, bertudung tu wajib untuk semua umat Islam perempuan. Wajib menutup aurat."

Ya. Aku tahu. Menutup aurat adalah wajib untuk semua umat Islam perempuan. Tapi dah kerja mereka yang menyebabkan mereka sukar nak bertudung. Senang cerita, macam pemain bola sepaklah. Pakai seluar pendek, nampak lutut. Lutut tu kan aurat jugak. Itu antara pelakon-pelakon tu dengan tuhan. Kita sebagai manusia tak layak nak menilai mereka.

Senang cerita, kalau kamu semua betul-betul nak tengok artis kegemaran kamu bertudung, selepas sembahyang kamu doa supaya kamu semua terus kekal bertudung (kalau kamu bertudunglah) dan doa supaya artis kegemaran kamu tu dapat hidayah untuk bertudung.

Mungkin dia takkan dapat hidayah serta merta. Mungkin dia dapat hidayah lepas kahwin, atau mungkin lepas dapat anak, atau mungkin selepas dapat anak kedua, atau mungkin selepas kahwin dengan Dato anak tiga. who knows?

Ingat! Tak semua orang dapat hidayah dari untuk bertudung daripada kecik. Ada orang yang hidayahnya datang lambat sikit. Tak semua orang dilahirkan dengan sifat yang sempurna. Jangan cepat sangat nak menilai orang dengan cepat.

Dan kalau kamu bertudung, janganlah kamu pandang hina pada perempuan yang tak bertudung. Macam aku katakan, itu antara pelakon-pelakon tu dengan tuhan. Kita sebagai manusia tak layak nak menilai mereka. Syurga dan neraka adalah milik Allah.

Dan satu lagi. Kalau ada pelakon baru yang kamu tak kenal, pertama kali berlakon dapat watak perempuan bertudung, jangan letakkan harapan yang tinggi sangat yang kononnya pelakon tersebut memang bertudung dalam kehidupan realitinya. nanti harapan kamu punah bila keluar gambar mereka tengah seronok clubbing.

Ingat, pelakon kerjanya ialah berlakon!

Rabu, 25 Agustus 2010

Cross Blogging: Menara Jam Mekah (Menara Abraj Al-Bait)

Sebuah entri Cross Blogging dengan Blog Pandang-Pandang milik Faer.

Kamu pernah dengar tentang Menara Abraj Al-Bait? Kalau kamu tak tahu-menahu pasal menara jam ini, adalah lebih baik kamu baca dulu entri Faer ini ataupun baca di Wikipedia ini dulu sebab aku malas nak menaip balik satu-satu fakta tentang menara ni.


Semenjak pembinaan menara jam ini, banyak pujian yang diberikan kepada Kerajaan Arab Saudi. Menara Abraj Al-Bait menjadi satu monumen kebangaan Seluruh Umat Islam di serata dunia. Tapi aku agak kurang setuju dengan pembinaan menara jam ini.

Yang pertama, untuk membina menara jam ini, bangunan bersejarah iaitu Kubu Pertahanan Ajyad di zaman Khalifah Uthmaniyah telah diruntuhkan. Bagi seorang peminat sejarah seperti aku, adalah memang tidak setuju aku apabila tempat-tempat bersejarah diruntuhkan.

Bagi aku, sejarah dalam Islam amat penting. Dulu, Empayar Islam merupakan antara empayar terkuat dalam sejarah manusia, dan dipenuhi dengan pahlawan dan cendekiawan Islam. Islam merajai dunia satu ketika dulu.

Tapi sekarang tidak lagi. Jadi, monumen bersejarah seperti itu amat penting sebagai peringatan umat Islam supaya mencontohi kejayaan Islam yang lepas. Monumen bersejarah juga memberikan semangat dan dorongan untuk berjaya dan belajar dari kesilapan yang lepas.

Nabi Muhammad S.A.W. ada bersabda; "Adalah tidak patut (naif) jika seorang umat Islam dipatuk ular yang datang dari lubang yang sama", menunjukkan yang sejarah amat penting untuk umat Islam.

"Tapi Mirul, menara jam ni ada hotel 7 bintang. Boleh la nak menempatkan jemaah haji yang makin ramai tiap-tiap tahun."

Aku tahu jumlah umat Islam yang nak menunaikan haji setiap tahun makin bertambah sehinggakan penempatan yang sedia ada tidak mencukupi. 

Tapi cuba fikirkan balik, hotel 7 bintang? Come on lah. Hotel-hotel 7 bintang macam ni dibuat bukan untuk memuatkan jemaah haji, tapi cuma untuk keselesaan orang-orang arab kaya dan juga pemimpin negara-negara arab sahaja.

Harga sebilik hotel 7 bintang untuk satu malam lebih kurang USD$ 35,000 atau RM 110, 180 (1 USD = 3.14800 MYR) untuk satu malam. Mampu ke ayah dan mak aku yang meniaga roti canai dari tahun 1980 nak sewa hotel 7 bintang macam tu?

Jadi sudah ternyata pembinaan hotel mewah tersebut hanya semata-mata untuk kemudahan orang-orang arab kaya dan juga pemimpin negara-negara arab yang kaya raya sahaja (sudah tentu bukan untuk pelancong bukan Islam kerana mereka tidak dibenarkan menjejakkan kaki di Mekkah).

Antara tujuan utama Haji ialah untuk kita merasai kesusahan yang ditempuhi oleh umat Islam yang terdahulu, yang tingggal dalam keadaan susah di padang pasir, merasai kepayahan Siti Hajar yang berlari-lari dibawah sinaran menteri yang perit untuk mencari air untuk puteranya, Nabi Ismail a.s., bukannya bersenang lenang tidur dalam bilik mewah yang serba mahal.

Lagipun, tujuan kita menunaikan haji ialah untuk mengumpulkan kesemua Umat Islam diseluruh dunia tanpa mengira pangkat atau harta. Berkumpul dan berkenalan antara satu sama lain. Dengan kewujudan hotel ini, serba sedikit akan menimbulkan perbezaan antara darjat dan kasta sesama Islam semasa menunaikan haji.

Umat Islam yang kaya-raya akan berkumpul sesama mereka di dalam bilik mewah hotel 7 bintang tanpa bercampur gaul dengan orang kebanyakan yang biasanya tinggal berkongsi dalam bilik seramai 6-8 orang. Seolah-olah cuba mewujudkan jurang antara tiap orang Islam pulak.

"Tapi Mirul, menara jam ni melambangkan kekayaan dan kemajuan Negara Islam. Baru la negara lain nampak yang negara Islam pun kaya."

Nak menunjukkan kekayaan? Bukankah Islam sentiasa mengingatkan umatnya supaya mengamalkan keserdehanaan dalam hidup? Jadi, kenapa negara Islam perlu bermegah dengan kekayaan yang ada? Perlu ke buat bulan sabit yang ada pada atas menara tersebut dengan emas tulen? Apa makna kau buat bulan sabit tu guna emas tulen? Nak menunjuk-nunjuk?

Emas tulen ni
Nak menunjukkan kemajuan? Adakah untuk menunjukkan kemajuan, sesuatu negara tu perlu membuat bangunan tertinggi, jambatan terpanjang, jam terbesar dan sebagainya? Negara itu boleh menunjukkan kemajuannya dengan menaikkan taraf hidup rakyat, memberi kuasa membeli yang tinggi untuk rakyat, mengurangkan tahap pengangguran dan mengurangkan peratusan rakyat miskin dalam negara, bukannya membina menara jam.

Aku ingat, orang Islam dekat Malaysia sahaja yang selalu teruja dengan perkataan bangunan tertinggi, jambatan terpanjang atau angkasawan pertama yang makan rendang daging, beriani ayam dan kuih bangkit di Stesen Angkasa Antarabangsa - ISS (opps!). Rupanya orang Arab pun dah terjebak. Come on you Arabs, you're better than this.

Lagipun, pembinaan menara jam yang besar gadang ini sedikit sebanyak telah membayangi Masjidil Haram dah Kaabah yang menjadi simbol Mekah selama ini. Sekarang, kalau sebut Mekah, kepala kita automatik akan terbayang Kaabah. Tapi pada masa depan, bila sebut Mekah, apa yang terpacul dalam kepala kita ialah menara jam yang tinggi melangit.

Masjidil Haram adalah tempat suci buat Umat Islam di senatero dunia, kenapa kita perlu bayangi Kaabah dengan bangunan yang tinggi melangit disebelahnya? Sepatutnya sebagai Tanah Suci buat Umat Islam, kita sepatutnya memberi keutamaan kepada Masjidil Haram dan Kaabah menjadi simbol tanah suci umat Islam,  bukannya menara jam tersebut.

Kita ambil agama Kristian sebagai contoh. Tempat suci penganut Roman Catholic ialah di Vatican City dimana Pope mereka tinggal. Vatican City terletak di dalam negara Itali. Itali telah memberikan keutamaan kepada tempat suci orang Kristian dengan memberikan kedaulatan dan kebenaran untuk Vatican City membentuk negara sendiri.

Vatican City
Kerajaan Itali tidak mahu menyentuh atau membayangi tempat suci agama mereka. Malah mengangkat tempat suci mereka ke tahap yang lebih tinggi dengan memberikan hak untuk menubuhkan wilayah sendiri.

Tetapi di Arab Saudi, tempat kelahiran Nabi Muhammad S.A.W., orang arab berlumba-lumba untuk membuat menara setinggi boleh untuk membayangi Masjidil Haram dan Kaabah supaya menara jam tersebut menjadi simbol utama di Kota Mekah.

Ok, point aku yang terakhir. Bukan ke pembinaan bangunan pencakar langit tidak digalakkan dalam Islam? Bukankah bangunan pencakar langit merupakan salah satu tanda hari kiamat? Kalau macam tu, kenapa nak buat bangunan tinggi-tinggi ni?

Itu sahajalah pendapat aku. Mungkin apa yang aku tulis salah, maklumlah aku bukannya orang yang kuat agama ataupun bukan pakar membina bangunan tertinggi dunia. Tapi bagi aku, aku seperti kurang setuju dengan pembinaan menara jam ini. Apa pendapat kamu? 

Selasa, 25 Mei 2010

Aku, mereka dan tabligh

Tengah aku lepak-lepak kat luar rumah sambil memerhatikan kucing, tiba-tiba aku ternampak sekumpulan manusia sedang berjalan-jalan. Mereka semuanya lelaki yang berpakaian jubah dan serban serta mempunyai janggut yang panjang. Mereka dipanggil tabligh.

Aku pun cepat-cepat lari masuk rumah. Tak senonoh betul perangai aku. Lari bila nampak tabligh. Perangai ini aku belajar semasa aku melanjutkan pelajaran di Politeknik Merlimau. Aku tak tahu macam mana kumpulan tabligh boleh dibenarkan masuk ke dalam Politeknik. Mungkin pak guard pun sudah diceramah "baik punya" oleh para tabligh tersebut.

Pada masa itu, ada 2 cara untuk mengelakkan diri dari diceramah oleh para tabligh tersebut. Yang pertama, kunci pintu bilik, tutup lampu dan kipas. Kemudian, bila para tabligh tersebut mengetuk pintu dan memberikan salam, buat diam saja. Jawab salam dalam hati. Tak jawab dosa pula. Selepas mengetuk pintu dan beri salam sebanyak 3 kali dan tidak berjawab, mereka akan pergi. Itu memang kelakuan rasmi untuk para tabligh.

Yang kedua, teknik ini biasanya digunakan oleh pelajar yang duduk di tingkat atas asrama. Apabila nampak kumpulan tabligh naik ke tingkat atas menggunakan tangga sebelah barat, maka mereka semua dengan pantas turun ke tingkat bawah menggunakan tangga di sebelah timur. Dan perkara ini berterusan selama 3 semester sebelum akhirnya kami semua duduk di rumah sewa.

Aku mula mengenali golongan tabligh semasa aku bersekolah menengah lagi. Masa tu, aku dan beberapa orang kawan telah diserbu oleh sekumpulan tabligh semasa aku dan rakan-rakan sedang lepak disebuah gerai di Tasik Y. Maka, termaktublah hari tersebut dalam sejarah hidup aku, aku diceramah oleh ahli tabligh untuk kali pertama dalam hidup aku.

Dan aku terus menerima beberapa sessi ceramah lagi apabila aku sekali lagi terserempak dengan ahli tabligh semasa aku sedang dating bersama Mei di Summit Parade (tapi sekejap sahaja) dan kemudian mereka datang ke rumah aku pula (yang ni lama). Bila sudah besar sikit, baru pandai main lari-lari dengan tabligh. Tapi pernah juga sekali-dua terkantoi.

Tak senonoh betul perangai. Orang nak bagi ceramah agama, aku boleh main lari-lari pula.

Tapi bila difikir-fikirkan, ada beberapa sebab kenapa aku dan kawan-kawan sekalian melarikan diri daripada para tabligh.


Cara Pemakaian Mereka

Kita tahu yang tabligh biasanya sinonim dengan jubah putih, sokong haji dan berserban. Tidak ketinggalan juga janggut sebagai mengikut Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Sekali imbas memang ternampak mereka memang dari golongan yang bijak pandai dalam hal agama.

Tetapi ada sesetangah dari mereka (bukan semua ya!) berpakaian kurang kemas. Jubah putih mereka tidak kelihatan putih. Tetapi nampak kelabu kerana tidak berbasuh ataupun tidak dibasuh dengan betul. Jubah yang berwarna putih tersebut kelihatan seperti berkerak.

Janggut mereka juga menjadi satu subjek utama. Bagi yang sudah senior dalam tabligh, biasanya janggut mereka sangatlah panjang. Seperti yang aku nyatakan tadi, janggut ialah salah satu Sunnah Nabi tetapi janggut itu mestilah kemas.

Ada sesetangah ahli tabligh yang mempunyai janggut yang tidak kemas. Nampak janggut mereka berselirat, panjang dan tidak terurus. Kadang-kadang, mereka tidak mengemaskan janggut mereka bila sesudah makan. Lebih teruk apabila ada nasi yang terlekat pada janggut mereka dan mereka tidak menyedari tentang nasi tersebut.

Aku pernah diceramah oleh seorang ahli tabligh yang mana aku ternampak beberapa biji nasi terlekat pada janggutnya Seriously, aku betul-betul terganggu apabila melihat nasi-nasi tersebut.

Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Kebersihan dari segi rohani dan jasmani. Ahli tabligh perlulah menjaga kebersihan diri mereka supaya orang yang kamu ingin ceramah mahu mendengarnya. Barulah orang lain respect dan mahu mendengar syarahan kamu itu.

Lagipun, apa pula pandangan orang bukan Islam apabila memandang ahli tabligh dalam keadaan tersebut. Pasti terdetik di hati mereka, "Oh, orang Islam yang kuat agama memang macam ni agaknya." Jadi, ahli tabligh kenalah menjaga imej sebagai seorang Islam di mata orang yang beragama lain.


Cara Pendekatan

Kadang-kadang cara pendekatan ahli tabligh kurang disenangi. Biasanya, jika target mereka ialah pelajar IPT, pada akhir ceramah mereka akan mengajak pelajar yang diceramah tersebut untuk menyertai program yang mereka anjurkan setiap hujung minggu.

Biasanya aktiviti tersebut akan melibatkan para jemputan tidur di masjid sepanjang hujung minggu. Aku tak pernah menyertai program tersebut. Tapi aku boleh agak mesti ada aktiviti mendengar ceramah, membuat kerja kebajikan, qiamullail dan lain-lain.

Ada sekali semasa hujung minggu, semasa aku sedang berada di Politeknik, aku didatangi oleh sekumpulah ahli tabligh. Roomate aku tiada, pergi dating agaknya. Aku terperuk di dalam bilik sebab pada hari Isnin, aku ada test dan assignment untuk di submit.

Kemudian, aku telah didatangi oleh sekumpulan ahli tabligh. Aku menjemput mereka masuk. Kebetulan otak pun dah tepu belajar, mungkin boleh unwind bila dengar ceramah mereka. Kata orang, masa tengah belajar elok dengar benda-benda yang baik.

Selepas hampir sejam aku mendengar syarahan mereka, mereka pun mengajak aku untuk menyertai program mereka untuk bermalam di sebuah masjid di Melaka.

Seperti yang aku nyatakan di atas, aku terpaksa menolak.

Tabligh: Jadi apa kata kalau adik ikut dan menyertai kami dalam program bla, bla, bla.. Tidur kat masjid, besok kami hantar adik balik.

Aku: Tak boleh la, bang. Isnin ni saya ada test dengan nak hantar assigment sekali.

Tabligh: Tak pe. Kalau kamu sertai program ni, banyak kebaikan yang kamu boleh dapat.

Aku: Tapi Isnin ni saya ada test dengan....

Tabligh: Itu semua dunia, dik. Akhirat tu keutamaan kita.

Aku terus terkedu dengan ayat brother tabligh ni.

"Itu semua dunia, dik. Akhirat tu keutamaan kita?"

Bukankah dalam Islam kita digalakkan menyeimbangkan antara dunia dan akhirat? Bukankah menuntut ilmu itu juga sesuatu yang dituntut dalam Islam. Bukankan menuntut ilmu itu juga salah satu dalam kategori Fisabilillah? Bagi aku, kenyataan tabligh tersebut memang aku tak boleh terima. Aku terkejut ayat tersebut boleh terkeluar dari seorang ahli tabligh yang mempunyai ilmu yang mendalam tentang Islam.

Dalam Islam ada menyatakan "beribadatlah kamu seperti kamu akan mati keesokkan hari dan bekerjalah kamu seperti kamu akan hidup 1,000 tahun." Tabligh tersebut terus memujuk dan kemudian bertukar menjadi satu paksaan untuk aku mengikuti program tersebut. Aku terus menolak tawaran mereka dan meminta mereka keluar. Tak pasal-pasal mood aku pun terus tak menentu sepanjang hari.

Bagi aku, cara pendekatan tabligh ini kurang tepat. Jika seseorang itu tidak mahu menyertai program tersebut, janglah paksa. Dalam Islam, tiada paksaan. Kalau orang tersebut tidak mahu menyertai program tersebut, cuba datang pada msa lain pula. Mungkin setelah 3-4 kali diceramah, baru orang tersebut baru membuka hatinya untuk turut serta dalam program tersebut.

Para tabligh perlu sedar yang target mereka ialah para pelajar IPT. Pelajar IPT penuh dengan aktiviti, test, kuiz dan assignment. Mereka tidak boleh memaksa dengan paksaan sedemikian. Nasib baik tabligh tersebut approach aku yang ambik course marketing. Kalau dia terjah budak-budak architect yang 24 jam sibuk dengan lukisan plan dan buat model bangunan, nak dengar ceramah pun belum pasti lagi.


Isi Kandungan Ceramah

Kadangkala, isi kandungan ceramah ahli tabligh ini kurang menarik perhatian untuk didengar. Itulah sebabnya para pelajar IPT suka main kejar-kejar dengan ahli tabligh dari mendengar ceramah tersebut.

Tajuk-tajuk ceramah yang biasanya aku dengar ialah "Apa itu Rukun Islam?", "Apa hukum meninggalkan sembahyang", "Apa hukum meninggalkan puasa", "Benda-benda haram dimakan" dan lain-lain lagi.

Memang tidak dapat dibafikan yang tajuk ceramah diatas memang berguna sebab tidak semua umat Islam faham tentang perkara-perkara di atas. Tetapi mereka perlu ingat, target mereka ialah pelajar IPT, bukannya pak cik-pak cik yang datang ke surau. Jadi mereka patut memilih tajuk yang lebih terbuka, menarik dan isu semasa dapat perhatian pelajar-pelajar tersebut.

Contohnya, tajuk mengenai Perbankan Islam. Dulu, pernah terdengar kisah pusat bank di negara Arab tidak mengiktiraf sistem Perbankan Islam Malaysia. Jadi ia boleh menjadi satu topik buat para tabligh bercerita kepada para pelajar tersebut. Sudah pasti pelajar dari course banking, finance dan Islamic Banking berminat untuk mendengarnya. Mungkin topik tersebut boleh dijadikan tajuk assignment mereka nanti.

Tajuk mengenai Hukum Jenayat Islam juga adalah sesuatu yang menarik. Memandangkan di Malaysia tidak menggunakan Hukum Jenayat, mungkin para pelajar ingin mengetahui apa itu Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir.

Piagam Madinah juga boleh dijadikan satu tajuk yang menarik. Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia dan ia menjadi asas bagi pembentukan sesebuah negara yang berbilang kaum. Memandangkan kempen 1Malaysia sedang luas dipromosikan (walaupun kempen tersebut memang jauh panggang dari api dengan Piagam Madinah), aku yakin Piagam Madinah amat berkait rapat dengan kempen tersebut.

Tak semua ahli tabligh berperangai seperti yang aku nyatakan di atas. Tapi bagi yang berperangai seperti apa yang aku tulis di atas, aku harap mereka mengubah perangai tersebut. Maaflah jika ada tabligh yang terbaca dan terasa hati. Just my 2 cents.