Rabu, 03 Februari 2010

PERUBAHAN PERSEPSI ORANG MELAYU DULU & SEKARANG

Lama aku tak update blog ni. Writers block!!! Sudah agak lama aku tak menulis sesuatu yang agak serius dan panjang lebar. Here we go!

Perubahan. Kita tidak dapat lari dari perubahan dalam kehidupan kita. Perubahan boleh berlaku di dalam pelbagai bentuk dalam hidup kita. Perubahan dari segi fizikal, penampilan, gaya berfikir, ideologi, kepercayaan dan lain-lain lagi.

Kadang-kadang kita tahu perubahan yang berlaku pada diri kita. Kadang-kadang kita tidak sedar dengan perubahan tersebut.

Orang di sekitar kita biasanya akan peka dengan perubahan diri kita walaupun kita tidak menyedarinya. Perubahan dari segi fizikal, memang senang untuk dikesan. Perubahan dari segi mental, pemikiran, fahaman, ideologi, persepsi... memang sukar dikesan.

Menyebut tentang persepsi, memang banyak sudah perubahan yang berlaku dari pemikiran yang berlaku dari zaman dulu sehinggalah sekarang.

Oleh kerana aku kini memegang status penganggur yang tercedera, aku hanya duduk di rumah macam budak-budak baik. Jadi aku banyak meluangkan bersama ibubapa aku. Aku selalu berbual-bual dengan mereka dan pelbagai kisah yang kedua orang tua aku ceritakan.

Akhirnya sampailah bahagian persepsi orang Melayu pada masa dahulu dan sekarang.

"Dulu kalau jadi artis, kira memang hina betul la. Tak boleh sembarangan nak cakap kita minat kat artis tu, nanti orang pandang serong."

Aku setuju dengan kata-kata mak aku itu. Contoh paling mudah, Filem Ibu Mertuaku lakonan P. Ramlee. Bagaimana meluatnya Mak Dara pada Kassim Selamat.

"Kalau kau aku dah tak suka, keturunan kau pun aku tak suka."

"Ahli muzik? Pantang keturunan aku kahwin dengan ahli muzik!"

Itulah antara dialog popular yang sering diajuk oleh kita semua, tetapi mempunyai maksud yang mendalam.

Pada zaman dahulu, memang ada jurang antara artis dan orang biasa. Zaman sekarang, memang tiada masalah kalau peminat-peminat yang nak bermesra dengan artis. Malahan, kalau ada niat dihati nak menjadi artis pun tak menjadi masalah. Berlambak rancangan realiti ada sekarang. Pilih saja mana yang berkenan di hati.

Satu lagi ialah sesuatu nasib malang yang menimpa kaum wanita, tetapi akhirnya kaum wanita yang disalahkan dan menjadi mangsa hinaan. Yang ini agak sensitif sedikit, tetapi inilah kenyataan persepsi orang melayu pada zaman dahulu.

Mangsa rogol. Zaman sekarang, jika ada wanita yang dirogol oleh seorang lelaki yang dah tak boleh mengawal nafsunya, pasti ramai yang akan merasa simpati pada perempuan yang menjadi mangsa rogol tersebut dan lelaki yang menjadi perogol akan menjadi mangsa buruan orang ramai.

Tetapi pada zaman dulu, perempuan yangdirogol tersebut yang akan disalahkan dan dihina.

"Kalau perempuan dah kena rogol, memang cepat-cepat la kena pindah sebelum orang kampung tahu. Kalau tahu, memang orang kampung hina cukup-cukup lepas tu halau dari kampung."

Mula-mula aku ingatkan mak aku cuba melawak. Rupa-rupanya mak aku tidak menipu.

Situasi yang sama juga dialami oleh perempuan yang diintai ketika mandi atau menyalin pakaian. Zaman dulu kalau kawasan kampung, bilik air berada diluar rumah. Biasanya dinding bilik air diperbuat dari zink yang biasa orang gunakan untuk atap rumah.

Bila dah bertahun-tahun, zink akan berlubang-lubang dan dari lubang itulah para lelaki pervert akan mengintai perempuan mandi.

"Kan perempuan tu mangsa intai. Kenapa dia pulak yang kena halau dari kampung?"

"Tanya la orang zaman dulu-dulu," jawab mak aku dengan mudah.

"Satu lagi kalau perempuan dah ada title janda. Memang kena hina aje la. Orang kampung mesti kutuk tak pandai jaga laki la, perempuan curang la, macam-macam lagi."

"Kalau dah ada title janda, cepat-cepatlah pindah ke tempat lain. Lepas tu kena sorok title janda tu bila dah pindah kat tempat baru. Nanti orang hina pulak," tambah mak aku lagi.

Pelik aku. Kenapa persepsi orang Melayu dulu sangat pelik. Perempuan yang jadi mangsa pula yang dihina. Tapi zaman sekarang memang berbeza sebab zaman sekarang, janda memang laku. Mahal harga janda sekarang. Berebut-rebut lelaki hendakkan janda. Contoh paling mudah, Rozita Che Wan. Janda hot Malaysia tu.

Dan secara tiba-tiba mak aku menyentuh tentang perkahwinan campur (mix marriage). Dengan kata lain, perkahwinan antara orang bangsa Melayu dengan bukan Melayu.

Menurut mak aku, perkahwinan campur adalah sesuatu yang amat hina di mata orang Melayu ketika itu. Istilah "macam dah tak de Melayu lagi ke nak buat kahwin", akan kedengaran jika ada dikalangan orang Melayu yang berkahwin campur.

Pelik. Bukankah dalam Islam ada menyatakan yang kita sepatutnya kenal-mengenal antara bangsa-bangsa lain. Malah menggalakkan perkahwinan antara bangsa yang berlainan. Malah, kajian sains juga menyatakan anak yang dilahirkan melalui perkahwinan campur melahirkan anak yang lebih pintar dan generasi yang lebih baik.

Macam pokok durian. Kamu mungkin pernah dengarkan istilah "kahwin durian". Menyantukan dua jenis pokok benih durian dari dua jenis yang berlainan untuk menghasilkan buah durian yang lebih baik. Jadi, teori ini sama sahaja kepada manusia.

Ok. Balik ke tajuk asal. Mungkin pandangan serong tentang perkahwinan campur kerana sifat racism yang amat tebal ketika itu. Ok. Zaman sekarang pun masih ramai yang rasicm. Itu masih satu kenyataan. Rasicm bagaikan racun di dalam semua Rakyat Malaysia. tapi Alhamdulillah, sekarang sikap ini sudah berkurangan.

Menyentuh perkahwinan campur, ahli keluarga aku ada yang mengamalkan perkahwinan campur. Arwah nenek saudara aku sendiri berkahwin campur. Aku memanggil nenek saudara aku dengan panggilan Nek Lang. Nek Lang sudah kembali ke rahmatullah pada bulan Disember tahun lepas. 2 Minggu selepas aku menjalani pembedahan pembetulan Hernia aku.

Nek Lang berkahwin dengan seorang lelaki berbangsa India. Lelaki India tersebut merupakan seorang pemain bola sepak yang mewakili pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia (pada ketika itu dipanggil Malaya). Kalau aku sebut namanya, mungkin ayah atau datuk kamu mengenali Tok Lang aku ni.

Menurut mak aku, arwah Nek Lang bertemu dengan Tok Lang di hospital. Tok Lang aku dikejarkan ke hospital kerana kecederaan. Kebetulan Nek Lang aku merupakan seorang jururawat, maka di sana mereka bertemu jodoh.

Perkahwinan mereka dikurniakan dengan 2 orang anak lelaki. Sepanjang perkahwinan mereka, mereka selalu dihina oleh orang kampung. Selalu kena maki, jadi bahan umpat, kena baling dan macam-macam lagi.

Oleh sebab tak tahan dengan keadaan sekeliling, Tok Lang aku pun bercerai dengan Nek Lang aku dan lari dari kampung tersebut. Tok Lang aku melarikan diri dengan anak kedua mereka. Keluarga Nek Lang aku runtuh hanya kerana tohmahan orang sekeliling.

Selepas beberapa puluh tahun, anak sulung (Daddy Long) dan anak kedua (Pak Ipin) bertemu semula setelah Pak Ipin melanggar kereta Daddy Long. Kuasa tuhan telah menemukan mereka sekeluarga semula. Tok Lang sudah pun menjadi imam di sebuah surau/masjid di kawasan Kuala Lumpur.

Persepsi orang Melayu pada masa dahulu telah memusnahkan keluarga Nek Lang dan Tok Lang aku.

Itu dulu. Sekarang, sepupu mak aku, Pak Eddy, berkahwin dengan seorang perempuan berbangsa Cina. Alhamdulillah, mereka diterima oleh orang sekeliling dan hidup dengan aman. Mereka sudah pun dikurniakan dengan sepasang anak kembar tak seiras. Seorang lelaki dan seorang perempuan.

Tapi, budaya pandang serong pada kahwin campur ni masih ada dalam orang Melayu. Bukan setakat generasi tua sahaja, tapi yang sebaya dengan aku pun ada yang berpandangan sebegini. Ingatkan generasi baru lebih bijak berfikir, tapi tidak rupanya.

"Apahal la kawin dengan cina? Nanti jadi kapir la tu. Mau dengan anak-anak sekali jadi kapir."

Geleng kepala aku dengar kata-kata kawan aku. Tak pernah pulak aku jumpa ayat dalam Al-Quran tulis Islam diturunkan untuk orang Melayu. Bukankah Islam diturunkan untuk semua umat manusia tidak kira apa bangsanya? Islam boleh dianuti oleh sesiapa sahaja tidak kira apa bangsanya.

Lagipun, jiran aku ni imam, kahwin dengan melayu. Tapi anak-anak punya perangai tidaklah Islam sangat pun.

Tapi sebenarnya, sifat anti kahwin campur ini masih dipegang oleh ramai orang Melayu. Kenapa? Kerana sifat anti kahwin campur ini lebih kepada sifat racism. Itu saja sebab utamanya. Rasanya kamu juga faham kan?

Aku malas nak mengupas tentang racism kerana racism adalah satu tajuk yang lebih panjang. Lain kali kalau aku rajin, aku buatlah. Kalau Rajin, ya?

Kesimpulannya, sedikit sebanyak orang Melayu kini mula membuka persepsi mereka kepada jalan yang lebih positif. Walaupun masih ada yang berfikiran negatif seperti di atas (Ya! Aku pernah jumpa golongan macam ni di zaman sekarang), tetapi tidaklah sebanyak zaman dahulu.

Semoga kita lebih luaskan minda untuk menerima sesuatu yang lebih baik. Jangan terus berada ditakuk yang lama. Terima benda yang baik dan buang benda yang buruk.

Sekian.

Aku dah update blog Tears Don't Fall dan Lepas Laku.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar