Tampilkan postingan dengan label Toys. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Toys. Tampilkan semua postingan

Senin, 25 Oktober 2010

Aku dan permainan yang pernah aku miliki: Tamiya Mini 4WD

Dalam entri sebelum ini, aku pernah bercerita pasal mainan aku, M.A.S.K. dan Lego. Tapi kedua-dua mainan tersebut telah pun pupus dari hidup aku. Kali ini, aku nak bercerita tentang mainan yang masih ada dalam simpanan aku, Tamiya Mini 4WD.


Aku rasa sesiapa yang sebaya atau yang hampir sebaya dengan aku mesti pernah main benda Tamiya ni. Tamiya Mini 4WD atau lebih dikenali dengan panggilan Tamiya pernah popular dikalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia sekitar tahun 1994 hingga awal 1999.

Tamiya merupakan sebuah syarikat dari Jepun yang selalu mengeluarkan plastic scaled model radio controlled car, plastic model kits, battery- and solar-powered models, sailboat models, acrylic and enamel model paints dan bermacam benda lagi. Tapi yang paling popular mestilah Mini 4WD.

Tamiya Mini 4WD ialah model kereta berenjin yang diperbuat dari plastik dan tidak dikawal menggunakan remote control, tapi menggunakan bateri. Mini 4WD tiba-tiba menjadi kegilaan kanak-kanak dan remaja Malaysia kerana populariti animasi Jepun yang ketika itu disiarkan pada setiap Hari Isnin pukul 4 petang, Dash! Yonkuro. Semua orang terus terpengaruh dan gila Tamiya, termasuklah aku.

Kalau hidup zaman 90'an tak pernah tengok kartun ni, memang tak bermaknalah hidup korang.

Ada bermacam jenis Mini 4WD ni. Ada jenis Mini Pro 4WD, Super Mini 4WD, Aero Mini 4WD, Mighty Mini 4WD, Mechanical Mini 4WD, Fully Cowled 4WD, Mechanical Mini 4WD dan Mini 4WD Limited edition.

Itu baru jenis kereta. Belum masuk jenis body dan enjin pula. Jenis body pula terdiri daripada Type-1 Chassis, Type-2 Chassis, Type-3 Chassis, Type-4 Chassis, Type-5 Chassis, Zero Chassis, FM (Front Motor) Chassis, Super-1 B Chassis, Super-1 S Chassis, TZ Chassis, Super FM Chassis, Super TZ-X Chassis, Super X Chassis VS Chassis dan MS Chassis. Dulu aku boleh hafal semua jenis body, sekarang aku kena cari research baru boleh ingat.

Aku masih teringat aku selalu menghabiskan masa dengan kawan-kawan aku, Fauzi dan Hatta, dengan bermain Mini 4WD. 

Sekarang aku nak tunjukkan sikit koleksi Mini 4WD aku yang tak seberapa. Mini 4WD aku agak berhabuk dan kekuningan sebab sudah terlampau lama terperuk dalam almari.

Dash 1 Emperor (MS Chassis)



Dash 1 Emperor, Mini 4WD aku yang pertama. Dalam animasi Dash! Yonkuro, kereta ini digunakan oleh watak hero, Yonkuro Hinomaru. Orang macam aku memang layaklah pakai kereta hero kan? Hahaha!

Dalam semua koleksi aku, Emperor merupakam kereta terlaju. Kalau masuk highway, memang boleh kena saman ekor. Aku tak banyak buat modifikasi pada Emperor kecuali mengubah enjin dan menampal beberapa sticker kecil.

Pada mula, aku tukar enjin Emperor kepada enjin Hyper Dash 2, enjin berwarna hitam-merah berharga RM18.00. Masa tu, itu dah dikira mahal. Dengan enjin ini, aku masuk satu pertandingan Mini 4WD di The Summit, Batu Pahat dengan Hatta. Fauzi ada follow sekali. Aku dan Hatta sama-sama tersingkir pada pusingan kelayakan.


Selepas kekecewaan tersebut (kecewalah sangat), aku beli enjin Super Dash! Yonkuro, berharga RM 30.00. Dengan enjin ini, aku masuk 2 kali pertandingan di Summit. Tapi kedua-duanya tewas pada separuh akhir. Aku juga menggunakan tayar span yang lebih ringan untuk menggantikan tayar getah.

Oleh sebab Emperor yang paling laju, aku selalu gunakan Emperor kalau nak berentap dengan kawan-kawan. Akibatnya, Emperor mengalami kecacatan kekal dengan body mula pecah-pecah dan sumbing-sumbing sedikit.

Dash 001 Great Emperor (Zero Chassis)



Dash 001 Great Emperor merupakan kereta Mini 4WD kedua aku. Juga digunakan oleh Yonkuro Hinomaru di dalam komik. Walaupun dalam animasi, Yonkuro menggunakan Super Emperor selepas Emperor musnah, tapi aku tak berminat kerana design Super Emperor tak berapa menarik.

Body jenis Zero Chassis biasanya tiada bumper tepi, jadi aku pasangkan bumper belakang supaya lebih stabil. Aku letakkan enjin Hyper Dash 2 yang diwarisi dari Emperor. Aku juga gunakan tayar span pada Great Emperor.

Dash 3 Shooting Star (MS Chassis)



Dash 3 Shooting Star adalah kereta Mini 4WD yang ke-3. Dalam animasi, model ini digunakan oleh Shinkuro Minami. Pada asalnya aku tak berminat sangat dengan Shooting Star. Tapi bila ramai kawan-kawan yang pakai model ni, terus aku pun sama tepengaruh.

Keistimewaan model ini ialah pada tayarnya yang bergigi, sesuai untuk jalan yang tak sekata. Tapi biasanya aku gantikan tayar Shooting Star dengan tayar getah biasa sebab tayar bergigi memang tak sesuai untuk jalan atas trek.

Broken Gigant (FM Chassis)



Broken Gigant ialah satu-satunya Model FM Chassis yang aku ada. Enjin model ini terletak dibahagian depan kereta. Sebenarnya, model ni kepunyaan Hatta sebelum dia jual pada aku sebab dia kurang berminat dengan model tersebut. Lagipun, masa tu Hatta baru sahaja membeli Tamiya model kereta kebal. 

Aku tambahkan bumper belakang pada model ini memandangkan model ini tiada bumper tepi. Aku pasang bumper besi warna hijau. 

Dash 0 Horizon (Zero Chassis)


Dash 0 Horizon yang aku ada ni bukan keluaran Tamiya, tapi Auldey. Auldey adalah pirate version of Tamiya, keluaran daripada China. Senang cerita, macam jersi bola sepak cap siam lah. Bila keluaran China, mestilah harganya lebih murah. Dan kualitinya juga mestilah kurang daripada keluaran Tamiya.

Sebenarnya, aku jumpa body Horizon bawah meja sekolah agama aku dulu. Kemudian, aku spray dengan warna kelabu dan cantumkan dengan body kereta lain.

Geo Emperor (Type-5 Chassis)


Geo Emperor juga aku beli jenis Auldey sahaja. Tapi, kalau cuba cari Geo Emperor keluaran Tamiya, memang tak jumpa. Yang ada semuanya keluaran Auldey. Kira model yang agak rare jugak lah.

Tapi ini semua cerita zaman dulu. Zaman muda-muda. Zaman Tamiya berakhir pada awal 1999. Mungkin sebab siri animasi Dash! Yonkuro yang tidak lagi disiarkan di TV3. Tahun 1999, semua budak pakat main yo yo. Sekarang budak-budak lebih berminat untuk bershuffle. Sayangnya, aktiviti Mini 4Wd yang boleh meningkatkan daya kreativiti anak-anak muda pupus begitu sahaja.

Sekarang, kalau nak cari Mini 4WD kat kedai pun dah tak jumpa. Aku pernah jumpa sekali saja, di Sunway Pyramid. Dulu harga Mini 4WD dalam RM20.00- RM 25.90. Sekarang, dah cecah RM30.00. Sekali lagi aku datang, dah ghaib. Antara ada orang beli ataupun kedai tersebut dah hantar balik pada distributor.

Damn! I miss the good old day. Kalau kamu ada jumpa kedai yang masih jual Mini 4WD, sila beritahu aku.

Oh ya! Dengar cerita, Mini 4WD masih lagi popular di Indonesia. Benarkah?

P/S: This my new blog, Music Jukebox. Aku tulis tentang lagu dan musik tapi secara simple sahaja. Dan bila aku kata musik, ia tidak melibatkan Justin Bieber, Justin Timberlake dan Lady Gaga. Support my new blog!

Selasa, 20 Juli 2010

Aku dan permainan yang pernah aku miliki: M.A.S.K.













Pernah tak kamu menonton kartun animasi M.A.S.K.? Mungkin kamu sudah terlupa. Biar aku refersh memori kamu sedikit



Dah ingat? Aku yakin kamu yang lahir pada era 80-an pernah menonton kartun animasi yang berasal dari Perancis-Amerika-Kanada yang diilhamkan dari toyline keluaran Kenner Products (yang kemudiannya dibeli oleh Hasbro).


M.A.S.K. membawa maksud Mobile Armored Strike Kommand. Kisah animasi ini mengisahkan tentang sebuah pasukan yang bernama M.A.S.K. yang diketuai oleh Matt Trakker menentang musuh mereka yang bernama V.E.N.O.M (Vicious Evil Network Of Mayhem) yang diketuai oleh Miles Mayhem.


Mereka bertempur menggunakan kenderaan mereka yang menyerupai kenderaan biasa. Tetapi apabila waktu bertempur, kenderaan mereka boleh berubah menjadi kenderaan yang penuh dengan senjata (kamu akan faham dengan lebih teliti bila melihat gambar-gambar di bawah nanti). Mereka juga akan memakai helmet yang mempunyai kuasa yang mereka gelarkan masks apabila bertempur dengan pihak musuh. 


Setiap masks mempunyai nama dan kuasa yang berlainan. Ada masks yang boleh menembak laser, ada masks yang membolehkan si pemakai terbang, ada masks yang membolehkan mewujudkan imej holograms dan lain-lain.


Kartun animasi ini disiarkan pada sekitar tahun 1989 sehinggalah 1994 di RTM. Sebenarnya, kartun ini hanya diterbitkan sebanyak 75 episod sahaja tetapi diulang tayang beberapa kali di RTM sehingga menjadikan waktu siaran mencecah 4 tahun.


Pada masa dahulu, aku memiliki beberapa siri permainan jenama M.A.S.K. ini. Aku sangat meminati kartun dan alat permainan M.A.S.K. Permainan jenama M.A.S.K. memang agak mahal, jadi biasanya mak dan ayah aku akan membelikan permainan M.A.S.K. yang sedikit murah iaitu mainan yang hanya menampilkan satu unit kenderaan kecil berserta seorang pemandu.


Aku faham keadaan ekonomi ibubapa aku. Sebagai perniaga warong roti canai, memang sukar untuk ibubapa aku membelikan permainan yang mahal tetapi aku gembira dengan apa yang ibubapa aku belikan. Walaupun apa sekalipun, ibubapa aku tidak pernah menghampakan aku. Ada juga beberapa kali ibubapa aku membelikan permainan M.A.S.K. yang berharga mahal.


Selain itu, mak cik aku yang aku panggil Acik juga selalu membelikan permainan M.A.S.K. kepada aku. Mak cik aku ada membelikan beberapa model permainan M.A.S.K. yang mahal.


Mari aku tunjukkan apa model permainan M.A.S.K. yang pernah aku miliki.


(Gambar dibawah bukan model permainan M.A.S.K. milik aku tetapi gambar-gambar tersebut aku ambil dari website lain. Model permainan M.A.S.K. aku kebanyakannya sudah rosak, jahanam, sudah di buang kerana aku tidak menjaganya dengan baik. Klik pada gambar untuk melihat gambar dalam saiz yang lebih besar)


RHINO




Rhino merupakan antara model mainan M.A.S.K. yang paling besar (paling mahal). Kalau tak salah aku, Acik yang belikan untuk aku. Rhino adalah mainan dalam siri 1st series.


Yang best bila beli Rhino, dapat 3 orang sekali


Rhino merupakan lori milik M.A.S.K., dipandu oleh Matt Trakker (memakai masks bernama Ultra-Flash), Bruce Sato (Lifter) dan Alex Sector (Jack Rabbit).


Matt Trekker bersama masks-nya, Ultra-Flash


Menunjukkan rupa sebenar Rhino dan juga apabila Rhino bertukar menjadi kenderaan untuk menyerang:


Lori biasa

Bertukar menjadi lori untuk berperang. Belakang lori boleh dicabut dan dijadikan kenderaan kecil


CONDOR




Condor merupakan model mainan M.A.S.K. yang dibelikan oleh ayah aku. Condor merupakan motor yang boleh berubah menjadi helikopter. Condor merupakan mainan dalam 1st Series.




Condor merupakan motor yang dibawa oleh Brad Turner, memakai masks bernama Hocus-Pocus.


Condor dalam bentuk motor


Condor apabila bertukar menjadi helikopter versi motor


BULLET/BANDIT




Bullet juga adalah model yang dibelikan oleh ayah aku. Aku mula-mula langsung tak tahu tentang Bullet sebab masa ayah aku beli model Bullet ni, Bullet belum pernah keluar lagi dalam siri animasi tersebut. Selepas beli, baru Bullet keluar. Rasa macam bangga masa tu sebab aku ada model yang belum orang tengok lagi. Boleh belagak dengan kawan-kawan. Bullet juga dikenali sebagai Bandit.




Bullet adalah sebuah motor yang boleh berubah menjadi hovercraft. Bullet dipandu oleh Ali Bombay, yang memakai masks yang bernama Vortex. Bullet merupakan mainan dalam siri Racing Series.


Bullet dalam bentuk motor


Bullet dalam bentuk hovercraft motor


AFTERBURNER




Afterburner adalah model yang dibelikan oleh Acik. Afterburner merupakan mainan dalam siri Split Seconds. Apa yang menarik tentang siri Split Seconds, model tersebut boleh dipecahkan menjadi dua kenderaan dan ia juga disertakan dengan dua patung mainan. Setiap patung akan disediakan dengan orang klon.




Afterburner dibantu oleh Dusty Hayes dan klonnya dan memakai masks bernama New Backlash.


Dalam bentuk drag car


Dalam bentuk Cannon Launcher dan Stealth Jet


STILETTO


Stiletto adalah model mainan yang dibeli oleh ayah aku. Stiletto adalah Lamborghini yang boleh berubah menjadi helikopter dan kapal terbang. Stiletto juga berada dalam siri Split Seconds. Stiletto merupakan satu-satunya mainan M.A.S.K. yang aku miliki dipandu oleh watak perempuan.




Stiletto dipandu oleh Gloria Barker dan klonnya, dengan memakai masks bernama Collider.


Stiletto dalam bentuk Lamborghini


Stiletto dalam bentuk helikopter dan kapal terbang


Itulah model mainan M.A.S.K. yang aku miliki. Aku pernah juga bermain dengan kawan aku yang bernama Id (aku lupa nama penuh dia). Id ada lebih banyak mainan M.A.S.K. daripada aku. Malah, dia ada model yang lebih hebat dan cool daripada aku.


Aku ada juga survey dekat e-Bay kalau-kalau ada yang jual mainan M.A.S.K. ni. Ada memang ada, tapi harga melambung sampai hampir US Dolar 100. Mungkin bukan rezeki aku untuk beli yang baru tapi aku masih menyimpan niat untuk membeli model M.A.S.K. kembali satu hari nanti.


Picture credit from:
- http://www.albertpenello.com/
- http://www.virtualtoychest.com/
- http://www.wikipedia.org/

Selasa, 13 Juli 2010

Aku dan permainan yang pernah aku miliki: LEGO

Kamu pernah dengar nama Lego?


Aku yakin kamu semua pernah dengar nama Lego. Lego ialah sebuah nama alat mainan yang yang berasaskan dari construction toy dalam product line-nya. Lego dicipta oleh Ole Kirk Chirstiansen yang berasal dari Billund, Denmark. 

Lego model plastik yang ada dipasaran sekarang mula dicipta pada tahun 1949 (syarikat Lego dan model versi lain sudah mula wujud semenjak tahun 1891). Lego berasal dari perkataan Denmark "leg godt" yang membawa maksud "play well".

Lego telah mewujudkan pelbagai siri tema sepanjang kewujudannya. Bentuk Lego akan dibentuk berdasarkan siri tema yang diberikan. Antara tema yang pernah dan masih lagi diteruskan oleh Lego ialah Basic, City, Space, Pirates, Racers, Kingdoms, Atlantis, Technics, Trains, Bionicle, Ninja, Mars Mission dan banyak lagi.

Ada juga juga tema yang duwujudkan berdasarkan filem atau siri animasi popular seperti SpongeBob SquarePants, Avatar: The Last Airbender, Spider-Man, Batman, Harry Porter, Star Wars dan lain-lain lagi.

Kenapa aku tiba-tiba bercerita tentang Lego? Sebenarnya, aku sedang dalam misi membersihkan bilik aku. Proses membersihkan bilik akan melibatkan sessi membongkar benda-benda lama yang berada dalam kotak dan bekas-bekas lain. 

Sedang aku mengodek kotak, aku terjumpa beberapa blok Lego lama yang pernah aku miliki dulu. Sayangnya, blok Lego yang aku jumpa terlalu sikit untuk membentuk satu kenderaan sekali pun.

Semasa aku kecil, aku merupakan seorang "Lego Freak". Aku memang minat dengan Lego tapi Lego adalah jenis alat mainan yang agak mahal. Oleh kerana pada masa dulu, ekonomi keluarga aku tidak sekukuh sekarang, jadi agak sukar untuk ibubapa aku membelikan aku Lego model yang mahal. 

Tapi ibubapa aku tetap membelikan aku Lego walaupun ianya model yang murah. Love you mama and abah. Lagipun, memang gila la aku nak beli model Lego space ship yang harganya mencecah RM100.00 masa tahun 90'an dulu. Apa pedulikan? Murah atau mahal, it's still a Lego and I love it.

Biar aku ceritakan sikit tentang aku dan Lego yang pernah aku miliki. Sila klik pada gambar untuk melihat gambar dalam resolusi yang lebih besar dan jelas.

6812 GRID TREKKOR


Grid Trekkor, Lego dalam siri tema Space dan Balcktron II, merupakan model Lego yang peratama menjadi koleksi aku. Grid Trekkor dibeli oleh ayah aku pada sekitar tahun 1994. Harga Grid Trekkor pada masa tersebut dalam sekitar  RM 9.99 - RM 12.99. Aku tak tahu harga terkini untuk model ini. Aku sendiri tak pasti model ini di jual lagi kerana model ini dihasilkan pada tahun 1991.

Ini instruction yang terkandung sekali bersama dengan Lego.


Mini figure (patung Lego berbentuk orang) yang diberi bersama dengan model Grid Trekker ini antara kegemaran aku sebab mini figure tersebut ada beg senjata (yang diletak pada bahu mini figure tersebut) yang cool. Topi full face yang dipakai oleh mini figure ini boleh diturun dan dinaikkan cerminnya. Boleh dikatakan mini figure yang menjadi favorite aku.


Kadang-kadang, aku improvise sikit. Aku ambik antena warna hijau pada Grid Trekkor dan jadikan pedang untuk mini figure tersebut.

1610 POLICE CAR


Ini model Lego kedua yang aku miliki. Sebenarnya aku tak pasti sama ada model Police Car atau Racing Car. Tapi Naluri aku kuat mengatakan yang ini model yang kedua aku miliki. Dibeli oleh mama ku masa aku keluar dengan dia di The Store Summit Parade.

Police Car termasuk dalam tema Town dan Police. Model yang tak mempunyai mini figure orang macam ini biasanya agak murah. Kalau tak salah aku, dalam lingkungan RM 8.99 ke bawah. Tapi harga pada masa 90'an lah. Kalau di Amerika, harganya cuma US Dolar $2.00. Murah betul. Model ini dikeluarkan pada tahun 1991.



Model yang simple. Aku tak pasti kenapa aku pilih model Police Car tapi aku suka. Memandangkan model ini tak disertakan dengan mini figure, maka mini figure yang ada pada Grid Lokker ada peluang untuk bertukar-tukar kereta. Kononnya, dia seorang polis di darat dan angkasawan di angkasa.

1631 RACE CAR


Model ke-3 atau mungkin ke-2 yang aku miliki. Merupakan model dalam tema Town dan Race. Model rekaan tahun 1990. Juga dibeli oleh mama ku. Mempunyai lingkungan harga yang sama dengan Police car.



Aku memilih model ini selepas aku menonton perlumbaan Formula 1. Dengan kata lain, mini figure bagi Grid Trekkor sudah ada 3 pekerjaan. Angkasawan, polis dan pelumba kereta.

6813 GALACTIC CHIEF




Setelah lama membeli model Lego yang tidak mempunyai mini figure, akhirnya aku berpeluang mendapatkan model yang mempunyai mini figure. Galactic Chief adalah model keluaran tahun 1993 dalam siri tema Space dan Space Police II. Anggaran harga model ini adalah antara RM 9.99 - RM 12.99. Model ini juga dibeli oleh mama ku.


Aku agak suka dengan mini figure ini. Mini figure ini disediakan dengan jet pack. Mini figure ini juga mempunyai baju yang agak fancy berbanding mini figure Grid Trekkor. Mini figure ini juga berpeluang menjadi polis dan perlumba kereta seperti mini figure Grid Trekkor.




Model ini menjadi kegemaran aku. Kenapa? You know, it's all about boy, space, rocket and fire power. Ini merupakan model Lego pertama yang aku miliki mempunyai penembak (lihat pada bahagian belakang kiri dan kanan model ini). Kamu nampak benda putih yang menyerupai pistol di atas tu? Aku biasanya menjadikan ia pistol untuk mini figure tersebut.

6534 BEACH BANDIT


Aku berubah selera. Aku akhirnya mendapatkan model Beach Bandit. Model ini dalam siri tema Town, model keluaran tahun 1992 dan dibeli oleh mama ku. Anggaran harga model ini adalah antara RM 9.99 - RM 15.99.




Sebab utama aku tertarik dengan model Beach Bandit ialah kerana model ini menyediakan papan luncur, sesuatu yang tiada pada model aku yang lain. Selain itu, antara punca utama aku meilih model ini ialah aku mula bercita-cita untuk mengumpul model dari siri Town untuk mewujudkan "Bandar Lego" selepas melihat gambar seorang mat salih yang berjaya mengumpul semua koleksi tema Town dan membentuk sebuah Bandar Lego yang menarik. Malangnya, impian aku hanya tinggal impian.

Bandar Lego yang bertemakan Beach yang aku impikan tetapi gagal aku kotakan

Apa yang tinggal dalam koleksi aku hanyalah papan luncur Beach Bandit sahaja

6832 SUPER NOVA II




Model terakhir yang aku beli sepanjang hidup aku. Juga model Lego paling mahal. Dibeli oleh abah aku. Super Nova II merupakan model dalam siri tema Space dan Blacktron II. Model ini kemudiannya menjadi model kegemaran aku.  Model ini merupakan keluaran tahun 1991.


Mini figure untuk model ini tidak banyak berbeza. Malah, mini figure ini mempunyai jet pack sama seperti mini figure Galactic Chief.


Dalam dunia Lego aku, model ini merupakan model terkuat. Biasanya, model ini akan menjadi penyelamat jika model-model lain diserang oleh mainan aku yang lain. Aku sering mengubah suai model ini. Aku selalu mengambil tayar dari model Beach Bandit dan mengubah model ini menjadi kereta.

Itulah antara model Lego yang aku pernah ada. Aku agak menyesal aku tidak menjaga Lego aku dengan baik. Kalau aku dapat balik ke zaman silam, aku akan kembali berjumpa kepada aku pada zaman dahulu dan memberikan nasihat berguna suapaya menjaga alat mainan aku dengan baik. Aku juga akan memberitahu beberapa nama perempuan yang tak patut aku dekati pada masa sekarang.

Untuk entri akan datang, aku akan menulis tentang mainan lain yang aku pernah miliki dan ada juga yang masih aku miliki.

Adakah kamu juga pernah atau masih memiliki Lego? Kalau ada, apa kata kita kongsi cerita tentang Lego, model apa yang pernah kamu ada dan lain-lain lagi.

Photo credit:
= bricks.argz.com
= Brickipedia - lego.wikia.com
= visualfunhouse.com
= Virtualtoychest.com