Tampilkan postingan dengan label Review buku. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Review buku. Tampilkan semua postingan

Jumat, 02 Desember 2011

Review Buku: Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia


Ini bukan kali pertama aku menulis review buku nukilan Lucius Maximus. kalau kamu semua ingat, akhir tahun lepas aku ada menulis review buku Lucius Maximus yang pertama, Cerita Piala Dunia.

Kamu tak kenal siapa Lucius Maximus? Memang sia-sialah kamu berblogging kalau tidak kenal penulis blogger yang hebat ini. Bak kata Pipiyapong, Lucius Maximus bagaikan Mokhtar Dahari jika ia dikira dalam bidang penulisan ini. Tetapi hakikatnya, penulis agak berat telur bila betul-betul turun ke padang (menurut yang mengenali beliau lah).

Buku ini merupakan satu lagi terbitan DuBook Press. Pengasas DuBook Press ialah Pipiyapong dan Luca DK. Cuma baru-baru ini, Pipiyapong ada menyatakan pengunduran beliau dari Dubook Press melalui Twitter beliau.

Tidak dapat dipastikan adakah pengunduran beliau adalah sesuatu yang benar atau gimik semata kerana mungkin Pipiyapong cuba mendapatkan perhatian kerana cemburu dengan Khairul Fahmi Che Mat yang asyik muncul dengan gossip baru dengan perempuan berbeza di dalam blog hiburan.


Ada apa dengan Cerita Malaysia Tidak ke Piala Dunia?

Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia (CMTKPD) merupakan buku yang mengisahkan kisah perjalanan Skuad Bola Sepak Malaysia yang berhempas-pulas cuba melayakkan diri ke Piala Dunia walaupun acap kali gagal.

Penulis akan mengulas setiap kempen kelayakan Piala Dunia yang disertai oleh Skuad Bola Sepak Malaysia, bermula dengan kempen kelayakan Piala Dunia 1970.

Seperti biasa, Lucius Maximus mengolah setiap kempen kelayakan dengan ayat trademark beliau. Siapa yang sudah biasa dengan gaya penulisan Lucius Maximus pasti tahu bagaimana ayat-ayat tersebut.

Setiap pusingan kelayakan dikupas dengan baik. Bermula dengan persediaan dan latihan pasukan kebangsaan, ulasan setiap babak penting dalam perlawanan dan kesan selepas kegagalan setiap kali kempen kelayakan tamat.

Penulis mengulas bagaimana persediaan skuad bola sepak bermula. Bermula bagaimana pemain dikumpulkan dan di mana padang latihan mereka dan masalah yang terjadi di kem latihan.

Kemudian penulis mengulas tentang setiap peralwanan dalam kempen kelayakan tersebut. Cara pengulasan penulis sedikit sebanyak menerbitkan bayang di dalam kepala aku, cuba menggambarkan peristiwa tersebut di dalam otak.

Aku agak kagum dengan penulis. Aku tertanya-tanya dari mana sumber yang si penulis dapat untuk menulis buku ini? Setiap ayat yang ditulis bagaikan pengalaman benar penulis yang menonton semua perlawanan dengan mata kepalanya sendiri. Ke memang betul dia tengok semuanya?

Apa yang aku rasa agak kagum ialah apabila beliau mampu memetik setiap quote yang diucapkan oleh pemain dan jurulatih. Ini membuatkan aku tertanya, mana dia dapat semua arkib dari berita untuk menulis semua quote ini?


Bahasa/Penulisan

Lucius Maximus menggunakan Bahasa Malaysia sebagai kata penghantar di dalam buku ini. Bahasa Malaysia yang digunakan adalah Bahasa Malaysia formal, tapi juga turut dicampurkan sedikit dengan bahasa pasar. Tapi kebanyakan menggunakan bahasa yang agak formal.

Memang sudah menjadi trademark Lucius Maximus untuk menggunakan bahasa yang formal dalam penulisan dengan mencampur sedikit bahasa pasar.

Lucius Maximus terkenal dengan gelaran 'Raja Fakta'. Jadi, menulis dalam bahasa yang agak formal amat sesuai dalam menyampaikan fakta-fakta serius tersebut.

Dan rasanya pembaca blog Lucius Maximus pasti sudah sedia maklum cara penulisan ayat beliau. Aku kagum dengan penulisan beliau. Kadang-kadang aku tak rasa yang aku sedang menulis karya seorang penulis blog kerana penulisan Lucius Maximus seakan penulis profesional.


Penerbitan

Buku ini diterbitkan dengan kemas. Segalanya tersusun kemas dan indah mata memandang. Rasanya tiada kesilapan ejaan di dalam buku ini (kesalahan ejaan adalah benda lazim dalam penerbitan buku-buku indie) dan susunan yang kemas (perenggan, align text).

DuBook Press juga merupakan salah satu penerbit buku indie, tetapi tahap penerbitannya agak baik berbanding penerbit buku indie yang lain. DuBook Press bolehlah dijadikan sebagai benchmark buat penerbit buku indie yang lain.


Adakah ia berbaloi untuk dimiliki?

Sudah pasti! Bagi aku, buku ini boleh dikategorikan sebagai buku yang boleh dibaca berulang-ulang kali. Buku ini baik untuk dijadikan bahan rujukan untuk generasi akan datang, samada generasi akan datang dapat menyaksikan Malaysia layak bermain di Piala Dunia ataupun tidak.

Buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan buat anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Ultras Malaya, sekumpulan penyokong bola sepak Malaysia yang sering hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

Jangan kamu sokong Harimau Malaya hanya kerana mereka menang Piala AFF dan Pingat Emas Sukan SEA tanpa mengetahui sejarah pasukan bola sepak Malaysia. Tak guna menjadi Ultras kalau tak tahu latar belakang pasukan yang kamu beria sokong tu.

Dan buku ini juga perlu dibaca oleh anak muda yang berkiblatkan bola sepak Inggeris. Ya lah. Kau sokong Liverpool & Manchester, siap hafal semua sejarah kelab kesayangan kamu. Hafal nama pemain lama, hafal berapa piala sudah menang, hafal tahun kemenangan piala tersebut... Jadi sudah sampai masa kamu mengetahui hal-hal sejarah Pasukan Bola Sepak Malaysia pula.

Buku ini juga boleh dijadikan hadiah buat ayah-ayah kita, yang hidup di zaman era kegemilangan bola sepak Malaysia. Mungkin buku ini boleh menghidupkan semula memori mereka.



Lain-lain

Buku ini terbit tepat pada masanya, ketika Malaysia bergembira selepas berjaya mengekalkan pingat emas di Sukan SEA dan gagal melayakan ke Sukan Olimpik beberapa hari kemudian. 

Buku ini mungkin boleh memberikan pengajaran dan idea kepada FAM kenapa usaha Malaysia untuk pergi lebih jauh dalam sukan bola sepak Malaysia sering terbantut.

Buku yang aku dapat ini merupakan buku cetekan kedua. Cover untuk cetekan pertama adalah seperti di bawah:


Selain itu, buku ini juga diterbitkan di dalam 2 versi (menurut penulis sendiri). Versi pertama ialah versi indie, yang mana seperti aku beli ini (melalui pos). Versi yang kedua adalah versi mainstream, atau nama lainnya versi 'jual di kedai buku'.

Ya! Buku ini bakal dijual dikedai buku tidak lama lagi. Penulis berkata ada sedikit kelainan antara versi indie dan versi mainstream. Rasanya, siapa yang sudah membaca buku veris indie pasti tahu apa maksud si penulis.

==========

Sekian review serba ringkas dari aku. Buku seterusnya... Aku pun tidak tahu. Mungkin aku patut habiskan buku-buku yang selama ini aku beli tapi belum berkesempatan untuk baca.

Senin, 14 November 2011

Review Buku: Awek Chuck Taylor


Ada yang kenal dia sebagai Nami, ada yang kenal sebagai Nama Nami, ada yang kenal sebagai Comradenami, ada yang kenal sebagai Cob Nobbler, ada yang kenal dia sebagai namiofish, ada yang kenal dia sebagai Holden Caulfield... Tak kiralah nama satu nama, dia ialah orang yang sama.

Awek Chuck Taylor merupakan buku hasil nukilan Nami yang pertama yang aku baca. Buku-buku lain beliau haram aku tak pernah dapat walaupun aku pernah order dulu. 

Akhirnya aku beli ini dari tangan dia sendiri. Aku jumpa Nami di Seksyen 17 dan dapat juga aku buku Awek Chuck Taylor ini.


Apa ada dengan Awek Chuck Taylor?

Awek Chuck Taylor (ACT) mengisahkan kisah seorang lelaki bernama Hafiz, yang terperangkap dengan cinta 3 segi apabila bercinta dengan Mira, dan kemudian bercinta dengan adik Mira bernama Nana.

Nampak macam "Ala.. Itu je ke jalan ceritanya?". Tidak semudah itu. Cerita ini kemudiannya diselitkan dengan babak perkenalan Hafiz dengan adik angkatnya dan pemergian Mira dan Nana ke luar negara, jauh dari Malaysia dan banyak lagi. Tak kan aku nak cerita semuanya dalam blog ini kan?

Sebenarnya, cerita ini merupakan kisah benar si penulis sendiri, Nami. Hafiz sebenarnya merupakan Nami dalam dunia realiti. Sudah 2 kali aku lepak dengan Nami tapi aku lupa nak tanya kenapa dia pilih nama Hafiz sebagai nama watak dalam ACT.

Semua watak dalam ACT adalah berdasarkan orang yang pernah penulis kenal. Semua watak tersebut adalah orang yang wujud di dunia ini. Tapi penulis mengubah nama mereka di dalam ACT.

Aku tak pernah berjumpa dengan pemegang watak-watak lain dalam ACT ini. Aku hanya kenal melalui cerita dari mulut Nami sahaja, pernah membaca blog mereka, pernah usha Facebook/Mysapce mereka, dan pernah baca tweet mereka. Tidak lebih dari itu.

Bagi aku, Nami agak berani untuk menulis pengalaman hidup sendiri untuk dibaca oleh khalayak umum. Secara jujurnya, aku memang tabik pada orang yang sanggup berkongsi hal peribadi mereka, terutamanya kisah cinta mereka, kepada orang lain.

Sebenarnya, hampir 70% isi kandungan ini pernah diceritakan di dalam blog beliau, Teh Tarik Gelas Besar (TTGB), jadi boleh dikatakan aku sudah tahu jalan cerita ACT ini. Tapi beliau tidak menceritakan secara tersusun di TTGB. Sekejap cerita macam mana dia putus dengan Mira, kejap cerita kisah Mira kena pinang, lepas tu cerita kisah perkenalan dia dengan Nana, lepas tu cerita pengalaman berkenalan dengan Mira... 

Dalam ACT, semua cerita disusun mengikut garis masa yang betul. Ditambah pula dengan dialog perbualan, jadi ia membuatkan aku lebih faham dengan situasi nami ketika itu. Dialog itu juga menambah feel kepada jalan cerita tersebut.

Oh, ya. Sebenarnya ACT pernah ditulis di dalam sebuah blog Tumblr sebelum ianya dibukukan.


Bahasa

Nami menggunakan campuran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam ACT (ada sedikit Bahasa Itali). Bahasa Malaysia yang digunakan bukanlah Bahasa Malaysia Skema, tapi bahasa pasar seperti percakapan harian kita untuk menjadikan ia lebih realistik, dicampur dengan bahasa carutan yang menjadikan ia lebih realistik.

Penggunaan bahasa dalam novel ini juga mendekatkan buku ini kepada anak muda (buku ini memang sesuai untuk bacaan anak muda sahaja). Bagi aku, penggunaan bahasa dalam ACT mendekatkan diri kita dengan jalan cerita dan menjadikan ia lebih berjiwa anak muda.

Mungkin segala dialog yang ditulis oleh penulis adalah actual dialog yang digunakan semasa itu. Jadi jangan terkejut sangatlah kalau buku ini banyak dengan bahasa carutan ketika babak maki hamun sesama watak. Mungkin abang serbanitas akan mengucap 2-3 kali membaca dialog carutan dalam ACT.


Penerbitan

Buku ini merupakan terbitan Lejen Press. Lejen Press merupakan syarikat penerbitan buku indie (betul ke? Correct me if I'm wrong). Ada beberapa kesilapan teknikal yang dilakukan oleh pihak penerbit dalam ACT.

Salah satunya ialah kesilapan menyusun muka surat. Ada beberapa muka surat dalam ACT telah disilap susun menyebabkan aku sendiri terkeliru bila membacanya.

Selain itu, kenapa tiada selang satu baris antara perenggan (tak semualah) dan kenapa dia selang antara noktah dengan huruf pertama pada ayat baru? Nampak seperti benda kecil, tapi ia sedikit membunuh mood untuk membaca.

Diharap Lejen Press dapat memperkemaskan lagi susunan untuk penerbitan buku yang seterusnya. Diharap pihak Lejen press tak ambil hati dengan komen aku. Aku cuma berharap komen aku akan memotivasikan kamu untuk menerbitkan buku dengan lebih baik.


Jalan cerita/Penceritaan

Secara jujurnya, ini bukanlah kisah cinta paling epik yang pernah aku baca. Banyak lagi novel cinta yang lebih epik pernah aku baca sepanjang hidup aku, sebagai contoh siri novel Ahadiat Akashah (And I'm not talking about Lagenda Budak Setan. Kisah Cinderella lebih epik dan best dari legenda Budak Setan).

Tapi perlu diingat, ACT merupakan kisah yang digarap dari kisah sebenar kehidupan penulis, Nami. Jadi agak kurang adil untuk aku membandingkan sebuah kisah benar dengan sebuah kisah fiksyen.

Kalau kisah fiksyen, bila-bila sahaja si penulis boleh ubah mana-mana bahagian menjadi menarik. Tapi bukan kepada kisah benar.

Namun begitu, sebenarnya kisah percintaan Nami ini boleh dikatakan epik juga untuk kita yang hidup di dunia realiti ini. Kalau aku sendiri yang kena apa yang macam Nami kena, bingung juga aku memikirkannya.

Jalan cerita cerita ACT disusun dengan baik oleh penulis dan mudah difahami oleh pembaca. Cara penceritaan juga membolehkan pembaca mudah untuk mendalami perasaan penulis ketika menghadapi sesuatu situasi.

Walaupun aku sudah tahu apa kesudahan cerita ini kerana sudah di tulis dalam blog TTGB, tapi aku juga ada sedikit touching apabila membaca pengakhiran cerita ini. True story. Tapi tak lah sampai mengalir manly tears aku pula.T


Lain-lain

Selain dari kisah cinta dan kisah cerita remaja, cerita ini juga dipenuhi dengan ideologi yang agak asing dalam kehidupan orang melayu. Jadi, berkemungkinan besar abang serbanitas mengamuk dan tak berpuashati dengan penulis.

Aku? I don't care as long as the story is good.

Cerita ini juga dipenuhi dengan puisi-puisi hasil nukilan penulis sendiri. Puisi tersebut kebanyakannya ditulis untuk mencairkan hati wanita dalam cerita ini. dan aku yakin pasti ada lelaki yang akan copy paste puisi dalam ACT ini untuk diberi kepada awek-awek mereka.


Adakah ia berbaloi untuk dimiliki?

Ya. Berbaloi. Bagi aku, buku ini boleh dikategorikan sebagai buku yang boleh dibaca berulang-ulang kali. Jalan cerita yang ringkas. Bahasa yang digunakan mudah difahami. Penceritaan yang jelas dan tersusun. Cerita dipenuhi dengan emosi cinta, suka dan berakhir dengan sedih.

Kalau diikutkan, pengakhiran cerita ini seperti satu cliffhanger. Bagai tergantung. Dari apa yang aku baca di blog TTGB, ada banyak lagi pengalam hidup penulis yang boleh diceritakan selepas penamat ACT. tapi ia bergantung kepada penulislah samada mahu menyambung ACT atau tidak.

Atau mungkin penulis akan menulis buku ke-2 dengan tajuk "Tentang Erica" pula? *senyum*

Yes. Buku ini memang berbaloi dimiliki jika anda peminat novel bergenre cinta. Kamu boleh buat pesanan di sini.

===================

Hafiz
Seorang lelaki yang menghadapi beberapa halangan dan cabaran dalam bidang akademi dan cinta. Seorang lelaki yang mendambarkan cinta dari wanita tetapi sering bertemu dengan perempuan yang mensia-siakan cintanya.

Sehinggalah dia bertemu dengan Awek Chuck Taylor, yang seterusnya mengubah hidupnya, mengenal tentang kehidupan dan cinta dengan lebih mendalam.

Dan perkenalan dengan Awek Chuck Taylor menyebabkan dia kenal dengan seorang insan yang akhirnya mampu mencuri hatinya...

Mira
Awek Chuck Taylor dalam kisah kehidupan Hafiz. Perempuan yang ganas, kasar, agnostik, mempunyai pendirian yang kuat dan mampu berdiri dengan kaki sendiri.

Namun dia juga akan menitikkan air mata kerana cinta.

Menyayangi adiknya lebih dari dirinya sendiri sehingga sanggup melepaskan orang yang disayanginya kepada adiknya sendiri.

Nana
Seorang yang naif, bagai terperangkap dalam dunia Peter Pan. Lebih banyak menyendiri dan hidup dalam dunianya sendiri.

Apa yang dinantikan oleh dia hanyalah kehadiran seorang lelaki yang rela membalas cintanya. Sayangnya, pencariannya menemui jalan yang menyecewakan. Lebih sedih lagi apabila lelaki yang disukainya sanggup mengutuk kekurangan dirinya.

Namun akhirnya dia bertemu dengan lelaki yang menerima dirinya seadanya, yang mampu memberikan cinta kepadanya.

Sayangnya ia tidak kekal lama. Takdir menentukan segalanya..

Aiman
Seorang yang suka bercakap kasar. Perkataan carutan tidak pernah lekang dari mulutnya. Seorang yang suka memnadu kenderaan dalam keadaan yang pantas dan merbahaya. Suka membaca diari adik-adiknya.

Namun, dia adalah seorang abang yang amat menyayangi adik-adiknya. Sanggup membelasah sesiapa sahaja yang mengutuk adiknya.

Dan juga seorang kawan yang sanggup menolong kawan ketika dalam kesusahan.

==================

When I'm sad, you're asked me what went wrong,
And asking me to be strong,
How can I be strong,
Living without you is something wrong.

=================

Sekian review serba ringkas dari aku. Buku seterusnya, Cerita Malaysia Tak Ke Piala Dunia. Tengah tekun menunggu dekat peti surat.


P/S: Al-Fatihah kepada Sherina Ellyana Sulaiman.


Kepada Ezreen Emira Sulaiman, semoga kamu kuatkan semangat bertarung dengan kanser payu dara.

Selasa, 14 Desember 2010

Review buku: Cerita Piala Dunia

Khamis, 9 Disember 2010, mak aku menghulurkan surat kepada aku. Bila aku pegang, baru aku tahu yang bukan surat yang ada dalam sampul tersebut. Tapi senaskah buku yang bertajuk Cerita Piala Dunia yang aku pesan dari Dubook Press.

Hati aku menyumpah. Macam mana aku tak menyumpah. Menurut Abdul Dubook (wakil Dubook Press), dia sudah pun mengepos Cerita Piala Dunia pada 22 November 2010. Lebih 2 minggu baru sampai. Macam mana Pos Malaysia buat kerja ni?


Ok. Bebalik pada review buku. Cerita Piala Dunia (CPD) adalah hasil tulisan Lucius Maximus. Lucius Maximus adalah seorang insan yang berasal dari Tronoh, Perak. Lucius Maximus hanyalah nama pena yang digunakan oleh beliau. Nama sebenar penulis buku ini kalau tak salah aku sama seperti nama perdana menteri Malaysia sekarang.

Dan bila aku sebut perdana menteri, aku maksudkan ialah Najib Razak. Bukannya Rosmah Mansor walaupun kelihatan seperti dia yang lebih menonjol dari  perdana menteri Malaysia yang sebenar.

CPD merupakan terbitan sulung Dubook Press. Aku tidak pasti siapa pengasas dan tulang belakang syarikat penerbitan ini. Rasanya Pipiyapong dan Luca DK antara yang terlibat dengan syarikat ini.


Berikut ialah review aku secara serba ringkas, memandangkan aku tak pernah dan tak tahu bagaimana mahu menulis review buku.

Ada apa dengan CPD?


Cover CPD boleh dikatakan cantik dan kreatif bagi kategori buku Indie. Simple tapi ada art-nya. Sampaikan mak aku pun memuji cover CPD. Ini menunjukkan cover CPD dapat menarik perhatian semua lapisan umur dari kalangan muda belia Indie hinggalah golongan mak-mak orang.


CPD bolehlah dikategorikan sebagai blook (blog + blook), kerana isi kandungan blog ini pernah diterbitkan dalamblog Cerita Piala Dunia milik Lucius Maximus sendiri. Kini blog itu sudah diprivatekan dan segala entri dalam blog itu telah diambil oleh Dubook Press, dicetak dan dijual kepada orang ramai. Kapitalis sungguh.

CPD terbit dengan tagline "Buku sukan indie pertama di Malaysia". Sukar untuk dipastikan kesahihan tagline tersebut, tapi CPD memang layak memegang tagline tersebut. Tidak seperti RTM yang membawa tagline "Penyiar bola sepak rasmi piala dunia" tapi semuanya diserahkan pada Astro.


Penulis tidak bercerita tentang style rambut pemain, WAGS, warna dan bentuk boot, kisah Ronaldo yang dah punya anak tapi tak tahu siapa emak kepada anaknya, kisah kecurangan John Terry sehingga dia dilucut dari menjadi kapten England dan sewaktu dengannya. 


Malah, tiada satu gambar pemain bola sepak yang sedang beraksi di Piala Dunia 2010 pun dalam buku ini kecuali gambar penulis mengenakan jersey Chelsea semasa penulis pergi ke Stadium Bukit Jalil sempena lawatan Chelsea ke Malaysia beberapa tahun yang lepas. Kalau nak baca cerita seperti di perangan atas atau nak buku yang penuh dengan gambar pemain, sila beli Majalah Wisel yang terbit setiap 5, 15 dan 25 haribulan pada setiap bulan. 


CPD menceritakan tentang kisah kesemua 64 perlawanan Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan sepanjang Jun dan Julai yang lepas. Penulis mengupas satu persatu perlawanan dengan gaya bahasa dan penuh dengan fakta ekonomi dan sejarah negara tersebut dari segi penyertaan piala dunia negara yang bertanding, penubuhan negara dan sejarah peperangan.

"Apa kena mengena pulak fakta ekonomi dengan sejarah perang dengan bola sepak?"

Sebenarnya bola sepak bukan permainan yang dimaminkan oleh 22 orang pemain di atas padang semata-mata. Bola sepak mewakili maruah sesebuah negara. Lebih-lebih lagi apabila dua negara yang pernah berperang, bermusuhan dan negara yang pernah dijajah bertembung dengan bekas negara tuan kolonial mereka.

Begitulah pentingnya perlawanan bola sepak bagi sesetengah negara. Seperti apa yang pernah dikatakan oleh  Bill Shankly, "Some people think football is a matter of life and death. I assure you, it's much more serious than that."

Malah, aku yakin banyak fakta sejarah - yang berkaitan dengan bola sepak - kita jarang dapat dibaca atau didengari oleh para pembaca seperti asal-usul permulaan permainan bola sepak di Brazil, tentang deklarasi JFA 2005 dan Laporan Crawford yang membawa Australia layak ke Piala Dunia edisi 2006 dan 2010.

Selain itu, penulis juga ada bercerita tentang pengalaman keretanya dilanggar dari belakang oleh orang Korea, kawannya yang mengangkat tangan memanggil waitress untuk membuat pesanan tapi tak datang-datang, awek-awek yang memakai baju Argentina dikenakan dengan skirt dan seluar pendek, bagaimana jersi Jerman penulis terasa sendat selepas penulis selesai memakan Nasi Goreng Thai dan bagaimana pengulas RTM gagal mengecam yang mana Jabulani dan yang mana Piala Dunia.

Selain itu, terdapat juga entri daripada pengulas Sokernet yang lain di penhujung buku tersebut. Kenapa ada entri daripada pengulas Sokernet yang lain? Kerana kalau nak harap hasil penulisan Lucius Maximus sahaja, buku ini cuma akan setebal 185 muka surat. Nak mampus jual buku ini RM25 tapi tebal macam itu saja?

CPD sedang lepak-lepak bersama sepupu belah ayahnya, Soccernomics
Semua entri dari pengulas Sokernet ada di dalam buku ini kecuali Jannah Raffali. Tidak dapat dipastikan kenapa entri daripada srikandi Sokernet tidak terdapat dalam CPD.

JorJi bercerita tentang keunikan bola sepak Malaysia secara sarcasm. Nazri Vovin bercerita tentang memorinya tentang kemenangan Perak selaku pemenang pertama Piala FA pada tahun 1990. Awi bercerita tentang bagaimana dia menyampah dengan budak yang pakai jersey MU ketika main bola petang-petang dan menjadikan mereka mangsa tackle ganas.

Obefiend pula bercerita tentang fenomena tevelisyen berbayar, kesalahan Astro kerana mengambil Abbas Saad sebagai salah seorang pundit dan lain-lain. Pipiyapong pula memberikan beberapa cadangan bagaimana bola sepak di Malaysia boleh maju - yang mana aku juga agak bersetuju dengan apa yang beliau tulis. Fokus pada akar umbi, bukan pada player yang ada sekarang ini.

Dingin bercerita tentang semangat 1Malaysia yang sebenar yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia semasa Piala Dunia Espana 1982 dan Firdaus Ahmad bercerita tentang pengalaman beliau yang bermain bola semasa zaman persekolahan dan memberi pengajaran bertapa pentingnya kabel atau orang dalam dalam hidup kita.

Aku sangat berpuas hati dengan terbitan sulung Lucius Maximus dan Dubook Press ini. CPD boleh dikategorikan sebagai buku mesti ada dekat rak buku kamu. Tak lengkap rak buku kamu kalau tiada CPD walaupun rak buku kamu ada FHM cover Hannah Tan.

Aku sarankan kamu diluar sana juga membelinya. Cara membelinya boleh dibaca di sini. Itu pun kalau buku ini ada lagi lah. Kalau dah habis, padan muka! Kata Dubook Press, buku ini akan hanya dicetak dalam bilangan yang terhad supaya ia menjadi satu koleksi rare bagi si pembeli.

Aku harap Dubook Press akan menerbitkan naskah yang sama hebat atau lebih hebat selepas ini. Kepada Lucius Maximus, aku harap aku dapat membaca naskah kedua dari anda tak lama lagi.